Vintaj, Kopi & Rock n Roll
Disapa desiran ombak Chenang, aroma kopi di tengah mood vintaj Huggin Hippo nyata mengasyikkan.

Oleh Zurina Waji    |    Foto Fauzi Hamid

HUJAN lebat lewat petang itu di Chenang. Bunyi air yang menghempas pantai terdengar sayup menerusi daun pintu depan restoran yang kadang ternganga. Saat itu, angin menerjah perlahan bersama bau yang menyenangkan. Kopi lagi brew!

“Taka,” begitu barista yang sering disangka anak Jepun itu memperkenalkan diri.

Disapa keharuman kopi, mudah untuk jadi asyik memerhati Taka beraksi. Jeritan kepulan kecil stim, diikuti hentakan sudu kecil dan cawan yang saling berlaga tidak ubah persembahan akustik yang menawan.

Dan Taka dengan loghat Utaranya yang pekat buat saya tersenyum.

Di kaunter bersama Ethan Goh, pengurus restoran Huggin Hippo, kami menikmati skil yang dipamer anak muda itu yang belum dua tahun bergelar barista. Keasyikan itu buat saya lupa seketika akan kedinginan yang menggigit awal tadi selepas terpaksa merempuh hujan.

“Saya dulu tak pernah tahu pun apa itu barista,” kata Taka atau nama sebenarnya, Amir Muhaimin Abu Bakar, 25, ketawa ketika ditanya mengapa dia yang berlatar belakang seni beralih ke dunia F&B.

“Sekarang ini, buat kopi pun sudah semacam seni. Lucu juga bagaimana saya boleh tercampak ke F&B sebab saya sebenarnya langsung tak tahu memasak, walaupun telur. Tapi apa yang pasti, saya penggemar kopi.”

Ditanya kopi pertama dibikinnya, jawabnya: “Latte lah. Sebab nak berlatih seni penyediaan kopi.”

Di tangan barista muda ini, setiap pesanan kopi dipersembahkan penuh dengan seni artistiknya.

Pesanan kadang silih berganti dengan cangkir teh hangat, namun memerhatinya yang tampak selesa melayari dunia kopinya menambah pada keasyikan yang dirasa.

Atau, barangkali dianjak mood daripada sentuhan vintaj yang melatari dekorasi restoran?

Sebaik melangkah tadi, mata sudah terpaku pada Norton, motorsikal klasik yang dipamer. Sangat maskulin, hati berdetik, apatah lagi melihat citarasa perabut dan dinding separa bata yang sebahagiannya dihiasi piring hitam band seperti Pink Floyd. Di satu sudut lain, Ducati merah ikut mencuri perhatian.

Sentuhan maskulin dalam mood vintaj Huggin Hippo

Di ruang luar berdekatan hamparan pasir pantai yang dipisahkan dengan ruang utama restoran oleh pintu kaca, deruan ombak jelas mendamaikan. Manakala sekumpulan buskers anak-anak muda menyibukkan diri dengan peralatan muzik untuk sesi persembahan sebentar lagi.

Puas melayani dekorasi, mata menangkap Salted Beef , antara speciality restoran di kad menunya. Pada harga RM30 sepinggan, kelembutan daging yang meresapi rendaman air garam selama 14 hari itu sebelum direbus tiga jam bersama herba, cukup untuk membuat saya kembali mencuba.

Di ruang luar berdekatan hamparan pasir pantai yang dipisahkan dengan ruang utama restoran oleh pintu kaca, deruan ombak jelas mendamaikan. Manakala sekumpulan buskers anak-anak muda menyibukkan diri dengan peralatan muzik untuk sesi persembahan sebentar lagi.

Puas melayani dekorasi, mata menangkap Salted Beef , antara speciality restoran di kad menunya. Pada harga RM30 sepinggan, kelembutan daging yang meresapi rendaman air garam selama 14 hari itu sebelum direbus tiga jam bersama herba, cukup untuk membuat saya kembali mencuba.

Salted Beef, hit Huggin Hippo

Tak hanya pada dekorasi, inspirasi muzik dihadirkan dalam sebahagian senarai menunya, antaranya Nasi Blues iaitu nasi goreng bersama sate, acar dan keropok atau bernostalgia dengan hit klasik Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Tunggu Sekejap lewat hidangan mi goreng makanan lautnya.

Sambil membelek Cold Brew yang dibotolkan di bawah jenama Huggin Hippo, di mana kopi direndam sekurang-kurangnya 18 jam bagi menghasilkan kopi dingin, Taka berkongsi proses pembikinan Filter Coffee lewat teknik V60 untuk mendapatkan titisan kopi pekat daripada serbuk kopi yang dikisar halus.

“Cuba cium bau biji kopi ini,” kata Ethan, menyuakan satu beg kopi premium yang didatangkan dari El Guayabo di wilayah Montecilos, Honduras. Bau harum kopi membuai lagi, membina keterujaan kala lidah samar-samar merasai kemanisan epal merah dan teh pic yang enak diminum hangat.

Bukan peminum kopi sebetulnya, tapi saya mungkin tidak akan menolak untuk secawan kopi sebaik ini biarpun mula kembali skeptikal apabila Taka yang ditanya apakah kopi terbaik untuk memulakan hari, menyarankan: ”Espresso!”

Lama memerhati keterujaan Taka dengan kopinya membangkitkan rasa ingin tahu apakah yang membuatnya seronok bergelar barista. Dia diam seketika seraya membetulkan topi hitam yang melindungi rambut ikal melepasi bahunya itu sebelum menjawab, “Entahlah. Mungkin sebab boleh minum kopi percuma setiap hari.”

Dan dia ketawa, nakal.