Diburu Israel, Pelarian Palestin di Lebanon Menghitung Hari
Ketika janji Allah SWT dan Rasulullah SAW satu-satunya sandaran dalam perjuangan.

Oleh Zurina Wajiss | Foto Saiful Chin, KHOM MALAYSIA

“Kami sangat menderita. Kami, orang Palestin tidak disayangi oleh sesiapa pun. Jangan katakan orang Lebanon atau Syria, tidak, mereka tidak menyukai kami. Kamilah yang tersungkur… “

BAHAGIAN AKHIR:

BAGI Umm Haitham, kehilangan yang dialami penduduk Palestin bukan cuma rumah atau harta.

“Sepupu aku hilang dan ibunya (cedera) dibom,” katanya dengan suara bergetar, mengimbau kejadian silam selepas dia sekeluarga tiba di Tarshiha dari Al-Kabri. “Apabila tentera udara mengebom Tarshiha, dia mengalami kecederaan.

“Apabila ibunya dibawa ke hospital dengan ambulans, budak perempuan itu hilang. Bapa saudara aku menemuinya di hujung Tarshiha. Dia menemuinya di jalanan dan membawanya pulang, (ramai) penduduk disiksa.”

Dari Tarshiha, ujarnya, mereka menyeberangi sempadan memasuki Lebanon untuk mencari perlindungan.  

“Kami sangat menderita. Kami, orang Palestin tidak disayangi oleh sesiapa pun. Jangan katakan orang Lebanon atau Syria, tidak, mereka tidak menyukai kami. Kamilah yang tersungkur, tidak seperti orang lain di dunia ini,” katanya, memandang sayu, seolah berjauh hati.

“Kami, orang Palestin, datang dari Rashidiya ke khemah-khemah. Kami datang ke sini dari Rasihidiya. Sebahagian (pelarian) pergi ke Syria dan sebahagian ke Jordan. Kami datang ke sini, mendirikan khemah dan tinggal di sini (Lebanon). Setiap kali ribut melanda, khemah-khemah berterbangan, (keadaannya) sama macam apa yang berlaku di Gaza sekarang.”

Umm Haitham masih ingat bagaimana pelarian Palestin pada awal pengungsian berikutan Nakba pada 1948 perlu beratur setiap hari demi sekeping roti.

“Mereka memberi kami roti tentera, dibahagi kepada empat bahagian. Satu untuk setiap orang,” katanya, tambah sayu mengenangkan kesengsaraan pada masa itu. “Mereka (pelarian) akan berkata, ‘anak lelaki aku sakit’ agar mereka boleh dapat sekeping roti lagi.”

“Semasa kami mula tiba, kami akan berbaris setiap hari untuk mendapatkan roti. Orang menunggu begitu lama sehinggalah (apabila) mereka sudah boleh mula bekerja dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat, dan barulah mereka boleh mendapatkan makanan (sendiri).

“Pada mulanya, kami cuma makan makanan dalam tin dan sardin, sama seperti yang diberikan UNRWA sekarang. Tapi kami berharap untuk kembali ke tanah air kami, biarpun aku harus tinggal di khemah.”

Lorong kecil di tengah malam di Burj Al-Barajneh

PERISTIWA NAKBA

Nakba, menurut sejarawan Israel, Ilan Pappe, di dalam bukunya, The Ethnic Cleansing of Palestine, mencetuskan migrasi terbesar dalam sejarah moden, membabitkan pengusiran sekitar 1 juta penduduk yang diacu senjata, selain pembunuhan terhadap orang awam dan ratusan kampung dimusnahkan secara sengaja.

Dingati pada setiap 15 Mei sebagai Hari Nakba selepas pengisytiharaan rasminya pada 1998 oleh Presiden Palestin ketika itu, Yasser Arafat, ia diraikan sehari selepas hari kebangsaan Israel yang dijanjikan British untuk menubuhkan negara sendiri di Palestin menerusi Deklarasi Balfpur pada 1917.

 Sambutan Hari Nakba juga bertepatan dengan berakhirnya Mandat British di Palestin, iaitu pada 15 Mei 1948.

Cuba menelan kepahitan yang sudah berdekad lama itu, jelas Umm Haitham, “Semua keluarga kami terlalu menderita,” namun dalam kesayuan itu, masih dia mengungkapkan, “Alhamdulillah.”

Memang aneh kerana dalam kepahitan itu pun dia masih menemukakan kebahagiaan. Matanya bercahaya apabila dia menceritakan tentang kehidupan di Palestin sebelum Nakba, juga mengenai ketinggian adab penduduknya walaupun menjalani kepayahan hidup sebagai pelarian.

“Khemah-khemah (ketika itu) berterbangan, sudah tiada apa-apa lagi. Tapi orang saling mengasihi antara satu sama lain. Mereka (antara penduduk) pernah memberikan kami khemah-khemah dan apabila khemah terbang, semua jiran tetangga keluar bersama (menolong).

“Tapi orang sudah tidak seperti itu sekarang. Dulu, orang saling mengasihi antara satu sama lain. Mereka tidak mengatakan (penduduk) Gazawi Shahdani atau Kikani, kami semua orang Palestin. Tapi (kini terbahagi) dari Al-Kabri, ini dari Al Tarshiha, ini dari Al Kukat dan ini dari Al Gharsit,” katanya, kesal.

“… kerana ini adalah janji daripada Allah SWT, Nabi Muhammad SAW. Kami akan pulang, sudah pasti.”

