Belum Mulai, Hadiah Insomniacks dari Indonesia
Kolaborasi dengan Nabila Taqiyyah bagi single pertama bahasa Indonesia mereka.

Oleh RUMI

“Nabila sangat berbakat dan dari pertama kali kami mendengar suaranya untuk lagu ini, kami merasa dia menjadi elemen penting dalam lagu ini… “ – Insomniacks

“RASANYA sangat senang dan terhormat,” begitu, jelas Insomniacks mengenai single terbaru mereka, Belum Mulai yang juga merupakan pertama dalam bahasa Indonesia, menerusi kolaborasi dengan Nabila Taqiyyah.

Lebih lagi, menurut band asal Kuala Lumpur itu yang dianggotai vokalis, Iqie yang turut bermain gitar, Iskandar (bass) dan Danial (gitar rhythm), ia juga didorong oleh kehadiran Nabila yang disfatkan memiliki profesionalisme yang tinggi.

“Nabila adalah orang yang menyenangkan untuk diajak berkolaborasi kerana profesionalisme tinggi beliau semasa rakaman dan pembuatan video muzik,” kata anggota Insomniacks, memetik kenyataan media mereka.

Jelas teruja dengan perkembangan itu, tambah mereka, “Nabila sangat berbakat dan dari pertama kali kami mendengar suaranya untuk lagu ini, kami merasa dia menjadi elemen penting dalam lagu ini, dan syukur dia bersedia untuk terlibat.”

Nabila, 18, asal Banda Aceh, Aceh mula meraih perhatian hasil kandungan yang dimuat naik di YouTube peribadinya seawal usia 16 tahun. Dikenali, antaranya lewat lagu berbahasa Arab, A’taona El Toufoule sebelum muncul tempat kedua Indonesian Idol musim ke-12.

Ini adalah kolaborasi sulung single berbahasa Indonesia Insomniacks yang mempamer potensi sejak single kedua mereka, Pulang meledak di carta pada 2018 dan sehingga kini mencatat 35 juta tontonan di YouTube.

Bagi projek terbaru ini, Insomniacks dan Nabila bekerjasama dengan Clara Riva dan S/EEK sebagai pencipta lagu.

Belum Mulai menceritakan tentang seseorang yang harus merelakan cintanya pergi walaupun ia sebenarnya belum bermula. Irama pop balada bermula sederhana, manakala gitar akustik sebagai elemen utama. Unsur rock dengan distorsi ditambah dari tengah ke akhir lagu bagi mengekalkan unsur band dalam susunan lagunya.

Dikeluarkan di bawah Universal Music Indonesia dan Universal Music Malaysia, single berkenaan turut diiringi dengan penghasilan sebuah video muzik oleh Kolmar Films arahan Ida Aruan yang berlatar suasana alam di Yogyakarta, Indonesia.

“Buat kamu yang dapat mengaitkan diri dengan lagu ini,” kata Nabila, penuh pengharapan, “semoga ia menjadi soundtrack untuk menghiasi kehidupan kamu. Semoga semua suka dengan lagunya.

Belum Mulai dapat didengarkan di semua platform muzik digital, manakala video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Insomniacks.