Hela Nafas Cradle

Berjuang di satu landasan, kata band ini, kembalinya mereka lebih daripada sekadar soal main muzik.
Oleh Zurina Waji
“Mendukung adab, antara nilai yang membawa mereka berempat ke satu titik persamaan yang turut memungkinkan Cradle kembali menanam impian.”
“SAYA tengok cermin. Sendiri jawap, sendiri soal,” akui Addy Rasidi, pendiri band Cradle, berasa lucu sendiri mengingati bagaimana dia berlatih untuk membiasakan diri bercakap di hadapan umum.
Kematangan, menurutnya, membuatkan dia mengikis rasa malu melampau, apatah lagi dengan kemunculan album studio baharu, Hela Nafasku, November tahun lalu, sekali gus menamatkan hibernasi selama hampir 20 tahun.
“Saya dengan Teacher’s Pet dulu, saya diam, senyum saja,” katanya, ketawa lagi, mengimbau awal kemunculannya bersama band yang hit dengan lagu Warisan Wanita Terakhir itu. “Makin matang, saya dah tahu apa nak cakap.
“Kadang dulu nak aturkan perkataan (bercakap) itu pun, saya (perlu) berfikir.”
Antara aneh dan lucu, tiga anggota Cradle yang lain – vokalis, Eiz Mohd; Zul Wahab (bes) dan Adha Lizam (dram), seperti Addy yang dulu.
“Saya pun tak banyak bercakap sebenarnya,” akui Eiz, senyum. “Bercakap bila perlu saja.”
Addy, sambil memetik perlahan gitarnya, mencelah, “Yang penting, senyum. Saya rasa senyuman itu terlalu penting.
“Juga akhlak, kalau kamu punya akhlak tak betul, saya rasa macam susah betul nak kerja kalau situ (hati) tak bersih.”
Tidak hanya Addy, ia malah menjadi pegangan semua rakan bandnya. Mendukung adab, antara nilai yang membawa mereka berempat ke satu titik persamaan yang memungkinkan Cradle kembali menanam impian.
“Kami berempat memang berjodoh dalam Cradle ni,” kata Addy lagi, menjawab persamaan antara mereka sekumpulan. “Cradle kali ini (sebagai) satu band, kita buat (album) sama-sama, kalau dulu semua dah siap, kita masuk saja.
“Beban yang saya sudah bawa selama 20 tahun dalam muzik, saya letakkan di sini (Hela Nafasku). Saya rasa Eiz pun sama, begitu juga Zul dan Adha, masing-masing ada input dalam album. Jadi, apabila buat sendiri, bukanlah rasa bangga, tapi macam okaylah, baby project.”
Eiz yang dari tadi mendengar, mengiyakan dan berkata, “Lain rasanya, kepuasan itu tidak boleh nak jelaskan. Lain rasanya kalau ambil karya orang dan kita sampaikan, berbanding dengan karya sendiri, lain (kepuasan).”
BACA: “Bila buat lagu, Wings, Search ada dalam kepala.” – Addy
BACA: Cradle Band Lokal-lah!
Kini bernaung di bawah label Rasa Karya milik legenda muzik, Datuk Ramli Sarip, Cradle yang kembali menerusi singleAyuh! bersyukur kerana mendapat dukungan figura itu yang juga merupakan Penasihat Eksekutif album.
Sebanyak 11 lagu dipertaruhkan Cradle, lebih separuh merupakan karya Addy dan Eiz.
“Kami buat (rakam) ikut berapa saja (duit) yang ada, siap berbincang lagi dengan pemilik studio untuk dapatkan lebih jam,” kata Addy, disambut dengan senyuman oleh Eiz dan Zul. “Jurutera muzik kami, Nizam Aziz yang banyak menolong, menjadi telinga ketiga, keempat untuk menilai.”
Belajar untuk menepikan ego, termasuk meraikan pandangan orang lain, menurutnya lagi membantu melancarkan penghasilan Hela Nafasku yang turut hadir pada ulang tahun ke-30 penubuhan Cradle.
“Ada benda yang saya pun tak suka, tapi apabila saya tengok semula, ada sebab rupanya mengapa Nizam anjurkan ada muzik dibuat sebegitu. Saya terpaksa lepaskan sebab betullah, bila didengar semula (lagu), betul apa yang jurutera muzik kami cakap.
“Perubahan, kadang ada benda kita tak boleh terima, tapi ada benda memang perlu,” katanya.
Eiz mengangguk, mencelah, “Vokal pun sama. Sebab saya jenis kalau rasa okay, saya akan buat. Ada antara lagu, bahagian melodi, Nizam cadangkan cuba lenggokkan pada bahagian yang saya pun tidak terfikir untuk lakukan, tapi apabila selesai, ternyata penyampaian jadi lebih baik.”
Cradle akan kembali ke Singapura, Ahad ini, untuk sebuah persembahan di Festive Arts Theatre, Our Tampines Hub sempena kelahiran Hela Nafasku.




Comments are closed.