Nada-nada Cinta Rossa
Di tahun ke-29 kerjaya seninya, diva Indonesia ini memberitahu Kuala Lumpur kenapa dia masih ada.

Oleh Zurina Waji

“… saya bukanlah dalam kelompok peminat Rossa. Saya tidak menghafal lagu-lagunya, namun saya tidak akan menolak untuk mendengar alunan indah suaranya lewat Ayat-ayat Cinta, misalnya.”

CUMA setahun lagi genaplah 30 tahun perjalanannya dalam dunia seni. Ini bermakna, pada usianya kini 46 tahun, lebih separuh daripada hidupnya didedikasi pada seni – baik muzik, mahu pun lakonan.

Bagaimana dia melakukannya?

Atau, lebih tepat, bagaimana dia membuat dunia seni seolah belum mahu jemu dengannya?

Sungguh menghormati, malah mengagumi suaranya, saya bukanlah dalam kelompok peminat Rossa. Saya tidak menghafal lagu-lagunya, namun saya tidak akan menolak untuk mendengar alunan indah suaranya lewat Ayat-ayat Cinta, misalnya.

Sambil menyedari banyak baladanya memahat perkataan “cinta” sebagai judul lagu-lagunya, entah apakah ada lagi yang lebih duka daripada Hati Yang Kau Sakiti yang membuat air matanya menitis ketika dia menyanyikannya usai menerima surat perceraian daripada bekas suami, Yoyo yang juga pemain drama band Padi, semasa bersiap untuk satu persembahan di Kuala Lumpur pada 2009.

Selepas sekian lama, apabila diumumkan konsert Rossa Here I Am anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun, saya berfikir: “Mengapa tidak?”

Apatah lagi kerana kolaborasi Rossa dan PRIHATIN itu susulan kejayaan siri terdahulu, Rossa 25 Shining Years dan Another Journey: The Beginning dengan Here I Am bagi meraikan 29 tahun perjalanan seninya itu sambil mengumpul dana Tabung Kasih Prihatin bagi tujuan pendidikan dan kebajikan.

Juga, kerana saya tertarik dengan tamu yang diundang, iaitu Ariel Noah yang dihadrikan bersama Ernie Zakri dan MK K-Clique yang diumumkan pada pertemuan dengan media, Ramadan lalu, di mana Rossa “berharap dapat memberikan yang lebih sesuai dengan zaman, semoga dapat memberikan persembahan yang lebih seru, lebih wow!”

BACA: Beli RM4, Jual 54 Sen, Rossa Jaga Maruah Orang Susah

Tidak hanya bakat dimiliki Rossa, keperibadian anak jati Sumedang ini yang mesra dijuluki Teh Ocha turut membuat banyak hati mudah terpaut padanya. Biar ada masanya, saya sempat resah sambil menonton, tidak dinafikan dia tahu bagaimana untuk membeli jiwa 8,000 audiensnya.

Sepanjang tiga jam Here I Am, 34 judul lagu diperdengarkan, berganti baju seolah satu pertunjukkan fesyen – gaun putih ala kerudung paling buat hati terpaut – yang membawa saya kembali pada zaman menonton video konsert bintang Hong Kong seperti mendiang Anita Mui, sememangnya Rossa dilahirkan untuk pentas.

“… Datuk Siti Nurhaliza yang berada di tengah audiens menyambung bait-bait Percayalah lewat tribute buat penyanyi popular Malaysia ini, jelas mencambahkan momen indah yang tidak diduga.”

MERIAH LAIN MACAM

Sudah tentu ada judul yang ingin saya dengarkan dalam pengetahuan yang terhad ini, tapi bukan pula masalah menikmati malam sambil mengira alangkah baik sekiranya dikurangkan kemunculan penyanyi undangannya.

Jeritan audiens wanita yang menggoncang tali jantung saat menyambut kemunculan Ariel Noah untuk duet Nada-nada Cinta bersama Rossa yang membuat ramai mengelamun, tersenyum sendiri. Juga kala Datuk Siti Nurhaliza yang berada di tengah audiens menyambung bait-bait Percayalah lewat tribute buat penyanyi popular Malaysia ini, jelas mencambahkan momen indah yang tidak diduga.

Tapi The Ladies? Siapa? Tanpa menafikan bakat dimiliki, bagi seorang seperti saya yang ingin mendengarkan Rossa mula merasakan ini tentang perjalanan 29 tahun Rossa, atau seperti menurut kata seorang teman: “Baik letak saja konsert Rossa and Friends.”

Saya masih okay untuk mendengar Meriah Lain Macam versi Rossa dan Hael Husaini walaupun itu lagu Raya, cuma apabila  seawal malam berselang-seli dengan tiga penyanyi One In A Million (OIAM) – Kai Deva, Mary Grace dan Zazzleen – selain The Ladies, keresahan membuat saya mula terkuap.

Buat seketika, Mimpi bikin mata kembali segar walaupun tidak memahami lontaran rap MK K-Clique yang ditenggelami jeritan audiens, sekali gus membuat saya membayangkan K-Clique kembali ke pentas.

Masih, saya memahami mengapa Rossa tetap ada. Selain yang setia, saya melihat sebahagian kelompok penggemar muda yang barangkali mengenalinya yang banyak menyokong, berkolaborasi dengan generasi baru seperti Afghan, selain vibrasi EDM yang disuntik dalam persembahannya.

Sempat saya tersenyum sendiri memikirkan untung masih menang Noraniza Idris dalam membawa segerombolan penari kala melihat Rossa dan para penarinya memberikan vibrasi malam masih muda bersama DJ Dipha Barus dari Indonesia lewat Hey Ladies, sekali gus mengakhiri konsert dengan mood parti.

Juga tanpa melupakan hakikat sebagaimana anda mendengarnya beberapa tahun silam, bukan saja suaranya yang masih saja seindah tu, malah ketrampilannya. Gerak tubuh bahasanya, senyumannya, matanya yang bersinar tiap menyantuni membuat mustahil untuk tidak disapa auranya.

Sampai jumpa lagi, saya berharap untuk bisa menikmati Rossa – tanpa gerombolan friendsnya, hanya suara dan pesonanya.