Teddy Bear, Hari Jadi Anuar Zain dan Intimasi 1,000
Pada petang Anuar Zain 40 Exclusive Up Close And Personal yang melakar banyak momen.
Oleh Zurina Waji | Foto Anuar Zain Network
“… mendasari perasaan dalam baladanya, apatah lagi secara live perlu diakui sememangnya kekuatan bintang kelahiran Melaka ini yang menghadiahkan momen yang cukup menyesakkan dada… “
ADA sesuatu tentunya tentang Andainya Takdir yang membuatkan seorang fan wanita menitiskan air mata. Tidak sengaja, dalam remang neon dari pentas d depan, saya melihatnya beberapa kali mengesat pipinya.
Di tempat duduknya, hanya sebaris di hadapan saya, wanita berusia dalam lingkungan 40an itu yang awal tadinya girang ikut menyanyi seawal persembahan, membuat saya cuba menebak sendiri apa yang menyebabkannya begitu.
Jika bukan kerana ia adalah Anuar Zain 40 Exclusive Up Close And Personal, petang crooner yang menambat banyak hati ini muncul dengan acara “super eksklusif” itu, mungkin sukar untuk saya menahan daripada bertanya.
Tapi kerana ini adalah Anuar Zain. Faham?
Mata saya berbolak balik antara wanita tadi dan pentas yang berlatar video muzik Andainya Takdir arahan Amor Rizan itu yang dilancarkan pada September 2016 dengan menampilkan lakonan Sharifah Sakinah dan Puteri Balkish, selain Anuar sendiri.
Saya barangkali cuba melihat babak mana dalam pengkisahan seorang nelayan bersama anaknya yang ditinggalkan wanita dicintainya lantaran tenggelam dalam kemewahan dan glamor seni serta status bintangnya yang telah menyentuhnya.
Seraya terus memerhatikan plot twist yang menambah remuk hati apabila pengkisahan bersambung lewat lagu Cinta Takkan Berakhir yang merupakan sebahagian daripada trilogi yang dilengkapkan single Belahan Hati, tidak mungkin saya merumuskan segmen tadi dengan menepikan kedalaman penghayatan Anuar dalam menterjemahkannya.
Lunak suaranya, mendasari perasaan dalam baladanya, apatah lagi secara live perlu diakui sememangnya kekuatan bintang kelahiran Melaka ini yang menghadiahkan momen yang cukup menyesakkan dada dan membuat sebahagian daripada 1,000 fans yang berada di JioSpace, Petaling Jaya itu tidak tertahan dengan gejolak yang dicetuskan.
Dianjurkan oleh JioBuddy dan Anuar Zain Network, dia mengotakan apa yang dinyatakannya, sebelum ini. Iaitu, mencipta suasana intimasi dengan konsep up close and personal selepas sekian lama tidak diadakannya yang membuatnya teruja untuk bertemu fans, “bersembang, sing-along, apa-apa sajalah.”
Sepertimana diinginkannya, dengan Altus ProHouse bertindak bagi pengurusan konsert, manakala Level Up dan Harmon Kardon, masing-masing sebagai rakan produksi dan rakan kerjasama, idea dicetuskan fans yang mengakui tidak boleh move on daripada Anuar Zain 40thAnniversary Concert di Stadium Malawati, Shah Alam,Oktober tahun lalu.
BACA: Tak Boleh Move On? Anuar Zain Ajak Up Close And Personal
“Ia kadang buat saya tertanya, tidak jemukah, tapi kata mereka, tidaklah. Saya tidak tahu apa yang mereka lihat (pada saya). Bila bersama, saya menjadi diri saya, kita boleh bersembang, gurau-gurau, tapi… “
SATU KEABADIAN
Berlangsung dua hari selepas ulang tahunnya yang ke-54, Anuar memberi banyak sebab untuk up close and personal ini melakarkan banyak momen manis, sebelum itu dengan kejutan kek putih gergasi, menggarap birthday bash dalam keraian ringkas, namun bererti.
“Kita akan jadi sangat-sangat rapat, masa itulah tanya apa soalan nak ditanya,” kata Anuar dalam temubual sebelum petang acara 17 Februari itu yang turut disifatkannya sebagai peluang untuk fans “kenali Anuar Zain dengan lebih baik. Saya akan turun, melayani semua orang.”
Sempat, usai acara, saya bertanya Anuar apakah ia juga sebagai indikasi tentang kesetiaan fans yang melorongkan 40 tahun perjalanannya dalam seni, jawapnya, “Masya-Allah, sebahagian mereka mengikuti saya sejak saya kecil, ikut sejak 1999 (comeback) pun ada.
“Sudah lebih 20 tahun, mereka masih sama (meminati), sebahagian ada yang sudah jadi kawan. Sebahagian jadi macam adik, kakak, abang saya, tapi perhubungan itu, apabila mereka datang ke persembahan, mereka masih menikmatinya.
“Ia kadang buat saya tertanya, tidak jemukah, tapi kata mereka, tidaklah. Saya tidak tahu apa yang mereka lihat (pada saya). Bila bersama, saya menjadi diri saya, kita boleh bersembang, gurau-gurau, tapi apabila saya menyanyi, mereka kata lain. Saya tidak tahu apakah dia, tapi kita bawa diri kita sama saja ke mana-mana. Jadi, walau apa pun, Alhamdulillah, rezeki.”
Di tengah persembahan, antara nyanyian dengan lebih 10 lagu dipersembahkan, dibuka dengan Kaulah Satunya, disusuli judul seperti Keabadian Cinta dan Sedetik Lebih, selain medley Saving All My Love, juga Emosi nyanyian asal Datuk Sheila Majid dan Hujan yang dipopularkan Allahyarham Sudirman, acara jadi santai dengan games diselang-seli.
Enggan meremehkan pertemuan eksklusif dengan para penggemarnya, perhatian jelas diberikan kepada penataan cahaya, juga sistem bunyi dan persembahan muzik yang kemas, menjadikannya seolah sebuah konsert mini.
Februari, juga bulan keraian cinta bagi sebahagian, memberi lebih alasan untuk Anuar menyemarakkan rasa sempena kelahirannya dengan pemberian 1,080 anak patung beruang, sekali gus sebagai tanda mata, tulus daripada figura yang meninggalkan sutnya untuk tampil rileks dalam baju-T hitam yang diserlahkan dengan jaket merah cili daripada Bernard Chandran dan jeans saja.
Memang, sudah jauh perjalanan Anuar sejak 1983 itu. Sejak dia, baru seusia 13 tahun, menerjah dunia seni tanahair sebagai duo Anuar & Ellina menerusi album Berdendang Bersama yang memuatkan hit Kain Pelikat.
Serangkap hit ciptaan Raja Kobat yang malar segar itu diberikan Anuar, spontan bagi memenuhi permintaan fans yang mencuri peluang untuk bernostalgia, lucunya termasuk dengan Suasana Hari Raya. Kuatnya suara fans yang ikut berkumandang jelas memberi makna yang dalam.
Lelaki Ini bukan hanya menjadi encore yang menyempurnakan petang up close and personal itu. Dibibitkan keikhlasan dan kemesraanya, melayani audiens tanpa lelah mahu pun kepura-puraan menjelaskan mengapa mudah untuk banyak hati punya ruang buat dia yang bernama Anuar Zain.
Comments are closed.