50 Tahun Blues Gang dan Power Apo Nak Dikato
Ogos ini, sebuah konsert istimewa sebagai keraian bermakna buat penggemar blues dan rock.
Oleh Zurina Waji | Foto Papadin
Blues Gang sepatutnya main di Melbourne, jadi balik itu dalam keadaan frustlah. Dalam suasana yang sedih itu datang idea untuk (tulis) lagu. Malu pun ada, malu nak balik sebab konsert tak jadi, tapi itulah sejarah Apo Nak Dikato.”
“FRUST punya pasal, itu yang lahirnya Apo Nak Dikato,” kata Ito, frontman Blues Gang, ketawa mengimbas momen tercetusnya lagu dengan lirik dialek Negeri Sembilan itu yang melangkaui usia 40 tahun penghasilannya.
Tanpa mengharapkan ciptaannya itu meledak sebegitu rupa, penyanyi dan komposer ini, memberitahu dia menulis lagu berkenaan ketika dalam penerbangan pulang daripada Melbourne, Australia.
“Saya buat lagu itu pada tahun 1981,” katanya yang kini rancak menjalani promosi Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato anjuran AV Group yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 9 Ogos ini. “Saya dapat idea untuk menulis lagu itu semasa di Australia, dalam penerbangan pulang ke tanahair.
“Saya dan Blues Gang, kami ke Australia itu selepas mendapat tawaran (persembahan). Tapi, apabila di sana, (persembahan) terpaksa dibatalkan. Julian dan Jim (mendiang) kena balik disebabkan masalah teknikal, tiada visa. Lalu, mereka pun baliklah dan tinggallah saya dan rakan lain.
“Blues Gang sepatutnya main di Melbourne, jadi balik itu dalam keadaan frustlah. Dalam suasana yang sedih itu datang idea untuk (tulis) lagu. Malu pun ada, malu nak balik sebab konsert tak jadi, tapi itulah sejarah Apo Nak Dikato.”
Julian Mokhtar adalah pemain gitar utama Blues Gang yang kini tinggal bertiga, termasuk Ghani Dato Abu Talib (gitar kedua/ keyboard), selain Ito. Jim Madasamy merupakan pemain bass dan vokal sebelum meninggal dunia pada 2018, disusuli Shaik Karim (dram/ vokal), Julai tahun lalu.
“Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato ini adalah yang pertama seumpamanya selepas 50 tahun. Ini bukan saja eksklusif Blues Gang, malah boleh dianggap rare selepas 14 album kami.”
Ditanya mengapa Apo Nak Dikato masih relevan sampai sekarang, Ito sempat berseloroh, “Sebab saya yang menulisnya, masih hidup dan menyanyikannya sampai sekarang,” sebelum menjelaskan, “Mungkin kerana tempat (disebut dalam lagu).
“Banyak karya blues, Rock n Roll, tempat macam Chichago, misalnya biasa disebut dalam lagu. Walaupun tidak semua dalam Negeri Sembilan (tempat disebut), kebanyakannya dimasukkan (dalam lirik) dan orang biasa dengar, jadi peribadi, ada kenangan.
“Ada juga yang bertanya kenapa Jelebu tiada. Alamak! Nanti panjanglah (lagu) jadinya. Tapi memang sebelum Apo Nak Dikato dihasilkan, belum ada lagu (dialek) Negeri Sembilan kecuali lagu Minangkabau, Ayam Den Lapeh.”
Biarpun di lahirkan di Naning, Melaka, dia mengakui membesar di daerah yang bersempadan dengan Negeri Sembilan itu menyebabkannya terdorong untuk mengutarakan dialek yang ikut mempengaruhi masyarakat setempat.
“Apo Nak Dikato juga adalah lagu pertama dialek Negeri Sembilan, rasanya sebelum muncul lagu seperti Apo Kono Eh Jang. Lagu (dialek) beri satu rasa, lagilah apabila ia jadi mainstream macam dulu-dulu ada La Obe, lagu dialek Boyan.”
Padanlah mengapa Apo Nak Dikato yang disifatkan Ito sebagai “karya Blues Gang paling power,” diangkat sebagai judul konsert solo berskala besar mereka nanti, serentak ulang tahun ke-50 penubuhan band yang utuh memperjuangkan irama blues dan rock itu.
Ia juga menyaksikan Belbis mengendalikan Produksi, manakala Mewah Event Management (MEM) dan Ito Cottage Muzik sebagai rakan strategik, selain Ilassotickets bagi pengurusan tiket.
“Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato ini adalah yang pertama seumpamanya selepas 50 tahun,” kata Ito lagi, selepas konsert berskala besar mereka lewat Konsert 2 Raksaksa Reunion bersama Sweet Charity pada 2011.
“Ini bukan saja eksklusif Blues Gang, malah boleh dianggap rare selepas 14 album kami. Justeru ini cara terbaik untuk meraikan kembara lima dekad Blues Gang, terutama oleh peminat dan penggemar blues.”
Tiket berharga RM198 (Silver), RM268 (Gold), RM398 (Platinum) dan RM338 (Diamond), selain RM5,099 bagi Royal Box boleh didapatkan dengan melayari http://ilassotickets.com atau hubungi hotline +60 11-1329 7822.
Comments are closed.