Kenapa Senariounion 30 Tahun Reunion Paling Epik?
Di sebuah konsert mega yang menjawab penantian tiga dekad ikon komedi ini dalam seni.

Oleh Zurina Waji | Foto Natrah

“Konsert (sempena penubuhan) 10 tahun, tiada. Konsert 20 tahun pun tiada. Konsert 30 tahun ini rasanya kami sudah suarakan sejak Allahyarham Hamdan (Ramli) ada, berharap pada 2026 terlaksana.”- SAIFUL APEK

“PALING penting, nyanyi tak sumbang,” kata Saiful Apek, disambut derai ketawa oleh rakan Senarionya, ketika berkongsi harapan mereka untuk konsert berskala besar yang dijadualkan pada 25 April tahun depan.

The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun itu bukan saja bertepatan dengan penubuhan ikon komedi itu yang bakal memasuki usia tiga dekad, malah merupakan keraian pertama seumpamanya dalam sejarah karier mereka.

Dianjurkan oleh Dreamscape Events, konsert ini merupakan terbitan Kapla Entertainment.

“Kita bukan macam penyanyi sedia ada, mereka itu memang kerjanya menyanyi saja. Macam kita ni buat semua benda,” tambahnya, merujuk kumpulan itu yang merupakan gabungan beberapa  peserta daripada program realiti TV3, Sinaran Passport Kegemilangan.

Sambil sitkom mingguan, Senario, meraih jutaan tontonan, mereka turut mencipta fenomena di layar lebar, seawal Senario The Movie arahan Aziz M Osman pada 1999 yang mencatat kutipan box-office, RM4.58 juta.

Cukup popular untuk turut bergelar artis rakaman, kumpulan legenda ini menghasilkan beberapa  album studio yang memberikan hits seperti Sebelum dan Sesudah, Cari Tapak, Lip Lap Lip Lap dan Zapin Usik Mengusik.

Padanlah mengapa penggabungan enam anggota asalnya, iaitu Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Ilya Buang, dan Yassin Yahya, selain Saiful yang kini membentuk Senariounion menjadikan The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun antara yang paling dinantikan dalam kalender 2026.

“Konsert (sempena penubuhan) 10 tahun, tiada. Konsert 20 tahun pun tiada. Konsert 30 tahun ini rasanya kami sudah suarakan sejak Allahyarham Hamdan (Ramli) ada, berharap pada 2026 terlaksana,” kata Saiful, mengakui pemergian rakan mereka itu pada Januari tahun lalu amat dirasai.

“Sebenarnya ia seperti pada mana-mana persembahan yang pernah kami lakukan, semacam menggamit memori, tapi kita tetap akan ada latihan untuk menyempurnakan persembahan ini kelak.”

“Zaman, ketika tidak ada Netflix, Senario (sitkom) adalah antara program utama yang kami nanti-nantikan. Mereka adalah The Godfather of comedy. Setakat ini, mereka adalah yang terbaik… “ – AMARDIP, DREAMSCAPE

Sementara itu, Azlee mengakui faktor usia sebagai cabaran terbesar mereka pada konsert sebegini.

“Sudah berusia begini, kena kumpul semangat, kumpul energi sebab (durasi) konsert ini dua jam lebih. Jadi, kena kekal di pentas dengan lebih 20 lagu dan ia bukan satu perkara yang mudah,” katanya.

Lan yang mendengar sempat mencelah, “Kalau boleh kami minta fans yang datang tengok nanti, tolonglah doakan kesihatan kami.”

Konsert ini, bagi Yassin, sebenarnya adalah soal sejauh mana fans meraikan memori mereka bersama Senario.

“Cabaran besar ialah untuk mengembalikan semula budak-budak dulu (tahun 90an) yang sekarang sudah ada anak-anak, malah ada yang bercucu, untuk datang balik dan menonton Senario.

“Jadi, datanglah dan tunjukkan bukti, misalnya gambar ‘ini kami yang dulu’, memori itu yang kami mahu,” katanya, turut disokong Lan yang meminta fans membawa apa jua memorabilia yang masih disimpan, seperti album, untuk dirakam sebagai kenangan pada keraian 30 tahun ini.

Amardip Singh Pannu yang mewakili penganjur, pada sidang medianya, yakin konsert ini akan membawa audiens mengimbau banyak memori indah, terutama yang membesar bersama Senario pada era 90an.

“Zaman, ketika tidak ada Netflix, Senario (sitkom) adalah antara program utama yang kami nanti-nantikan,” katanya, mengakui antara ribuan penggemar kumpulan itu sejak mengenali mereka seeawal usia 12 tahun.

“Mereka adalah The Godfather of comedy. Setakat ini, mereka adalah yang terbaik, menurut pandangan saya.”

Dzakirin, bagi pihak Kapla Entertainment, berkata menerusi konsep The Godfather yang diketengahkan, The Last Kopek: Senariounion 30 Tahunakan dibahagikan kepada tiga segmen, termasuk tribute.

“Ini adalah sebuah konsert muzikal yang mana kita akan selitkan lawak santai, tapi fokusnya adalah pada lagu-lagu Senario,” katanya, sambil mengumumkan Senariounion akan diiringi tujuh pemuzik bersama tiga pemain horn dan akordian dengan susunan muzik yang baharu dan segar oleh Chaan & The Leman Band sebagai Pengarah Muzik.

Sila layari www.ilassotickets.com/Senariounion atau www.fantopia.io untuk pembelian tiket.