Misha Omar Back to Basic Showcase Lebih Intim
Disember ini, sebuah persembahan istimewa sebagai apresiasi buat peminat setia.

Oleh RUMI

“… Odeum at Jiospace yang dapat memuatkan sehingga 1,600 audiens adalah sempurna untuk malam intimasi menerusi persembahan selama 90 minit dengan iringan pemuzik yang berprofil tinggi.”

“BOHONG jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran,” menurut Misha Omar yang kali terakhir muncul dengan sebuah konsert solo di Istana Budaya, tiga tahun lalu.

Lalu, mengapa memilih pentas kecil apabila mengumumkan Misha Omar Back to Basic Showcase yang dijadual berlangsung pada 21 Disember nanti?

“Mengapa Misha Omar Back to Basic Showcase berskala kecil, bukan sebuah konsert mega, adalah kerana saya suka untuk memulakan sesuatu dengan langkah kecil sebelum mencipta sejarah yang lebih besar.

“Ia juga saya adakan khas buat peminat yang sentiasa bertanya mengenai bila saya akan menghiburkan mereka secara langsung,” katanya, mengakui enggan terikat dengan persepsi bahawa penyanyi sepertinya harus muncul dengan konsert besar.

Pentas kecil, bagaimanapun baginya tidak bermakna dia berbuat sambil lewa. Jelasnya, Odeum at Jiospace yang dapat memuatkan sehingga 1,600 audiens adalah sempurna untuk malam intimasi menerusi persembahan selama 90 minit dengan iringan pemuzik yang berprofil tinggi.

Showcase yang juga disifatkan sebagai malam apresiasi buat peminat yang tidak pernah berpaling daripada mendukung dua dekad kariernya itu akan menggunakan khidmat Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal.

Manakala Ayop Azril menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik, memimpin sembilan pemuzik lain pada malam anjuran Double M Productions itu, selain Jennifer Thompson (pengarah konsert) dan Simon Khoo (pengarah teknikal).

Berhubung pemilihan tajuk malam showcase itu, Misha berkata: “Ia punya signifikan tersendiri dengan konsep persembahan malam tersebut, seperti pulang ke asas. Saya akan membawa peminat pulang ke saat seorang Misha Omar baru mahu mencipta nama sebagai penyanyi.

“Bagaimana saya sangat menghargai momen menyanyi di pentas kecil seperti Planet Hollywood dan menyanyikan lagu-lagu milik penghibur lain yang telah memberi saya kepercayaan dan inspirasi untuk terus berkarya.”

Ditanya lagi, penyanyi berusia 42 tahun ini memilih untuk merahsiakannya, namun mengakui “kejutan luar biasa” menanti audiens Misha Omar Back to Basic Showcase yang turut diharap membuka pintu untuk penganjuran konsert meganya pula pada masa akan datang.

Akses
● 21 Disember 2024
● ODEUM AT JIOSPACE, Petaling Jaya
● 8.30pm

Tiket
● RM288 (CAT 2 – berdiri), RM338 (CAT 1 – berdiri), RM388 (Mezzanine – kerusi bernombor), RM488 )VIP -kerusi bernombor dengan pas Sesi Foto)
● Tiket mula dijual pada 27 November ini, 10am
● Beli di https://www.jiotix.asia/
● Untuk info lanjut, hubungi +6011-51003111 (Whatsapp) atau emel ask@jiotix.asia