Bukan Jamilah, Tapi Sebab Ummi Nazeera, Que Haidar Main Drama Berepisod Balik
Pelakon berkaliber ini kembali ke TV menerusi siri Pak Su Ammara untuk saluran Astro Ria.

Oleh RUMI

“Saya ambil tawaran ini sebab mahu bekerja dengan Ummi Nazeera. Saya mahu bekerja dengan beliau. Ummi banyak membantu saya.”

ENAM belas tahun adalah masa yang lama, malah terlalu lama, untuk tidak muncul dalam mana-mana drama berepisod, namun Que Haidar mengakui tidak dapat menolak tarikan pada drama Pak Su Ammara.

Sudah tentu bukan kerana Jamilah, ‘wanita’ yang membuat namanya menjadi sebutan selepas tular video pendek di platform media sosial dengan aksi bersahajanya miming lagu miiik penyanyi Indonesia, Jamal Mirdad itu, baru ini.

“Saya ambil tawaran ini sebab mahu bekerja dengan Ummi Nazeera,” katanya, mengenai keputusannya untuk menerima lamaran Global Station Sdn Bhd untuk memegang watak sebagai Pak Su.

“Saya mahu bekerja dengan beliau. Ummi banyak membantu saya.”

Keupayaan Que, atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, dalam menghidupkan watak yang diberikan tidak perlu diragukan, terutama dengan pelbagai anugerah yang dimenangi, antaranya sebagai Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Castello.

“Saya sudah 16 tahun tidak mengambil tawaran berlakon dalam drama bersiri dan kali ini penerbit serta Astro berjaya memujuk saya untuk kembali bermain dalam karya berepisod,” katanya, memetik kenyataan medianya.

“Sebenarnya, antara salah satu faktor saya menolak bermain dalam drama bersiri kerana berasa tidak sempat menyerap energi atau tenaga dalam karekter yang diberi kerana kami menjalani banyak babak dalam sehari.”

Di bawah bimbingan pengarah, Azri Izhar, menurutnya Pak Su Ammara membuatnya teruja.

“Namun untuk Pak Su Ammara, dengan bimbingan daripada pengarah, Azri Izhar dan seluruh tim yang memberi energi positif, saya seronok terlibat dalam naskah ini,” jelasnya, mengakui teruja digandingkan dengan Ummi, selain peluang berlakon bersama aktres handalan, Dian P Ramlee.

SINOPSIS

Kisah Hamiza, seorang guru pra sekolah, yang meninggalkan perkahwinan toksiknya ketika sedang hamil. Dalam perjalanannya sebagai ibu tunggal, Hamiza berkenalan dengan bapa saudara salah seorang pelajarnya, Ammara Rose, iaitu Firdaus yang digelar Pak Su.

Seaneh mendengar pengakuan berikutnya, Que tidak menyembunyikan perasaan gugup yang dialaminya.

“Walaupun saya sangat gugup, terutama pada hari pertama, Allah mendengar permintaan saya. Saya berdoa kalau kembali bermain drama berepisod, biarlah saya dikelilingi orang-orang baik dengan tenaga positif

“Saya telah mendapatkannya dalam produksi ini. Jadi, oleh kerana sudah setuju, saya tidak boleh tarik handbrake. Saya akan lakukan yang terbaik untuk Pak Su Ammara,” katanya yang mementingkan profesionalisme.

Drama 20 episod Pak Su Ammara akan mula ditayangkan di Astro Ria pada 5 Januari depan, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam. Dipersembahkan oleh Global Station Sdn Bhd dan BamBam Studios, drama ini turut dibintangi Syazwan Zulkifly dan Zaleha Iman Zainal.