Sweet Charity, Nostalgia Yang Tidak Terlupakan
Konsert Semalam Di Malaya – Lima Dekad Sweet Charity yang membuai rasa.

Oleh Zurina Waji | Foto Kamarul & MEM

“… kekaguman M Nasir terhadap kehebatan band yang pernah digelar Deep Purple Singapura itu, beberapa persembahan Sweet Charity tidak pernah saya lewati tanpa berimaginasi tentang muzik dan scene konsert pada zaman flower power itu.”

ENTAH mengapa, menyaksikan Sweet Charity dalam konsert, baru ini mengingatkan saya pada pengalaman Datuk M Nasir yang pada satu perbualan kami, mengimbau bagaimana dia “sanggup panjat pokok, nak tengok Sweet Charity punya pasal.”

1970an, pada masa itu. Di Panggung Negara, Singapura yang melakar banyak pementasan, daripada seklasikal The Russian Bolshoi Ballet ke The Duke Ellington Orchestra, juga konsert daripada The Louis Armstrong Jazz Band ke The Bee Gees dan Shirley Bassey.

Panggung ikonik yang dibuka pada 1963 yang juga tempat Sweet Charity pernah mencipta momennya.

Tapi, kenapa harus memanjat pokok untuk menonton band popular Singapura itu yang bermula dengan bermain di kenduri kahwin?

“Budak sekolah mana ada duit nak beli tiket,” kata seniman yang digelar Sifu itu mengenai tiket masuk berharga, mungkin sekitar $3.50, ketika itu.

Jelas, jauh sudah perjalanan Sweet Charity dan tahun ini, tinggal berempat – vokalis, Datuk Ramli Sarip; Rahman Sarbani (dram), Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar atau A.J (keyboard dan vokalis kedua) meraikan ulang tahun ke-55 penubuhan band itu.

Seraya menghadam kekaguman M Nasir terhadap kehebatan band yang pernah digelar Deep Purple Singapura itu, beberapa persembahan Sweet Charity tidak pernah saya lewati tanpa berimaginasi tentang muzik dan scene konsert pada zaman flower power itu.

Konsert Semalam Di Malaya – Lima Dekad Sweet Charity di Zepp Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Malaysia Shipowner’s Association, ternyata bukan sekadar menjadi pembuka tirai 2024 buat band terbabit.

Juga bukan sekadar berpuas dengan energi kira-kira 2,200 fans, meliputi penggemar separuh baya sampai ke anak muda. Atau pun tentang tiket lapan VIP Box termahal pernah dicatat dalam sejarah penganjuran di Zepp, berharga antara RM15,000 dan RM20,000, setiap satu.

Hilang Gelap Terbitlah Terang menjadi pembuka malam persembahan Sweet Charity yang turut diiringi Din Safari (bass), Addy Cradle (gitar) dan Raduan Zalani (perkusi), selain Roza Rasul di keyboard dan juga merupakan Pengarah Muzik bagi konsert.

Dirakam bagi album Sejuta Wajah pada 1981, lagu ciptaan Rudy R. itu asalnya dibawa Toar Tangkau dengan judul Habis Gelap, Terbitlah Terang yang diinspirasi daripada buku terbitan 1911, berupa koleksi surat-surat pahlawan Indonesia, Raden Adjeng Kartini kepada rakan-rakannya di Eropah.

“Jangan Tunggu Lama-Lama dan Jalan Malam menyusuli dengan mood nakalnya. Ia antara lagu awal saya mengenali Sweet Charity, membawa ke zaman budak-budak, semasa masih mampu merasa bahagia cukup hanya dengan bermain hujan dan pulang dengan kaki berselut.”

BACA: Sweet Charity Semalam Di Malaya

BACA: 55 Tahun Sweet Charity, Tak Pernah Terfikir Pun!

SEJUTA WAJAH

Cetakan asal buku berjudul Door Duisternis tot Licht itu dibibitkan ungkapan lazim “dari gelap menuju cahaya” Kartini yang berpandukan tafsir ayat 257 surah al-Baqarah, dipercayai susulan pemahaman tentang surah al-Fatihah lewat Kitab Faidhur-Rohman oleh ulama, Kyai Soleh Darat.

Itu jugalah, saya mengandaikan, tentang antara apa yang menghidupkan Sweet Charity yang menghidangkan pendengarnya dengan pesan, tersurat mahu pun tersirat, dan roh yang ditiupkan di dalam banyak lagu yang dirakam mereka seawal 1979.

Jujur saja, suara serak basah Ramli yang menjadi trademark kadang mengundang gusar apakah dia mampu meneruskanya, namun dia terus memberikan antaranya Tahun 2000, Sejuta Wajah, Datang dan Pergi, dan Musibah pada separuh pertama malam dengan keghairahannya.

Petikan gitar Rosli masih memukau, sedang A.J diingati dengan vibrasi 70an lewat Bagaikan Bermimpi dan Terharu untuk saya dan beberapa teman chill sambil berdendang ketika penghormatan tertinggi, tentunya saya berikan buat Rahman dengan bara hentakannya.

“Saya suka mengangkat kawan-kawan, kasi semangat,” kata Rahman pada pertemuan, beberapa hari menjelang konsert. “Setiap ketukan (bermatlamat) kasi semangat, kalau saya boleh angkat mereka ke depan.”

Ramli yang mengakui kekuatan Rahman yang disifatkan sebagai enjin yang menggerakkan Sweet Charity kembali untuk memberikan Zakiah, menyerlahkan keupayaan Raduan dengan perkusinya dalam menyulami irama dangdut asal God Bless dalam gaya Sweet Charity.

Jangan Tunggu Lama-Lama dan Jalan Malam menyusuli dengan mood nakalnya. Ia antara lagu awal saya mengenali Sweet Charity, membawa ke zaman budak-budak, semasa masih mampu merasa bahagia cukup hanya dengan bermain hujan dan pulang dengan kaki berselut.

Kerana Ramli kemudiannya, merubah mood dengan menanamkan kecintaannya pada lagu Melayu sambil bernostalgia lewat Semalam Di Malaya, diikuti Apa Khabar Sayang, saya dan teman jadi tertanya mana antara band yang mampu menguasai genre itu sambil rock menjadi teras pegangan.

Muzik Sweet Charity tambah padat dengan Batu, diikuti Lahirmu Bukan Untuk Dunia dan Ribut 10.59 Pagi yang memenuhi keinginan rocker yang hadir, sebelum Kamelia dan Teratai mencukupi 22 lagu dalam set list yang menurut saya, benar menyempurnakan malam.

Jadi, apa saja yang tidak menyenangkan tentang Semalam Di Malaya Sweet Charity?

Saya jadi teringat pada cerita separuh jalan M Nasir yang jatuh pokok dalam keghairahan menonton Sweet Charity. Saya tidak bertanya lanjut, hanya tersengih kerana ia membuat fikiran saya pula menerawang dengan cerita sendiri.

Baik nostalgia yang mengundang senyum atau merenggut rasa, kita akan selamanya terhutang dengan Sweet Charity. Itu pasti.