72, dan Papa Rock Steady Je!
Belum mahu memperlahankan langkahnya, tapi daripada mana datangnya semua energi itu?
Oleh Zurina Waji | Foto MEM
“Kita bukan Amerika, sekali tour 50, 60 tempat. Ini tiga kali orang dah muak, lebih lagi kalau tiada bahan, lagu tak cukup, hits tak banyak. Stale, kata orang putih… “
OKTOBER 15 yang baru berlalu bermakna genaplah 72 tahun usia seniman bernama Datuk Ramli Sarip ini yang mana lebih lima dekad daripada perjalanannya itu didedikasikannya untuk seni dan muzik.
Tapi daripada mana datangnya kekuatan untuk terus mleangkah di dalam industri yang penuh helah ini?
“Macam saya, buat masa ini, tiada nokhtah dalam pekerjaan selagi hayat dikandung badan,” katanya tanpa ragu seraya menambah, “selagi Tuhan memberi saya kekuatan dan juga kesihatan. Rezeki saya di situ (seni).
“Saya pandang banyak benda yang mungkin tidak sama dengan apa yang orang lain fikirkan. Ada penyanyi yang tidak perlu pun menyanyi lagi sebab mereka sudah cukup. Cuma apabila ada bakat yang Tuhan beri, pandangan saya, kita nak buat apa?”
Usia, jelas hanya angka baginya sambil rambut panjangnya yang sudah memutih menjadi lambang perjuangannya, seawal bersama band rock, Sweet Charity sejak akhir 60an yang menjadi pencetus rock scene tanahair.
“Kalau saya dapat menghasilkan satu lagi album,” katanya, dalam pertemuan kami, berkongsi hasrat. “Kemudian ada show tertentu yang sesuai, tapi dalam setahun berapa kali kita boleh buat?
“Kita bukan Amerika, sekali tour 50,60 tempat. Ini tiga kali orang dah muak, lebih lagi kalau tiada bahan, lagu tak cukup, hits tak banyak. Stale, kata orang putih, melainkan ubah begitu, begini.”
Hanya setahun lalu, menjelang malam ulang tahunnya yang ke-71, Singapura bernostalgia di tahun ke-54 Sweet Charity lewat Ribut The Concert: Five Decades of Sweet Charity. Ini disusuli Konsert Semalam Di Malaya – Lima Dekad Sweet Charity di Kuala Lumpur, selepas 13 tahun, sebagai pembuka tahun 2024 mereka.
Ditubuhkan seawal 1967, bersama teman sekolahnya, Rahman Sarbani, juga Joe Salim dan Wahid Warren, dengan nama The Smash, diikuti Funky Jewel, band asal Singapura ini akhirnya memilih Sweet Charity pada 1969.
Album Ramli Sarip pada 1985 telah memulakan perjalanan solonya, namun Sweet Charity tidak pernah dibubarkan. Hari ini, band itu terus hidup bersama Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar atau A.J (keyboard dan vokalis kedua), selain Rahman (dram) dan Ramli sendiri sebagai vokalis.
Karismatik, dengan suara serak yang menjadi trademark, pantaslah dia digelar Papa Rock. Sweet Charity sendiri menginspirasi banyak figura rock tanahair seperti Datuk Awie yang memberikan penghormatannya dengan mengajak Ramli yang berada di tengah audiens untuk duet Kamelia pada Awie Solitario Journey Concert di Singapura, Julai lalu.
Sambil mengimbau tularnya rakaman dia mengucup dahi Awie pada malam konsert yang disifatkannya cukup meninggalkan kesan, antaranya menerusi penceritaan “hitam putih” rocker itu yang menyentuh hati, baginya perjalanan seorang insan adalah satu pembelajaran.
“… saya menyanyikan serangkap dua lagu Zapin Berperi kepadanya. Nak cari balik lagu macam ini bukan senang.
Momen dikongsi Awie
BACA: Sweet Charity, Nostalgia Yang Tidak Terlupakan
BACA: Kota Singa Bernostalgia di Tahun ke-54 Sweet Charity
Kata Ramli, “Saya juga lalui benda seni ini (ia) mengajar saya tentang kehidupan, terlalu banyak, pada peribadi, keluarga, alam dan rohani. Iaitu, dengan Khaliq dan benda yang banyak mengajar kita kasih sayang, hormat menghormati yang memang perlu ada pada semua orang.
“Kita mesti ada rutin, arah tuju masing-masing. Kalau nak cerita, saya ini macam-macam… umur 16, 17 tahun sudah bekerja, hari-hari naik bas kerana tempat kerja saya jauhnya 20km dan turun bas, naik bas lagi.
“Tapi (kesusahan) tiada sesalan. Sebenarnya bukan (cerita) susah, tapi semangat yang kita ada. Cuma tidak terfikir akan sampai ke sini, jadi artis rakaman, penerbit, buat lagu. Jika ditanya kepada artis yang ada di tahap ini, dulu (berkorban) tinggalkan keluarga, ada bawa anak ke studio, itu satu benda yang pahit.”
Jelas, keghairahannya pada muzik tidak pernah padam apatah lagi dengan kepelbagaian genre yang diterokainya sebagai penyanyi solo yang membawanya daripada rock ke blues, malah Nusantara ke kerohanian.
Lalu, apa lagi yang belum dilakukannya? Sebuah konsert lagu-lagu Melayu asli, barangkali?
Dia senyum mengungkapkan, “Saya nampak sebagai pop Nusantara. Saya boleh layan (genre itu), daripada album Ihsan saya dengan Datuk Khadijah Ibrahim, malah bersama Allahyarham Tan Sri SM Salim, antaranya duet kami menerusi Lagu Zaman.”
Seolah memberikan bayangan, dia juga berkongsi mengenai pertemuannya dengan Ramlah Ram yang menumbuh daripada pentas Melayu Asli, terutama ghazal, di belakang pentas di satu persembahan, baru ini.
“Ramlah jadi teruja, terutama apabila saya menyanyikan serangkap dua lagu Zapin Berperi kepadanya. Nak cari balik lagu macam ini bukan senang. Mungkin pihak tertentu peduli, mungkin tidak. Jadi, kitalah yang kena ambil peduli, iaitu dengan cara kitalah.
“Seperti Selapis Kasih Sedulang Rindu yang saya rakam bersama arwah SM Salim, itu mengingatkan kita tidak nampak penyanyi yang boleh mengangkat lagu sebegitu, tidak ramai,” katanya, merujuk kehilangan besar penyanyi selegenda Datuk Ahmad Jais, Rosiah Chik dan Datuk Sharifah Aini.
Sering mendoakan orang lain, tambah Ramli, juga adalah antara kunci yang menenangkannya.
“Saya anggap diri tiada apa-apa. Saya masih berjalan sebagai rakyat, ikut suka apa saya nak buat. Saya tidak berapa kisah sangat, terpulang orang nak letak kita di mana, nak cakap kita apa, tapi itu (bakat seni) yang kita ada dan akan terus perjuangkan, insya-Allah,” katanya, mengakhiri perbualan.
Comments are closed.