Led Zeppelin? Eh! Let Zapin, Duo Faizal Tahir-Glowrush Angkat Jati Diri
Pelancaran album yang menampilkan konsep unik kenduri kendara dan rewang.

Oleh RUMI

“Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya, dan agama kita agar kita tidak kehilangan arah.”

“INSPIRASI utama saya adalah melihat betapa banyak jati diri kita yang semakin hilang,” kata penyanyi dan komposer, Faizal Tahir mengenai album barunya bersama penerbit muda, Glowrush, yang diberi judul Jati Diri.

Sebagai salam perkenalan duo ini yang menamakan kolaborasi mereka sebagai Let Zapin, album berkenaan tentunya bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga satu peringatan agar masyarakat tidak melupakan akar budaya dan identiti sendiri dalam arus globalisasi.

“Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya, dan agama kita agar kita tidak kehilangan arah,” katanya mengenai album yang turut menampilkan Altimet dan Datuk M Nasir itu sebagai penyanyi undangan.

Jati Diri, jelas tidak hanya diperkatakan kerana penampilan duo itu, malah meraih perhatian seawal pelancarannya di Sungai Pelek, Selangor, baru ini, yang menampilkan konsep unik berasaskan kenduri kendara dan rewang.

“Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional.”

Bukan sekadar tema pelancaran, tetapi menurut Faizal, konsep itu dipilih kerana dekat di hatinya dan menjadi lambang budaya dan nilai perpaduan yang ingin diketengahkan dalam karya terbaharunya menerusi semangat gotong-royong, perpaduan, dan kebersamaan yang semakin pudar dalam masyarakat moden.

“Konsep ini menggambarkan bahawa perkara yang baik wajar dikongsi bersama. Apabila kita berkumpul untuk sesuatu yang positif, kita bukan saja beroleh keberkatan Alllah, malah memperkukuhkan semangat kasih sayang antara satu sama lain,” katanya.

Berbeza dengan album lalunya, susunan muzik dan lirik di dalam album Jati Diri lebih berakar kepada budaya dan warisan tempatan. Misalnya, lagu Orang Kampung yang meraikan keunikan serta nilai-nilai kehidupan di kampung.

Ceria, penuh semangat dan dengan melodi yag rancak dan lirik yang menggambarkan keindahan budaya serta sikap mesra orang kampung, lagu ini membawa pendengar merasai kehangatan suasana desa.

“Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional,” kata Faizal mengenai Orang Kampung yang turut berupa penghormatan kepada nilai-nilai dan semangat kebersamaan yang masih kuat dalam masyarakat kampung.

Orang Kampung yang “mengajak untuk menghargai asal usul dan keindahan hidup sederhana yang penuh kebahagiaan” juga disandarkan sebagai lagu pertama dalam mempromosi Jati Diri yang dilihat menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati peminat muda.