Craig David Presents TS5 Jengah KL November Ini
Sebuah konsert eksklusif yang menjanjikan malam penuh tenaga dan dinamik.

Oleh RUMI

“Malam Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur yang akan menyaksikan Craig sendiri – menyanyi, MC dan DJ, live dalam sebuah persembahan bertenaga.”

CRAIG David, fenomena global yang menambat hati peminat muzik, khususnya R&B, sejak menggemparkan industri menerusi debut, Born To Do It pada tahun 2000 sah akan kembali ke Kuala Lumpur!

Pada 10 November ini, setelah lebih sedekad, pelantun Fill Me In berkenaan sedia untuk membuai penggemarnya, sekali lagi, kali ini menerusi sebuah konsert eksklusif Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh T-Rex Studio, konsert itu akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Dia yang pertama kali meraih perhatian dengan Re-Rewind, sebuah kolaborasi bersama Artful Dodger, bakal tampil dengan konsep istimewa TS5 – gabungan persembahan vokal langsung dan set DJ.

Ya. Malam Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur yang akan menyaksikan Craig sendiri – menyanyi, MC dan DJ, live dalam sebuah persembahan bertenaga.

TS5 yang bermula sebagai sebuah siaran radio dari apartmentnya di Miami, kini telah menjelajah ke pentas berprestij di seluruh dunia, daripada Ibiza ke Dubai, London ke Tokyo dan kini, buat pertama kalinya, di Malaysia.

Dicetuskan oleh pengalaman awalnya sebagai DJ di sirkit kelab di United Kingdom sebelum dia memulai kerjaya solonya sebagai artis dengan albumnya mencecah jualan lebih 15 juta unit, TS5 menyaksikan Craig menghasilkan set yang menggabungkan antem old skool, daripada R&B ke Swing, ke Garage dan Bashment, dengan hit House semasa.

Kini TS5 dikenali di serata dunia sebagai jenama party yang telah dihadiri lebih 1.5 juta orang.

Penganjuran ini juga bertepatan dengan pelancaran Commitment, album studio ke-9 Craig yang menghimpunkan 13 trek yang dilancarkan pada 8 Ogos. Disifatkan sebagai karya paling peribadi buat penyanyi British ini, ia menyaksikannya berkolaborasi dengan bintang seperti Tiwa Savage, JoJo, dan Louisa Johnson.

Commitment adalah segalanya bagi saya sekarang ini sepertimana Born To Do It sewaktu saya remaja. Itu apa rasanya bagi saya, itu apa maknanya bagi saya,” kata Craig, memetik kenyataan medianya.

“Dan saya berharap apabila orang mendengarnya mereka akan merasakan perasaan yang sama berulang semula. Menghasilkan muzik, ia masih membuat saya menjadi seperti anak kecil yang teruja, ingin merasakan semua keajaiban itu lagi – tapi dengan 25 tahun pengalaman.”

Jangkakan sebuah malam yang penuh tenaga dan dinamik, November ini, dengan rangkaian hits seperti 7 Days, Walking Sway, What’s Your Flava, dan When the Bassline Drops. Tiket serendah RM288 akan dijual bermula 12 Ogos ini.

Akses

  • 10 November 2025
  • 8pm
  • Mega Star Arena, Kuala Lumpur

Tiket

  • BERDIRI – RM588 (CAT 1) & RM788 (VIP); DUDUK – RM288 (CAT 4), RM388 (CAT 3), RM488 (CAT 2) & RM1,888 (ROYAL TWIN). Tiket akan mula dijual pada 12 Ogos nanti.
  • Layari www.myticketempire.com/craigdavidpresentsts5kl untuk pembelian