Cradle Band Lokal-lah!

Membawa vibrasi 90an lewat Hela Nafasku, tahun 2026 bakal menguji kerelevanan mereka.
Oleh Zurina Waji | Foto Bustamam Mokhtar
“Hela Nafasku mungkin hadir pada tahun ke-30 penubuhan Cradle, namun sebenarnya kami ibarat bermula kembali sebab boleh dikatakan lama jugalah band ini ‘tidur’. Nak bermula kembali sebenarnya tidak mudah… “
“ADA yang menyangka Cradle band Indonesia. Eh! Bukanlah,” kata sang vokalis, Eiz Mohd, ketawa mengakui salah faham segelintir pendengar muzik terhadap band itu yang baru melahirkan album studio penuh, Hela Nafasku.
Diasaskan oleh pemain gitar terkenal, Addy Rasidi, pada 1996, dia menyifatkan keadaan itu mungkin timbul disebabkan bunyi yang dibawakan band berkenaan, ditambah pula dengan cara nyanyiannya yang sekilas dikatakan mirip frontman Gigi, Armand Maulana.
“Iya ke?” katanya, malu-malu. “Kebetulan memang Gigi antara band yang kami dengar, tapi kalau ditanya daripada segi inspirasi, kami balik semula kepada band legenda seperti Wings dan Search, antaranya.
“Sebenarnya, sejak awal berkecimpung (dalam muzik) ramai yang cakap begitu. Mungkinlah ada sedikit, tapi saya tak rasa tone saya sama macam Armand Maulana Tidak dinafikan, Armand adalah salah seorang rujukan saya dan mungkin itu membuatkan terdengar macam dia.
“Ramai lagi band tanah air yang mempengaruhi, daripada Exists ke Lefthanded, selain Wings dan Search. Tapi kami juga dengar band Dewa 19 dan Padi, juga antarabangsa seperti Deep Purple, Audioslave dan 3 Doors Down.”
Kembalinya Cradle selepas hampir 20 tahun berhibernasi, ketika pasaran bagi album fizikal mahu pun studio penuh dilihat sudah hampir mati, dan menjadi artis di bawah label Rasa Karya yang dimiliki legenda rock, Datuk Ramli Sarip, segera meraih perhatian.
Kecuali Addy, band ini juga menampilkan ahli baharu dengan Zul Wahab bermain bes, manakala Adha Lizam di dram, selain Eiz sendiri yang sebelum ini merupakan vokalis Gerilia, sebuah band projek oleh gitaris Exists, Along.

BACA: “Bila buat lagu, Wings, Search ada dalam kepala.” – Addy
Pengalaman bersama Gerilia yang berlandasan muzik heavy metal, selain kesempatan mengdakan persembahan bersama Exists, menurut Eiz, digarap untuk memantapkan kemunculannya bersama Cradle.
Hela Nafasku yang membawa vibrasi 90an menyaksikan Addy bertindak sebagai Produser Album, Pengarah Artistik, dan Penyusun Muzik, selain menjadi Penerbit Eksekutif bersama Lisa Ang. Ia memuatkan 11 lagu, sebahagiannya ciptaan Addy dan Eiz, menampilkan lagu seperti Kumencari, Ikrarku, Pesona, dan Lara.
Jika dilihat pada latar belakang Cradle, mudah untuk mengandaikan laluan seolah terbentang mudah buat mereka, namun bagi Eiz, perubahan landskap industri muzik tanah air menyaksikan keadaan sebaliknya.
“Cabaran terbesar Cradle adalah untuk kekal relevan dan tidak syok sendiri,” katanya lagi, sambil menambah keadaan itu justeru memerlukan mereka untuk “bekerja lebih gigih untuk memenangi hati pendengar atau fans baharu.”
Tahun 2026, menurut Eiz, bakal menyaksikan Cradle meneruskan langkah dengan mempergiatkan promosi Hela Nafasku, malah Januari ini, band ini akan muncul dengan sebuah showcase di Singapura, selain sedang merangka siri jelajah pertama mereka.
“Hela Nafasku mungkin hadir pada tahun ke-30 penubuhan Cradle, namun sebenarnya kami ibarat bermula kembali sebab boleh dikatakan lama jugalah band ini ‘tidur’. Nak bermula kembali sebenarnya tidak mudah, banyak yang perlu dikaji supaya seiring, tidak ketinggalan sangat dengan arus muzik terkini,” katanya.
Peluang membawa sebahagian lagu daripada album baharu Cradle, termasuk duet bersama Ramli, pada showcase Cradle Live! di Ideas Hotel, Kuala Lumpur, sempena pelancaran Hela Nafasku, November tahun lalu, kata Eiz, membuatkan mereka gian untuk membuat persembahan lagi.
“Puas dapat menyanyikan lagu atau karya sendiri walaupun bukan satu album.
“Sebenarnya dengan platform media sosial yang ada sekarang ini lebih menyenangkan kerana artis dapat berhubung langsung dengan penggemar mereka. Jadi, promosi kena lebih meluas lagi supaya karya dapat sampai kepada lebih ramai pendengar baharu yang memang diperlukan Cradle, saat ini,” katanya.






Comments are closed.