Keraian 21 Tahun Kotak, 21 September Ini!
Lewat konsert istimewa, Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna di Kuala Lumpur.

Oleh RUMI

“… ia bukan saja menyambut ulang tahun Kotak, tetapi turut menyaksikan saya digandingkan bersama suami tercinta di satu pentas, bersama-sama fans kami dan juga yang tersayang.” – Tantri, Kotak

“INI bakal jadi momen yang sungguh bermakna,” kata Tantri, vokalis Kotak, mengenai kembalinya band rock asal Jakarta itu untuk sebuah konsert istimewa menjelang keraian ke-21 tahun penubuhannya.

Digelar Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna, ia malahan bakal mencipta momen peribadi yang cukup manis, terutamanya buat Tantri dan Arda Hatna yang bukan saja dikenali sebagai vokalis Naff, malah juga suaminya.

Dibawa oleh GemaWave, konset dianjurkan oleh Boomset Planning.

“Persembahan ini berbeda daripada konsert sebelum ini kerana ia bukan saja menyambut ulang tahun Kotak, tetapi turut menyaksikan saya digandingkan bersama suami tercinta di satu pentas, bersama-sama fans kami dan juga yang tersayang,” kata Tantri, memetik kenyataan medianya.

Selain Tantri atau nama sebenarnya, Tantri Syalindri Ichlasari, Kotak yang turut dianggotai Swasti Sabdastantri (bass) dan Mario Marcello (gitar) meraih perhatian, antaranya dengan karya seperti Pelan-Pelan Saja, Beraksi, Terbang, Saat Ku Jauh dan Tinggalkan Saja.

Band yang pernah memenangi beberapa anugerah berprestij, antaranya bagi Band Rock/Kumpulan Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2009 juga merakam Jagalah Bumi sebagai lagu tema animasi popular, BoBoiBoy.

“Ingatan kami kepada kalian tidak pernah Hilang. Semoga kita saling Selalu Cinta dan sampai jumpa di Kuala Lumpur,” kata Tantri lagi.

Oleh itu, menurut Syira Yusof daripada Boomset Planning, ia menjadikan malam 21 September itu bukan sekadar konsert.

“Ia adalah penghormatan kepada era muzik yang membentuk ramai daripada kita. Kami mahu bawa semangat itu kembali hidup dalam suasana intim dan penuh bermakna,” katanya mengenai konsert perdana anjuran mereka itu.

Enggan memberikan persembahan Kotak yang “begitu-begitu saja”, katanya, kerana itu ditampilkan Arda yang tahun lalu hadir dengan lagu seperti Orang Tak Enakkan dan Pelabuhan Terakhir di dalam konsert berkenaan sebagai bonus buat fans.

“Dengan kolaborasi Kotak dan Arda Hatna, keraian Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna akan menjadi sebuah momen luar biasa yang tidak akan dilupakan, terutama buat Kerabat Kotak,” tambah Syira.

Akses

  • 21 September 2025
  • 8pm
  • Zepp Kuala Lumpur

Tiket

  • RM198 (Berdiri), RM218 (Gold), RM248 (Platinum) & RM3,888 (Box)
  • Layari www.ticket2u.com.my untuk pembelian