“Saya rasa macam dunia terhenti sekejap.” – Salamiah Hassan
Tidak sangka sold out, Konsert Gelombang Bahagiaku jadi tanda kasih Salamiah dan anaknya, Atilia Haron.

Oleh RUMI

“Dapat berkongsi pentas bersamanya, di hadapan penonton yang penuh… it’s surreal.” – Atilia

“SEJAK kecil, saya ingin menjadi seperti mama,” kata Atilia Haron, terharu dengan sambutan luar dugaan terhadap konsert perdana bersama sang ibu, legenda Salamiah Hassan.

“Dapat berkongsi pentas bersamanya. di hadapan penonton yang penuh… it’s surreal.”

Jelas pelantun Kekanda Adinda ini, Konsert Gelombang Bahagiaku itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru ini, sememangnya tidak mudah untuk dilaksanakan.

“Projek ini bukan mudah kerana kami bermula tanpa penaja, tetapi berkat sokongan rakan-rakan dan keluarga, ia menjadi malam yang tidak akan saya lupakan,” katanya, tidak menduga konsert itu akan sold out.

Salamiah yang memasuki tahun ke-55 penglibatannya dalam dunia seni, menyifatkan malam itu mencatat momen berharga.

“Menyanyi bersama anak saya sepanjang konsert ini adalah hadiah paling indah,” katanya, bersyukur dengan kesempatan itu. “Bila kami berpandangan sambil menyanyi, saya rasa macam dunia terhenti sekejap. Momen itu yang saya tunggu-tunggu.

“Saya dapat lihat di mata Atilia penuh semangat dan kasih. Itu yang membuatkan saya rasa inilah kebahagiaan sebenar.”

”Age Is Just The Number menjadi pilihan duet anak beranak ini yang terus menghangatkan malam dengan persembahan istimewa Empat Dara bersama Mimifly dan Elvira Arul.”

Atilia membuka tirai dengan lagu No Fruits For Today, diikuti rangkaian lagu seperti Old Love, Rekah, medley Bodoh dan Cinta Sampai Mati sebelum kolaborasi dengan MonoloQue lewat Kekanda Adinda, selain bersama pemuzik Jason Voo, antaranya menerusi Bahagiaku.

Salamiah pula memukau dengan pelbagai genre, daripada I’m So Excited ke balada Surat Terakhir, malah jazz klasik Frim Fram Sauce sebelum berduet dengan Hardy Arbi, antaranya menerusi Berdebar-debar Rasa Hati.

Kehadiran Mimifly menambah warna menerusi medlet Sahabat dan Angkat, sebelum Salamiah kembali dengan lagu seperti Menghitung Hari dan Gelombang.

Age Is Just The Number menjadi pilihan duet anak beranak ini yang terus menghangatkan malam dengan persembahan istimewa Empat Dara bersama Mimifly dan Elvira Arul.

Konsert itu juga, menurut Atilia, menyedarkannya betapa dia begitu merindui untuk berada di pentas.

“Tahun depan saya hendak buat lebih banyak persembahan,” katanya, menambah, “Saya rindu berada di pentas. Malam ini membuktikan bahawa muzik dan kasih sayang keluarga adalah kombinasi yang tidak ternilai.”

Buat bakat generasi baru, ini yang ingin disampaikan Salamiah: “Penyanyi muda sekarang hebat-hebat, buat lagi sendiri, belajar vokal. Saya yang sudah 55 tahun dalam industri ini pun masih belajar. Kerana seni itu satu perjalanan tanpa henti.”