Andy Teh, Hero Baru Malaya
Dari antagonis ke hero, Abah Saya, Uncle Mike buka lembaran baru buat pelakon aksi ini.

Oleh Zurina Waji | Foto Astro Shaw

“Bagi saya, kalau seseorang itu ada jiwa, ada kesungguhan untuk melakukan sesuatu, tidak sukar untuk seseorang belajar sesuatu.”

JANGAN terkejut kalau berselisih bahu dengan Andy Teh dan mendengarnya berbahasa Tamil. Iaitu, sebagai tambahan kepada bahasa Melayu dan Inggeris, selain Kantonis.

“Sebab dulu zaman sekolah, saya ada ramai kawan-kawan India. Naik bas sekolah pun, kawan-kawan India. Disebabkan mereka asyik cakap Tamil, satu hari saya tegur, ‘Eh! Janganlah berbual saja, ajar sikit.’

“Itulah bagaimana saya mula belajar bahasa Tamil, iaitu dalam bas sekolah,” kata anak jati Klang ini.

Biar sudah jarang berkomunikasi dalam bahasa Tamil, menurutnya, dia masih boleh memahami dan sempat dia berseloroh, “Kalau setakat orang mengata saya dalam bahasa Tamil, itu cari pasal namanya!”

Kata orang, cerah hati, barangkali. Dia baru ini, malahan mengejutkan seorang produser, pengarah dan pelakon apabila dapat membacakan surah An-Nas untuk satu ujibakat selepas menghafalnya dalam masa singkat.

Dari realiti ke filem, Uncle Mike dan anak-anak (kanan) inspirasi “Abah Saya, Uncle Mike”

“Kali pertama dengar (surah An-Nas) memang susah, tapi apabila saya tenangkan diri, menyelami maksud terjemahannya daripada YouTube yang dikongsi pengurus saya, Mummy Aina, syukur saya dapat menghafalnya dalam masa kurang daripada setengah jam.

“Bagi saya, kalau seseorang itu ada jiwa, ada kesungguhan untuk melakukan sesuatu, tidak sukar untuk seseorang belajar sesuatu. Cuma ketika itu, saya lebih fokus untuk menyebutnya dengan cara yang betul sambil memahamkan terjemahannya.”

Tidak hanya keupayaannya untuk beradaptasi, mudah mesra dan beradab, jejaka berusia 38 tahun ini membibitkan keselesaan walaupun bagi yang baru mengenalinya yang banyak membawakan watak antagonis, daripada Leftenan Azu, seorang tentera Jepun di dalam filem Pagari Bulan ke ketua samseng bernama Sachaimenerusi Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Suka memandang positif pada semua perkara, ditambah keperibadiannya yang menyenangkan selain bakat yang berpotensi untuk dicungkil itu jugalah jelas jadi kelebihan yang meraih perhatian Astro Shaw untuk mengangkatnya sebagai hero Abah Saya, Uncle Mike.

“Uncle Mike sangat berbeza, cerita yang sangat menginspirasi. Segalanya mengenai dia adalah positif. Ini tak mudah kerana di luar sana orang melihat saya sebagai pelakon aksi, dan antagonis pula.”

Andy Teh, dari antagonis ke hero.
Info: Abah Saya, Uncle Mike

– Filem berdasarkan kisah benar mengenai seorang lelaki Cina, Michael Tong Wai Siong atau digelar, Uncle Mike yang membesarkan tiga anak angkat berbangsa Melayu dan beragama Islam.
– Kisah yang sempat tular itu turut menyaksikan Uncle Mike dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul 2024.
– Diterbitkan Astro Shaw dengan kerjasama strategik, Etika Sdn Bhd.
– Ini adalah filem sulung Ezrie Ghazali yang sebelum ini mengarah drama bersiri, Kiblat ke Syurga.
– Tiga beradik itu akan dilakonkan Idan Aedan sebagai anak sulung, Rafei Ahmad Fauzi, manakala Nor Merah dan Umar Shakur, masing-masing sebagai Rashid (kedua) dan Abdul Rahman (bongsu).
– Ia turut dibintangi Chew Kin Wah, Mandy Chong, April Chan dan Pauline Tan.

“Banyaklah perasaan, bercampur baur,” kata Andy apabila ditanya apa yang difikirkannya sebaik diberitahu dia terpilih bagi memegang watak Uncle Mike yang bukan biasa baginya. “Sejujurnya rasa macam stres pun ada, teruja pun ada.

“Uncle Mike sangat berbeza, cerita yang sangat menginspirasi. Segalanya mengenai dia adalah positif. Ini tak mudah kerana di luar sana orang melihat saya sebagai pelakon aksi, dan antagonis pula. Tapi sudah tentu saya ambil ini sebagai satu cabaran yang positif dan memotivasi saya.”

“Seorang Cina pun belum tentu dapat mengamalkan budayanya sendiri 100 peratus, apatah lagi nak mengajar tiga beradik ini pasal Islam. Ini yang buat saya rasa… Wow! Ini suatu yang sangat besar… “

Inspirasi filem “Abah Saya, Uncle Mike”

Akuinya, dia tidak pernah mengenali siapa Uncle Mike sehinggalah dipanggil untuk uji bakat.

“Saya baca semua artikel mengenainya dan mendengar semua temuramahnya, dan mendapatinya sangat menginspirasi. Saya disentuh dengan kenyataan, pertama bukan senang nak jaga anak orang lain.

“Kedua, mereka berlainan agama. Bayangkan, anda seorang Cina yang menjaga tiga beradik ini yang berlainan agama, iaitu Islam. Seorang Cina pun belum tentu dapat mengamalkan budayanya sendiri 100 peratus, apatah lagi nak mengajar tiga beradik ini pasal Islam.

“Ini yang buat saya rasa… Wow! Ini suatu yang sangat besar, tanggungjawab yang sangat besar,” katanya.

Menurut Andy yang membesar, antaranya dalam lingkungan masyarakat Melayu, sebenarnya tidak sukar untuk dia memahami situasi berkenaan.

“Saya sendiri, walaupun berkawan dengan ramai kawan-kawan Melayu, fasih bercakap Melayu adalah satu perkara, tapi kefahaman 100 peratus dalam Islam adalah perkara berbeza sebab dalam soal membesarkan anak-anak berlainan agama, anda mungkin mengajar benda yang salah.

“Sebaik anda mengambil peranan sebagai ibu bapa, jadi pebimbing, kalau anda salah ajar, sesatlah jalan budak-budak itu. Apa yang dilakukan seorang insan seperti Uncle Mike buat saya takjub dan saya berharap dapat menterjemahkan watak itu dengan baik dalam filem ini nanti,” jelasnya.

Uncle Mike, kata Andy, diharap membuka lembaran baru dalam kerjaya lakonannya, sekali gus membuktikan keupayaannya melangkaui genre aksi dan watak-watak antagonis yang sering dibawanya.

Abah Saya, Uncle Mike adalah genre yang sangat berbeza, daripada segi persembahan, segalanya akan menjadi sangat berbeza. Saya tidak mahu orang melihat saya sebagai pelakon aksi semata, jadi ini peluang saya untuk membuktikan saya sebagai pelakon yang versatile.

“Saya ingin buktikan berilah watak apa pun saya mampu melakukannya, menjiwanya sebaik mungkin,” katanya.