Didominasi Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri & Aina Abdul, AIM24 Siapa Lebih Unggul?
Jawapan pada malam akhir, live dari Arena of Stars, Genting Highlands, 13 September ini.

Oleh RUMI

“… Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Aina Abdul mendominasi, masing-masing menerima sembilan pencalonan, termasuk bertembung dalam dua kategori, iaitu Rakaman Lagu terbaik dan Rakaman Album Terbaik.”

KALA ada yang mempersoalkan relevan lagikah Anugerah Industri Muzik (AIM), edisi ke-24nya tampil dengan pengumuman dana RM700,000 menanti pemenang dengan RM200,000 disediakan untuk Album Terbaik saja.

Itu belum dikira dana RM50,000 yang menanti pemenang setiap 11 kategori utamanya, termasuk kategori Artis Baru Terbaik dengan jumlah keseluruhan membabitkan setengah juta Ringgit.

Tapi belum habis cerita tentang dana, pengumuman Top 5 bagi setiap kategori yang dipertandingkan dihangatkan dengan Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Aina Abdul mendominasi, masing-masing menerima sembilan pencalonan, termasuk bertembung dalam dua kategori, iaitu Rakaman Lagu terbaik dan Rakaman Album Terbaik.

Dayang yang menerima dua pencalonan bagi Rakaman Lagu Terbaik, juga menerima pencalonan bagi Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu (3), Album Terbaik (2) dan Lagu Tradisional Terbaik.

Ernie pula turut dicalon bagi kategori Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/ Komposer Luar Negara Terbaik, Kulit Single/ Album Terbaik, Video Muzik Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/ Drama, dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Seperti Ernie, Aina juga meraih pencalonan bagi kategori Vokal Wanita Terbaik, Kulit Single/ Album Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/ Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/ Drama. Dia juga mendapat dua pencalonan bagi kategori Album Terbaik.

Ia adalah antara 26 kategori yang diumumkan, meliputi 30 kategori secara keseluruhan. Empat lagi kategori akan dimumkan pada malam kemuncak AIM24 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, 13 September ini, dan disiarkan melalui TV2.

Datuk Seri Siti Nurhaliza, Hazama dan Faizal Tahir pula, masing-masing menerima enam pencalonan.

Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, pada pengumuman Top 5 AIM24 di Kuala Lumpur, baru ini, berkata penjurian bagi 30 kategori yang dipertandingkan, tahun ini, membabitkan mereka yang akitf dalam bidang muzik tanah air.

“Juri merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi, penerbit, penggubah lagu, guru vokal, pengarah filem, jurutera rakaman, jurufoto, pereka grafik dan perunding imej, antaranya,” katanya mengenai penjurian pada Julai lalu itu, membabitkan tiga fasa dengan terakhir dibuat bagi kategori Lagu Terbaik.

“Ia dilakukan dengan penuh telus dan tanggungjawab di bawah pengawasan tokoh seni dan Ketua Juri, Datuk Mokhzani Ismail. Proses penjurian AIM24 telah diurus tadbir oleh badan bebas, Maccom Management Services Sdn Bhd dan semua pemarkahan telah diaudit oleh Mazars, iaitu sebuah badan audit bebas.”

AIM24, sebelum ini, mengumumkan peningkatan insentif kerajaan kepada pemenang kategori utama utama yang disediakan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang diperuntukkan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures. Ia lebih dua kali ganda berbanding AIM23 yang hanya menyediakan RM320,000 kepada empat pemenang.

Pengumuman Top 5 itu, antara lain turut menyaksikan kategori Artis Baru Terbaik yang menampilkan Koi menerusi Niskala Suaka yang dicalonkan bersama Erika Foo (Hidupkan Mimpi Mimpi), Ryenald Guntabid (Lumangad Oku Dika), Intan Maya (Layak Bahagia), dan Xone (Lantaklah).

Ryenald juga satu-satunya muka baru yang dicalonkan bagi kategori Vokal Lelaki Terbaik, bersaing dengan Akim Ahmad menerusi lagu Saksama, Amir Masdi (Sengaja), Hafiz Suip (Terus Bersinar) dan Hazama (Mendonan).

Juga menarik, Vokal Wanita Terbaik menampilkan powerhouse, Aina Abdul menerusi Jangan Mati Rasa Itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza (Sehebat Matahari), Ernie Zakri (Aura), Liza Hanim (Takdir Itu Milik Aku) dan Marsha Milan (Hening Rindu).

AIM24 dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G, dan mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan Resorts World Genting, serta rakan strategik, Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concepts Sdn Bhd dan Timeless Studio.

Menarik tentang AIM24:

  • Sejumlah 30 kategori dipertandingkan, termasuk empat kategori baharu, iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/ Komposer Luar Negara Terbaik dan Kugiran Terbaik
  • Menerima insentif tertinggi daripada kerajaan, iaitu RM700,000
  • RM200,000 saja disediakan bagi kategori Album Terbaik AIM24
  • Calon bagi Album Terbaik ialah Janji (Dayang Nurfaizah), Imaji (Aina Abdul), Belagu 2 (Dayang Nurfaizah), Imaji Deluxe Edition (Aina Abdul) dan SITISM (Datuk Seri Siti Nurhaliza)
  • Dana turut menanti pemenang 11 kategori utama, iaitu RM50,000 dengan jumlah keseluruhan, RM500,000
  • 11 kategori utama dipertandingkan, termasuk Lagu Etnik Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik dan Video Muzik Terbaik
  • Empat kategori tidak membariskan Top 5, iaitu Album Terbaik, Anugerah Sri Wirama, Lagu Paling Tinggi Distrim dan Muzik Video Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube