“Tak Boleh Jadi Woodstock, Buat Cara Kita Orang Timur.” – Musa Exists
Sebab Festival Aku.Muzik & Kamu 2.0 di Johor Bahru tidak dapat ditolak Exists.
Oleh Zurina Waji
“… healing dengan keterujaan yang mampu memberikan penyembuhan dalaman. Tapi kita buat cara kitalah, cara orang Timur. Kita tak bolehlah jadi Woodstock yang dipalit benda terlarang… ” – Musa
“APA, (persembahan di) JB? On! Terus on saja tanpa tahu apa bendanya,” akui Musa sebaik dimaklumkan tentang tawaran mengadakan persembahan di Festival Aku.Muzik & Kamu 2.0 pada 8Junini.
Bukan rahsia, JB atau Johor Bahru, di mana festival anjuran CoAction Events Sdn Bhd di Stadium Olahraga Mount Austin itu, ada banyak sejarah dilakar oleh band pop rock ini yang ditubuhkan pada 1991.
“Ini akan melepaskan rindu yang teramat sangat,” jelasnya. “Apabila diberitahu ada konsert di JB, adakah kita mahu terlibat sama, kita tanpa fikr soal harga, dengar saja JB terus setuju. Exists memang rindu untuk beraksi di JB sebab sudah lama sangat tidak mengadakan persembahan di sana.”
Enam tahun berlalu, menurut Along semenjak kali terakhir Exists mengadakan persembahan berbayar di tempat kelahiran band itu yang awal dulu menyaksikan Mamat sebagai penyanyi bersama Ujang (dram), Shah (gitar), Ajai (keyboard) selain Musa (bass) dan Along (gitar) sendiri.
“Ibarat sirih pulang ke gagang,” kata Along, menjelaskan keterujaan mereka tentang festival yang membariskan sembilan pemuzik terkenal Nusantara, termasuk Ella, selain Nidji dan Afgan daripada Indonesia.
Ia juga, celah Musa, mengingatkan mereka mengenai pengalaman Exists menyertai Singapore Music Festival di pada tahun 90an yang turut menampilkan pemuzik antarabangsa seperti Jon Bon Jovi dan bintang Hong Kong, Andy Lau.
“Sebuah persembahan muzik tanpa henti, muzik yang bervariasi. Itulah festival dan Exists mahu mengajak penggemar muzik, meraikan sambil melepaskan tekanan. Muzik, seni untuk dinikmati, healing dengan keterujaan yang mampu memberikan penyembuhan dalaman.
“Tapi kita buat cara kitalah, cara orang Timur. Kita tak bolehlah jadi Woodstock yang dipalit benda terlarang seperti alkohol, dadah, misalnya. Cara orang Timur, healing, berhibur tanpa perlu arak pun.”
APA ITU WOODSTOCK?
– Woodstock Music and Art Fair (Woodstock), festival rock 60an paling terkenal
– Ia bersempena satu bandar di New York yang didiami komunti artis dan pemuzik, antaranya Bob Dylan
– Dimulai di sebuah ladang di Bethel, New York pada Ogos 1969
– Dihadiri 500,000 orang, festival tiga hari itu adalah yang terbesar dianjurkan
– Ia medan anak muda, di tengah budaya hippies dan evolusi budaya Amerika yang protes terhadap perang Vietnam, pembunuhan aktivis, Martin Luther King diikuti Robert Kennedy
JALAN SEIRINGAN
Along, sebagai kurator Konsert Exists X Orkestra di Kuala Lumpur, bersama Musa dan Ujang, serta Ezad Lazim yang mengambil alih tempat Mamat, memberikan Konsert Exists X Orkestra di Kuala Lumpur, tahun lalu.
Begitu pun, slot hanya 45 minit di festival, katanya menghadkan “enam, tujuh lagu atau kurang”, namun berjanji memberikan semaksimanya untuk persembahan di Johor Bahru nanti.
“Kita perlu buat, biar orang rasa puas dengan nilai yang mereka bayar,” katanya. “Penting, mereka dapat merasakan keseronokan, rasa puas dan percayalah, apabila festival 3.0 pada tahun berikutnya, merekalah yang antara awal akan membeli tiket.”
“Kami mahu audiens bernostalgia, kembali ke tahun 1992. Ada audiens festival nampak gaya macam underground, tapi bila kena lagu-lagu nostalgia, tergolek juga.” – Along
BACA: Kenapa Exists Masih Ada?
Musa berkata, budaya menonton konsert berbayar perlu dihidupkan demi kelangsungan industri seni tanahair.
“Bila main festival, pemuzik kena berlaku adil. Pelik bukan apabila kita mahukan orang datang menonton persembahan kita, tapi artis pula beri lagu yang audiens tidak kenal. Tak bolehlah,” katanya.
Justeru, kata Along pula, tidak banyak perubahan akan dibuat pada susunan lagu, apatah lagi kembalinya Exists ke Johor Bahru tentunya mengimbau nostalgia, baik buat band mahu pun penggemar muzik.
“Kami mahu audiens bernostalgia, kembali ke tahun 1992. Ada audiens festival nampak gaya macam underground, tapi bila kena lagu-lagu nostalgia, tergolek juga,” katanya, ketawa sambil menyifatkan Mencari Alasanmu, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Janji Padamu selain Langkah Seiringan, judul paling banyak meraih permintaan.
Turut menampilkan artis lebih muda seperti IAMNEETA dan Kugiran Masdo, Musa menegaskan ego perlu diketepikan.
“Kena fikir audiens, ada datang nak tengok Neeta, ada nak tengok Masdo. Ini bukan crowd kita, lainlah kalau ini konsert kita saja. Apa yang kita boleh buat ialah ambil hati orang agar suka dengan kita.
“Exists pernah merancang untuk main lagu tertentu bagi festival, tapi Malaysia ini agak aneh sebab kalau bukan fanatik, fans lain akan ternganga. Jadi, apabila kita mainkan lagu mesra radio barulah satu arena bernyanyi.
“Jadi, festival di Malaysia ini, kita main sajalah lagu-lagu hits, biar bergema satu stadium.” Tiket pada harga serendah RM229 boleh didapatkan di www.ticket2u.com.my
Comments are closed.