Episode Bahagia Govinda
Di Kuala Lumpur, mood roman menguasai konsert yang menampilkan nama-nama besar industri.

Oleh Zurina Waji | Foto Bangsawan Pictures

“Jika bukan kerana Hal Hebat ciptaan Ade Govinda yang juga pemain gitar utama band ini, perasaan saya mungkin berbolak balik untuk malam yang mengumpan lewat Konsert Govinda Hal Hebat.”

GOVINDA, pada malam perdana band itu di Kuala Lumpur, baru ini menghadiahkan kenyamanan di tengah bahang cuaca yang terbawa semenjak siangnya.

Hari yang melemaskan sebetulnya, apatah lagi ini perkenalan pertama dengan band yang mengguna pakai nama dengan erti “dewa kemakmuran” itu yang hanya meraih perhatian saya selepas kolaborasi mereka dengan penyanyi tanahair, Ernie Zakri.

Sungguh. Jika bukan kerana Hal Hebat ciptaan Ade Govinda yang juga pemain gitar utama band ini, perasaan saya mungkin berbolak balik untuk malam yang mengumpan lewat Konsert Govinda Hal Hebat.

Mencatatkan hampir 20 juta jumlah tontonan di YouTube, Hal Hebat versi Govinda-Ernie nyata antara yang melorongkan jalan buat band asal Jakarta ini untuk meraih penggemar dalam kalangan peminat muzik Malaysia.

Rasa asyik menyelinap seawal penampakan pemuzik orkestra yang mengiringi persembahan band pop dan rock alternatif ini yang menampilkan Ifan Hadari sebagai vokalisnya, Yosafat Luki Marendra (bass) dan Ritchie Jeje Ismail (dram), selain Ade atau nama sebenarnya, Ade Nurulianto.

Padanlah, rupanya konsert ini antara lain mengangkat karya-karya yang dimuatkan di dalam album Govinda Live Studio Sessions – London 2023 yang menyaksikan mereka berkolaborasi dengan National Symphony Orchestra.

Dirakam di Studio Abbey Road yang menyimpan banyak sejarah bersama pengkarya hebat dunia, paling terkenal tentunya band legenda The Beatles, ia yang mengandungi 12 lagu merupakan album ketiga Govinda.

Bawa Aku Lari dipersembahkan sebagai salam pengenalan Govinda di Zepp Kuala Lumpur yang hampir full house dengan penggemar Malaysia mereka, diikuti judul seperti Karya Seni, Rahasia Besar dan Cinta Terakhir.

Ifan mungkin bukan penyanyi dengan keupayaan untuk membuat kaca bergetar, namun kelembutan yang menyentuh jiwa ternyata diperlukan untuk malam roman menerusi hampir 20 judul lagu yang diperdengarkan.

Ia juga membuat saya untuk lebih ingin mengenali Ade yang saya andaikan mencorakkan rasa Govinda sebagai komposer untuk judul sehebat Masing-Masing, satu lagi duet bersama Ernie yang baru ini meraih Anugerah Platinum atas Pencapaian Jualan Digital Seluruh Dunia.

Sambil penamplan Ernie dilihat menyimpulkan sebuah malam yang membuai rasa, apresiasi terhadap judul. besar Govinda telah dipenuhi seorang lagi darling seni tanahair, iaitu Aina Abdul yang menawan dalam persalinan putih lewat lagu Tentang Rasa, diikuti Episode Bahagia.

Setengah Mati Merindu, single yang dipopularkan Judika, turut dipersembahkan bersama seorang bakat Indonesia, iaitu Yan sebelum giliran Fadly, vokalis Padi menambah keasyikan menerusi Begitu Indah dan Tanpa Batas Waktu

Judul yang dirakam di Studio Abbey Road diangkat untuk mencipta kenangan indah menerusi susunan baharu, termasuk Mendua bersama Elica Paujin yang kemudian mempamer potensi lewat Kamu Adalah yang mula dirakam band ini bersama Chakra Khan yang menggamatkan malam apabila kehadirannya di kalangan audiens diumumkan.

Lalu, sehebat manakah Konsert Govinda Hal Hebat?

Harus diakui, kehebatan malam dicapai dengan kemunculan bintang seperti Ernie dan Aina yang memberi nafas segar kepada karya Ade, sebagaimana Fadly mengusik rasa di bawah sorotan lampu pentas.

Govinda, dalam kesederhanaan mereka, nyata menyenangkan. Kerana itu, Kuala Lumpur, ini bukan yang pertama dan terakhir. Percayalah!