“… kalau terlalu bahagia pun pasti ada lukanya.” – Nadhir Nasar

Tentang Rumah Tanpa Luka, drama mengenai anak istimewa yang tidak diinginkan ibu bapanya.
Oleh RUMI | Foto Astro Ria
“Paling mencabar adalah seni dan marah dan tidak marahnya Hayden Hayyan. Dari episod ke episod, tidak boleh baca perjalanan dan roller coasternya.” – Nadhir
SEBAGAI Hayden Hayyan, menurut Nadhir Nasar, watak antagonis dalam drama Rumah Tanpa Luka itu mudah untuk disalah erti.
Perlu banyak bermain emosi, dia berkata, luahan amarah malahan menjadi seni yang mencabar keupayaannya sebagai seorang pelakon.
“Paling mencabar adalah seni dan marah dan tidak marahnya Hayden Hayyan,” katanya, menurut kenyataan medianya.
“Dari episod ke episod, tidak boleh baca perjalanan dan roller coasternya. Kadang tinggi dan kadang rendah. Itu cabaran di set untuk mengawal emosi.”
Diarahkan oleh Nur Ain Sharif, drama terbitan Suhan Movies & Trading serta BamBam Studios itu menyaksikan gandingan pertama Nadhir dan Shukri Yahaya yang memegang watak Quizi bersama Erysha Emyra (Kalsom).
Ia juga menampilkan lakonan kanak-kanak istimewa, Naura Arissa sebagai Rose Ameena, selain lakonan Hajjar (Dahlia), Kismah Johari (Nek Rogayah), Ziela Jalil (Datin Normala dan Syean Mokhtar (Dato Zaidi).

Sinopsis
Dalam kepayahan hidup, Kalsum tetap berkorban untuk menjaga Rose Ameena biarpun dirinya dibuang keluarga, Kehadiran Quizi ibarat memberi sinar baru di dalam hidupnya, namun semua hanyalah sementara dek kemunculan semula Hayden Hayyan.
Bercerita lanjut mengenai drama itu, kata Nadhir, judul Rumah Tanpa Luka itu sendiri sudah melambangkan sebuah metafora.
“Kita tahu setiap rumah, kalau terlalu bahagia pun pasti ada lukanya walaupun sedikit,” katanya.
Ditanya mengenai watak Hayden yang dianggap red flag, jawapnya, “Saya pun tidak faham kenapa orang labelkan hayden Hayyan ini seorang yang red flag, walhal dia seorang yang bertanggungjawab. Hayden Hayyan sebenarnya anak mak, sebab itu dia jadi begitu.”
Shukri, sebaliknya melihat Quizi sebagai “lelaki yang sangat green flag”, dan diimpikan ramai perempuan walaupun dia sendiri sangsi apakah ada lelaki sebegitu dalam dunia sebenar.
“Quizi seorang yang easy going, down to earth,” ujarnya, mengakui Quizi berbeza dengan “watak pukul bini, curang dan kena pukul” yang biasa dibawanya. “Seorang yang senang, tapi tak menunjuk. Dia merendah diri dan setia.”
Sempat, dia mengusik, “Malah tak pandai bercinta dan tak pandai mengorat perempuan.”

Satu yang pasti, Nadhir dan Shukri sama-sama mengakui peluang berlakon bersama anak seistimewa Naura adalah pengalaman yang menyeronokkan dan amak bermakna buat mereka.
“Mula-mula saya rasa agak susah sebab dia anak istimewa,” kata Shukri. “Rupanya senang sangat kerja kerana dia sangat memberi. Cuma kita jangan buat dia rasa takut atau terkejut, Kena jaga hati dia.”
Nadhir pula mengambil pendekatan dengan meluangkan banyak masa bersama Naura di set.
“Apabila dia sudah kenal kita dan perangai kita, dia tahu bila waktu nak action dan cut. Dia tahu bila masa kita sedang berlakon. Senang bekerja dengan anak istimewa. Bukan cabaran, malah satu keberkatan untuk kami semua,” katanya.
Rumah Tanpa Luka telah memulakan tayangannya sejak 1 September lalu di Astro Ria, setiap Insin – Khamis pada jam 10 malam, dan juga boleh distrim di Astro One dan Sooka.





Comments are closed.