Dari Cromok, Hujan ke Butterfingers, AMK Indie2025 Bawa 21 Band, 100% Lokal!
Lewat dua hari keraian – muzik dan makanan, di Litar Antarabangsa Sepang, bermula 26 Julai ini.

Oleh RUMI

“… daripada kumpulan irama klasik kultus ke reunion yang jarang-jarang berlaku, hinggalah suara-suara baru yang menyemarakkan semula semangat muzik alternatif.”

“TIADA nama tangkap muat,” kata Ketua Eksekutif Coaction Events, David Bareng, mengenai penganjuran festival AMK Indie 2025 yang disebut bakal menjadi perhimpunan terbesar peminat muzik indie, rock, dan ska.

Sebuah persembahan Festival Aku. Muzik & Kamu (AMK) dengan “semangat lebih membara, lebih lantang, lebih membanggakan,” ia dijadual berlangsung selama dua hari di Litar Antarabangsa Sepang, bermula 26 Julai ini.

Ia dianjurkan Coaction Events bersama Westzone Entertainment.

Sebanyak 21 band disenaraikan bagi meraikan genre indie yang membentuk identiti, semangat, dan komuniti ini, daripada kumpulan irama klasik kultus ke reunion yang jarang-jarang berlaku, hinggalah suara-suara baru yang menyemarakkan semula semangat muzik alternatif.

Disebut sebagai cerminan sebenar terhadap bunyi dan jiwa remaja Malaysia, Hari Pertama akan menyaksikan persembahan, antaranya SYJ, Cromok, Metalasia, One Buck Short dan Deja Voodo Spells, manakala Hari Kedua menampilkan band seperti Butterfingers, Hujan, SalamMusik, Kyoto Protocol dan Gerhana Skacinta.

“Festival ini untuk peminat sejati,” kata David lagi, memetik kenyataan medianya. “Juga tiada artis antarabangsa, hanya bakat tempatan sepenuhnya.”

Boleh dinikmati dengan harga tiket serendah RM159, AMK Indie 2025 menjanjikan pengalaman hujung minggu yang menghidupkan semula jiwa festival tempatan lewat acara muzik dan makanan yang dikurasi khas di bawah satu bumbung.

Akses

  • 26 & 27 Julai 2025
  • Litar Antarabangsa Sepang

Tiket

  • Ear;y Bird (sehingga 8 Jun): Two Day Pass , Rock Zone – RM410, Gig Zone – RM300 & Funky Zone – RM210
  • Normal: One Day Pass, Rock Zone – RM259, Gig Zone – RM189 & Funky Zone – RM129
  • Normal: Two Day Pass, Rock Zone – RM518, Gig Zone – RM378 & Funky Zone – RM258
  • Beli tiket di shop.ilassotickets.com.my