Abu Khalid, sepertimana ramai waris mangsa Nakba tidak pernah menjejakkan kaki ke Palestin

BACA: Ada Apa Dengan Sebuah Kunci, Sekeping Kertas, dan Segenggam Tanah

Terdahulu, salah seorang anak perempuan Umm Haitham yang bernama Karmen, menunjukkan sebuah buku mengenai ratusan siri pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap pendudulk Palestin sejak 1948.

“Ini buku mengenai pembunuhan yang berlaku, dilakukan oleh rejim sejak 1948 sehingga awal 2000,” kata Bassel, memperlihatkan buku yang pada halaman pertamanya memaparkan, antaranya The Return of Herod.

“Ia juga membabitkan pembunuhan yang berlaku ke atas orang Palestin di Lebanon. seperti di Shabran Shatila, Ul Ana. Pembunuhan yang berlaku ke atas orang Palestin selepas (penubuhan) Israel.

“Mereka (rejim) datang dan membunuh orang Palestin walaupun setelah mereka meninggalkan negara mereka dan tinggal (melarikan diri) di Lebanon kerana mereka berkeras untuk kembali dan melakukan penentangan.”

Nakba, menurut Bassel lagi, bukan hanya menyaksikan penduduk Palestin terpaksa melarikan diri, antaranya akibat propaganda British selain pembunuhan oleh Zionis, malah pada masa sama bermulalah penentangan oleh sebahagian penduduk yang berlarutan sampai hari ini.

Pada setiap anak-anak Palestin, disematkan impian untuk kembali pulang ke tanah air satu hari nanti.

Begitu juga Umm Haitham dengan impian yang tidak pernah padam sejak 78 tahun lalu dan berkata, “Kami hidup di sini (Lebanon) dalam keadaan diselubungi rasa gerun serta takut, dan apabila mereka (Israel) mengebom di sini, apa harapan yang kami ada di kem-kem di sini?

“Mereka akan mengebom kami pada bila-bila masa. Kami hidup dalam kegelisahan dan ketakutan, tiada keselamatan. Di negara kami (sendiri), kami akan berasa selamat. Benda sebegini tidak ada di situ, ada banyak perkara yang elok (dulu), Alhamdulillah, seperti buah oren dan sitrus.

“Kami ada segalanya yang kami perlukan (ketika itu). Kami tidak perlu membeli. Kami dulu memakannya di rumah kami (bersama).  Orang  yang tinggal di negara mereka lebih selesa, tidak kiralah apa yang ditawarkan oleh dunia ini, ia tidak dapat menggantikan tanah air kita sendiri.”

Pengerusi KHOM MALAYSIA, Nik Marina Hussin menunjukkan buku mengenai siri pembunuhan rakyat Palestin oleh rejim Zionis

Ditanya apakah perasaannya apabila melihat kunci dan geran tanah dimiliki penduduk Palestin, selain bungkusan kecil tanah miliknya, ibu tua ini berkata, “Tekad untuk pulang dan bahawa ada harapan. Ada kesedihan dan ada harapan.

“Sudah tentu ada kesedihan kerana berjauhan daripada negara kami, tapi kami tidak berputus harap dan sudah tentu, sepertimana disebut Karmen, kerana ini adalah janji daripada Allah SWT, Nabi Muhammad SAW. Kami akan pulang, sudah pasti. Jadi kedua-duanya, kami merasai kesedihannya, tapi kami tidak berputus harap. Insya-Allah. Harapan pada Allah.”

Setia bediri di belakang ibu mereka, anak-anak Umm Haitham senyum mendengar ibu mereka berbicara dengan semangat yang berkobar-kobar. Emosi, ada ketikanya, namun mungkin itulah yang dinamakan sebuah kerinduan.

“Tidak kiralah walau apa pun yang mereka tawarkan untuk kamu di sini, kamu tidak akan menemukan apa-apa pun seperti di negara sendiri,” katanya. “Jika mereka memberitahu kami sekarang untuk pulang, kami akan pulang. Walaupun aku harus mendirikan khemah dan tinggal di situ, aku pulang ke tanah air aku dan negara aku.”

Namun apakah impian akan hanya tinggal angan-angan? Nada sayu Umm Haitham menjelaskan, “Kita tidak tahu apakah kita akan hidup bertahan untuk pulang , tapi kita akan pulang, akhirnya.

“Generasi baharu akan pulang, tapi aku sudah terlalu tua sekarang, (impian) sudah berakhir.”

Suasana jadi hening seketika, menyedari kesedihan yang tidak lagi dapat ditanggungnya. Kesayuan yang berlegar tidak terlerai walaupun oleh bunyi enjin motosikal  yang melewati berdekatan.

“Siapa yang Allah mahukan dia kembali, dia akan kembali,” kata Bassel, seolah memujuk.

Umm Haitham mengela nafasnya, dan berkata, “Insya-Allah. Allah Maha Pemurah. Dia akan memperkenankan impian kami, akhirnya, dan membawa kami pulang.”

NOTA:Temubual diadakan beberapa hari sebelum Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara ke atas Iran. Susulan serangan pada 28 Februari itu, Hezbollah menyerang Israel pada 2 Mac yang membalas dengan membedil Beirut, antaranya. KHOM MALAYSIA yang berada di Beirut, ketika itu, berjaya menaiki penerbangan keluar ke Istanbul, Turkiye. Pada 8 April, Israel melancarkan serangan terbesarnya dengan melancarkan 100 roket dalam masa 10 minit di penempatan penduduk awam, termasuk di Beirut, di sebalik gencatan senjata diumumkan AS.