“Saya jatuh cinta pandang pertama…” – Nadhif Basalamah
Itu pengakuan pelantun Penjaga Hati ini, bukan tentang wanita, tapi kota bernama Kuala Lumpur.

Oleh Zurina Waji

“Kenapa Menjaga Hati Asia Tour? Kerana (Penjaga Hati) lagu paling banyak distrim, paling terkenal.”

DIA tidak menyembunyikan tentang cinta pandang pertamanya dengan Kuala Lumpur. Sungguh.

Kota metropolitan itu, akuinya, mencuri hatinya sejak kali pertama dia menjejakkan kaki, sekitar tahun lalu. Namun paling tidak diduganya ialah penerimaan para pendengar terhadap karya Nadhif Basalamah.

“Saya suka makanannya (Malaysia). Saya kagum, saya jatuh cinta sejak kali pertama datang,” katanya, senyum mengingati pengalaman pertama itu. “Saya senang sekali dengan Malaysia.”

Cintanya itu, menurutnya akhirnya terbalas dengan lamaran After School dan Banyak Bagus Entertainment untuk konsert perdananya pada 11 September yang digelar Nadhif Basamalah – Menjaga Hati Asia Tour 2025.

Kuala Lumpur menjadi destinasi tour jejaka berusia 25 tahun itu, selain Singapura.

“Ini adalah tour pertama Asia Tenggara saya,” katanya, dalam temuramah di Jakarta secara Zoom, menghitung detik untuk bersua muka dengan para penggemarnya. “Kenapa Menjaga Hati Asia Tour? Kerana (Penjaga Hati) lagu paling banyak distrim, paling terkenal.”

Setakat September, menurut “Chartmetric dan Kworb.net, lagu yang dikeluarkan pada 2023 itu mencatat lebih 456 juta penstriman, berbanding Bergema Sampai Selamanya (142.7 juta strim) dan Jatuh Cinta Lagi (27.8 juta strim).

“Sudah 100 peratus siap! Saya cuma mahu orang menikmati masa yang menyeronokkan.”

BACA: Nadhif Basamalah Singgah KL, 11 September Ini

Jelas Nadhif, sebanyak 18 lagu, termasuk beberapa lagu baharu telah dipersiapkan untuk konsert berdurasi sekitar dua jam itu.

“Ia adalah gambaran perjalanan emosi saya,” kata penyanyi asal Jakarta ini. “Iaitu tentang transisi, memasuki alam kedewasaan. Saya cuba merakam sisi rapuh itu, bagaimana saya sembuh pada masanya.”

Ujian itu, menurutnya, hadir sewaktu dia sedang dalam fasa membesar.

“Hidup sebagai pemuzik, itulah yang membantu saya untuk menerima fasa yang sedang saya lalui. Daripada hanya seorang yang baru hendak menginjak dewasa, saya menerimanya sebagai satu proses kematangan.

“Jadi, tour konsert ini ibarat satu keraian tentang pertumbuhan saya. Semangat teman-teman (fans) di Malaysia buat saya terpesona, sangat antusias, malah sebahagiannya meminta untuk bertemu.”

Ujar Nadhif lagi, besar harapannya agar para penggemarnya dapat mengambil kesempatan untuk hadir pada konsertnya yang dijadual diadakan di The Exchange Hall, Petaling Jaya itu.

“Sudah 100 peratus siap!,” kata penyanyi dan komposer asal Jakarta ini. mengenai persiapannya untuk konsert di Kuala Lumpur. “Saya cuma mahu orang menikmati masa yang menyeronokkan.

Kekaguman Nadhif pada Kuala Lumpur turut dizahirkannya lewat Kota Ini Tak Sama Tanpamu, single yang merupakan kolaborasi antara dia dengan Aisha Retno dan Aziz Harun.

Mengangkat tema rindu dan keterikatan, penghasilan lagu pada Jun, tahun lalu itu dicetuskan Nadhif yang mahu menulis mengenai Kuala Lumpur untuk pasangannya yang kini merupakan tunangannya.

Senang dengan gandingan mereka bertiga yang berlanjutan kepada persahabatan, dia sempat berseloroh untuk melakukan lebih banyak kolaborasi agar punya alasan untuk kerap ke Kuala Lumpur.

“Datuk Siti Nurhaliza, mungkin,” katanya, senyum apabila ditanya siapa yang diimpikan untuk berkolaborasi di masa depan, selain menamakan Insomniacks yang disifatkan “sangat cool, sangat baik.”

“Kenapa Datuk Siti? Kerana dia seorang pernghibur yang semula jadi, tapi sudah berapa lama pula dia dalam industri (seni) dan dia menghibur, sampai ke hari ini. Saya tabik dengan dia.”

Tiket terhad serendah RM138 masih boleh didapatkan dengan melayari www.ticketmelon.com