Siti Nurhaliza & Judika Pahat Sejarah di Stadium Merdeka
Ada banyak sebab mengapa konsert The Journey of Sound, 14 Disember ini cukup bererti.

Oleh Zurina Waji

“… harus nyaman dengan siapa pasangan (dalam persembahan), apatah lagi (konsert) ini memandangkan saya sendiri sememangnya meminati Datuk Siti sejak daripada dulu lagi.” – Judika

“SEBAB ini adalah Stadium Merdeka,” kata Datuk Sri Siti Nurhaliza, mengakui teruja menantikan detik pertemuannya dengan bintang Indonesia, Judika di pentas The Journey of Sound di stadium ikonik itu.

“Saya sangat teruja kerana (Stadium Merdeka) ada keistimewaan dan sejarahnya.”

Dijadual berlangsung pada 14 Disember nanti, konsert anjuran Universe Gateway itu merupakan kolaborasi julung kali Siti Nurhaliza dan Judika dalam sebuah persembahan, eksklusif, dan berskala besar.

Stadium yang sudah direstorasi itu mengekalkan wajah 1957nya, sinonim dengan detik bersejarah laungan “Merdeka!” oleh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tanggal 31 Ogos, sekali gus mencatat nota bererti dalam perjalanan anak watan seperti Siti.

“Juga sejarah bagi saya kerana akan membuat persembahan dengan sahabat baik saya,” kata bintang yang meledak lebih dua dekad lalu lewat single Aku Cinta Padamu itu yang berharap fans kedua-dua mereka akan mengisi ruang stadium yang boleh memuatkan sehingga 26,000 orang itu.

Separuh berseloroh, Judika yang duduk bersebelahan Siti, mengakui malam The Journey of Sound itu sebenarnya adalah “konsert balas dendam.”

Ini kerana, katanya, biar sudah beberapa kali menyanyi bersama penyanyi bersuara emas itu, ia adalah konsert eksklusif pertama mereka.

“Kerana dapat berkolaborasi (eksklusif), lebih puas, tidak seperti persembahan sebelum ini yang menyanyi satu lagu biasanya. Juga kerana dapat sama-sama menyanyi di Stadium Merdeka yang  bersejarah buat Malaysia.

“Sebagai penyanyi, kita harus nyaman dengan siapa pasangan (dalam persembahan), apatah lagi (konsert) ini memandangkan saya sendiri sememangnya meminati Datuk Siti sejak daripada dulu lagi.”

Pelantun Aku Yang Tersakiti ini ketawa apabila menambah, “Jangankan tiga jam konsert, empat jam pun okay kalau diminta.”

“Saya suka sangat, apatah lagi apabila bersama di pentas dengan seorang yang ada karisma, karekter dan aura di pentas. Kerana apabila bersama Judika, saya boleh merasakan itu.” – Siti Nurhaliza

Saling mengagumi sebetulnya, Siti mengakui tiada yang lebih mengujakannya selain daripada peluang berkolaborasi dengan penyanyi seperti Judika yang sudah dikenalinya seawal bintang Indonesia itu bersama Antero Boys, malah sebelum itu lagi, pada pertandingan Asia Bagus di Singapura pada 1998.

“Sudah lama, kenal sejak awal, sebelum Judika berkahwin lagi kami sudah berjumpa,” katanya, mengimbau perkenalan mereka. “Di luar negara, kalau tidak silap, bertemu dalam pertandingan dan selepas itu, banyak kali kita berjumpa.

“Dia jadi sahabat dan kini, bertemu dan bergabung di satu pentas. Saling mengagumi dan kami sama-sama membesar dengan lagu kami. Ini dapat pula buat persembahan dengan sahabat, tentulah bermakna.”

Jarak yang memisahkan, antara Kuala Lumpur dan Jakarta, jelas Siti, tidak akan mengganggu kelancaran persiapan konsert berkenaan yang malahan disifatkan bakal mencatat sebuah malam yang menakjubkan.

“Jika bersama (duet), mungkin lebih darpada empat lagu. Orang sudah tahu persembahan saya macam mana dan Judika pun. Jadi, datang saja ke konsert dan anda tidak akan kecewa,” katanya, memberi jaminan. “Saya suka sangat, apatah lagi apabila bersama di pentas dengan seorang yang ada karisma, karekter dan aura di pentas.

“Kerana apabila bersama Judika, saya boleh merasakan itu. Perjalanan kami sama. Kalau saya suruh Judika menyanyi lagu tradisional pun dia boleh. Apa saja, cakap saja lagu macam mana, muzik macam mana. Judika memang serba boleh, jadi tidak susah untuk kami menyanyi sama.”

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Kewangan Universe Gateway, Isaruddin, konsert itu juga bersempena perjalanan kerjaya dan jatuh bangun dua figura hebat dunia hiburan Nusantara itu – Siti dengan 28 tahun pembabitan dalam seni, manakala Judika memasuki dua dekad.

The Journey of Sound akan dipenuhi warna warni perjalanan seni dan bunyi muzik yang telah mengharumkan nama Siti Nurhaliza dan Judika sepanjang perjalanan seni mereka,” katanya yang turut berharap konsert itu akan menjadi tanda aras dan penutup tahun 2024 yang sentiasa melestarikan persahabatan dua negara menerusi dunia hiburan.

Akses

  • 14 Disember 2024
  • Stadium Merdeka
  • 8pm

Tiket

  • RM199 (CAT 5), RM299 (CAT 4), RM399 (CAT 3 Lower/ Upper), RM399 (SEAT 3), RM599 (SEAT 2), RM699 (SEAT 1), RM799 (ROCK ZONE), RM799 (VIP ROYAL BOX), RM899 (VIP ROCK ZONE), RM1,199 (VIP) & RM1,299 (SUPER VIP)
  • Beli di ticket2u.com.my