Terlalu Peribadi Hingga Feby Putri Tidak Bisa Ceritakan?
Bukan sekadar bernyanyi, konsert Feby Putri Vol 3: Hitam Putih Live in Kuala Lumpur, baru ini, penuh makna.

Oleh Ariena Ariel | Foto Miebird Projects

“Aku tidak bisa menceritakannya kerana ia terlalu perbadi buat aku, tapi aku pernah merasakan hitamnya yang kelmarin, terus sekarang sudah putihnya.”

INI kali ketiga Feby Putri ke Kuala Lumpur, tapi pengalaman pertama bagi saya yang seperti ramai Gen-Z, kenal dan mengikuti penyanyi yang dilahirkan di Makassar, Indonesia ini sejak mendengar Halu pada 2022.

Diberi tugasan, bukan saja ke konsert Feby Putri Vol 3: Hitam Putih Live in Kuala Lumpur anjuran Miebird Projects di Zepp Kuala Lumpur bersempena kelahiran album barunya, Hitam Putih, tapi juga menemuramah, saya jadi berdebar – teruja bercampur ragu-ragu.

Tapi, kata kawan, “Jujur dan enjoy saja.” Okey.

FEBY PUTRI IN PERSON

Kali pertama berjumpa? Tidak percaya dia ada di depan mata. Dia senyum semasa kami saling berpandangan, dan ramah sepanjang bersama media dengan jawapan yang memberikan sedikit idea tentang mengapa dia memilih untuk menulis sepertimana yang ditulisnya.

Ini antara yang dijawap Feby mengenai Hitam Putih.

Ada cerita Hitam Putih yang terkait dengan karier atau hidup anda?

FEBY: “Aku tidak bisa menceritakannya kerana ia terlalu perbadi buat aku, tapi aku pernah merasakan hitamnya yang kelmarin, terus sekarang sudah putihnya. Jadi yang Hitam Putih aku maksudkan adalah Hitam itu adalah buruknya, segala buruknya yang pernah aku terima, lalu Putihnya adalah kebaikan yang sudah aku terima.”

Cabaran ketika melahirkan album Hitam Putih?

FEBY: “Cabaran Hitam Putih adalah aku harus merakam vokal ku. Jadi, ada lagu tentang Ibu aku. Salah satu lagunya ada di album Hitam Putih iaitu Durasi, itu lagu untuk ibu aku. Aku menulis liriknya, aku membuat muziknya, semua itu sebelum ibu aku meninggal (dunia).

“Jadi, Ibu aku masih ada di dunia (semasa lagu dibuat). Muziknya sudah jadi dan masuk rakaman vokal, ibu aku sudah tiada. Jadi, cabarannya adalah bagaimana kita harus merakam vokal (lagu Durasi), tapi beliau sudah dipanggil duluan dan aku tetap harus kuat dan okey.”

“… jadi suka mendengar Bagai Bulan Bintang gara-gara Feby membuat kejutan, turun daripada pentas untuk berada di tengah 2,000 fans Malaysianya yang disebutnya “keren banget.”

Mesej yang dibawa?

“Jadi, aku baru berpengalaman kelmarin itu, di tahun 2019. Dari awal aku merantau sampai sekarang, ternyata di kehidupan ini akan ada hitamnya dan juga akan ada putihnya. Iaitu, akan ada baiknya dan akan ada buruknya.

“Dan menurut aku, sepertinya lebih enak dan lebih bagus ketika kita merasakan yang tidak enak duluan, kemudian kita merasakan yang enak, yang baik kerana kita sudah pernah merasakan yang tidak baik. Jadi, kita bisa jadikan itu pelajaran di masa depan kita nanti. Itu aku sebut di dalam lagu Dunia, juga daripada album Hitam Putih.”

17 LAGU, 2,000 FANS. KONSERT FEBY PENUH ERTI

“Kerana aku suka sekali audiens di sini, masya-Allah,” jawap Feby tentang pengalaman konsertnya di Malaysia. Pernah, katanya, dia terkejut gembira apabila audiens ikut bernyanyi, seawal intro, walaupun lagu itu dianggap “judul sepi” di Indonesia.

Menonton Feby live, saya merasai vibrasi positif. Dia yang menggayakan gaun putih, macam fairy tale sikit, memulai konsert dengan Rantau, kemudian Semoga Ada Waktu Luang. Lagu seperti Kembali, Guratan Tangan dan Durasi, antara piihan Spotify saya dinyanyikan dengan baik.

Saya juga jadi suka mendengar Bagai Bulan Bintang gara-gara Feby membuat kejutan, turun daripada pentas untuk berada di tengah 2,000 fans Malaysianya yang disebutnya “keren banget.”  Saya teruja melihatnya menyanyi sedekat itu dan terasa ketulusannya.

Saya teringat, semasa temuramah, kata Feby, setlist lagu dipilihnya sendiri, malah konsep juga ideanya. Dia berbakat, malah tahu apa yang dia mahu walaupun susah nak percaya apabila dia berkata “rasa shaking” di depan ramai orang,

“Jadi, baiklah aku hafal apa yang mahu cakapkan nanti. Persiapan adalah latihan, terus latihan kita sampai lima kali untuk Malaysia. Macam sudah cukup latihan, ternyata tidak. Jadi, sewa studio lagi untuk latihan, semoga apa yang disiapkan sampai ke hati semuanya,” ujarnya.

Tapi Feby, bagi saya, kamu baik-baik saja, malah menginspirasi.

Selain perwatakannya, penampilan dan fesyen yang digayakannya, alasan terkuat saya mengagumi Feby adalah lirik-lirik yang ditulis untuk lagu-lagunya, banyak tentang keyakinan dan berserah pada Allah.    

Macam Halu, dan dengan 17 lagu semuanya yang dinyanyikan, bagi saya, Feby Putri Vol 3: Hitam Putih memang sempurna.