Ruang Rindu Letto
Di ulang tahun ke-20 Letto, antara puitisnya malam dan bahasa gamelan yang menyapa.
Oleh Zurina Waji
“Noe memukau dengan adab bahasanya, lembut dengan telo Jawa yang pekat, membuat orang lupa bahawa dia adalah alumni sebuah universiti di Kanada. “Letto itu band kampung dari Jogja,” katanya.”
“KERANA liriknya,” kata Noe, pendukung band Letto tentang pemilihan Suci Dalam Debu sebagai antara tiga judul malar segar Malaysia yang diperdengarkan pada malam keraian ulang tahun ke-20 mereka di Kuala Lumpur, baru ini.
Dimuatkan, asalnya dalam album Iklim, Satu Kesan Abadi pada 1990, S Amin Shahab merupakan sosok yang telah menyempurnakan lagu ciptaan Wan Zul itu menerusi nyanyian Allahyarham Saleem.
Noe, atau nama sebenarnya, Sabrang Mowo Damar Panuluh baru berusia 12 tahun apabila lagu itu meledak di Indonesia dengan dijadikan duet Saleem dan Allahyarhamah Poppy Mercury pada tahun berikutnya.
Penghasilan lirik puitis, dikira kemudiannya banyak menyentuh kerohanian, dilihat turut menjadi andalan vokalis dan pemain keyboard ini dalam perjuangan muziknya menerusi Letto yang dibangunkan pada 2004.
Bertemankan Patub yang bermain gitar, Arian (bass) dan Dhedot (Dram), band asal Yogyakarta ini meluncur dengan album Truth, Cry and Lie yang memberikan bait yang mendalami rasa, antaranya lewat Sandaran Hati dan Ruang Rindu.
“Semua lirik Letto saya yang tulis,” jelasnya pada pertemuan usai konsert Letto 20thAnniversary in Kuala Lumpur anjuran Qew Comm yang turut menampilkan tujuh pemuzik gamelan Yogyakarta pada malam yang memadu rasa dalam nuansa Jawa.
Jujur, saya tidak begitu memberati band ini kerana mengira Letto telah bubar setelah lama menyepi selepas album keempat mereka pada 2011, sebelum menyapa dengan single Kasih Tak Memilih pada 2016.
“Soal peminat masih ada atau tidak selepas 20 tahun, jujurnya itu bukan perkara pertama yang kita fikirkan,” kata Noe sebaliknya, masih dengan penampilannya yang apa adanya, berkemeja seakan kimono yang dipadankan dengan celana bata.
“Saya percaya kalau karya ada cerita dan terhubung… karya seperti anak, terhubung ke masyarakat dan fans akan balik ke kita. Justeru, melihat anak (berusia) 19 tahun memahami lagu seperti Ruang Rindu (dirakam pada 2005) benar mengejutkan.
“Saat ada yang bercakap lagu-lagu Letto ada semasa mereka bercinta, kita gembira untuk menjadi sebahagian daripada cerita itu. Juga Letto memang sering memasukkan unsur etnik dalam berkarya, persembahan, dan sebenarnya kita bikin konsert berdasarkan maknannya, jadi lagu yang maknannya terhubung.”
Irama gamelan membuka malam Letto, full house dengan kehadiran hampir 2,500 audiensnnya. Bird Song daripada album 2009, Lethologica, diperdengarkan serentak memulai kecenderungan rasa Noe yang saya kira ikut berlandaskan ilmu tasawuf.
“… bagaimana manusia dengan penuh rasa ini dikhabarkan dalam pencariannya pernah menjadi ateis sebelum kembali ke pangkuan Islam selepas meraih pemahaman sebenar tentang kesaksikan dalam syahadah.”
BERMULA DARI MIMPI
Kedalaman rasa yang diberikan Noe menarik untuk dibahas dengan latar belakangnya yang merupakan anak kepada pendakwah ulung Indonesia, Emha Ainun Nadjib yang lebih dikenali sebagai Cak Nun.
“Ini pertama kali (seumpamanya) dengan gamelan (kena) dengan senarai lagunya, susunannya, tapi kalau bermain gamelan sudah sangat akrab. Kami main gamelan sebelum main band,” katanya, menzahirkan penghormatan terhadap pemuzik gamelan bapanya yang mengiringi.
Bahasa puitis Noe jelas tidak hanya ditumpahkan lewat lagu-lagu Letto yang tampil dengan susunan muzik yang merayu lembut pendengarnya, malah juga saat di panggung, mengungkapkan bagaimana “semua bermula dari mimpi.”
Letto, katanya lagi, “bermula daripada anak muda yang tidak tahu apa-apa.”
Noe memukau dengan adab bahasanya, lembut dengan telo Jawa yang pekat, membuat orang lupa bahawa dia adalah alumni sebuah universiti di Kanada. “Letto itu band kampung dari Jogja,” katanya.
Kangen Deso, sebuah lagu berbahasa Jawa yang agak up beat yang dirakam Letto, ikut diperdengarkan pada malam itu yang membuai rasa audiens lebih dengan judul seroman Sampai Nanti, Sampai Mati, misalnya ke Lubang Hati sampailah Sebelum Cahaya yang lebih dalam.
Lalu, selepas 20 tahun, apa lagi buat Letto?
Noe senyum membalas, “Kalau masih hidup, mungkin… kami ini sudah saling melekat. Sudah terlalu lama bersama, sebagai Letto sudah 20 tahun, tapi sudah saling mengenal lebih 25 tahun, 30 tahun mungkin. Jadi ya, sudah seperti saudara.
“Saya sempat mengatakan di atas panggung tadi, (perjalanan) bukan selalunya sebuah cerita gembira. Jadi, kita juga pernah ada pertelingkahan besar, malah mahu berpecah, tapi akhirnya kita mendapati persaudaraan lebih besar daripada Letto sendiri.
“Jadi, kita membayangkan seperti apa. Ya, seperti ini (ketawa), kita akan terus berkarya ketika ada kesempatan, akan terus membuat ketika ada pintu yang terbuka. Selama masih hidup, sepertinya kita akan terus berkarya.”
Jujur, saya datang, antaranya untuk melihat apakah ada bayangan Cak Nun mengekori kerana persepsi itu bukan suatu yang mudah untuk dikendalikan. Juga penasaran, bagaimana dengan hanya empat album, dalam sepi mereka masih bisa bereksistansi sampai 20 tahun.
Sempat, saya merasakan keanehan lantaran bagaimana manusia dengan penuh rasa ini dikhabarkan dalam pencariannya pernah menjadi ateis sebelum kembali ke pangkuan Islam selepas meraih pemahaman sebenar tentang kesaksikan dalam syahadah.
Untuk menemukan diri, saya kira, menuntut laluan penuh ranjau yang memungkinkan seorang itu tersasar daripada jalannya, namun sebagaimana karya-karya Letto, apakah maknanya fasa itu dan pemahamannya tergantung pada setakat mana perjalanan itu.
Dan malam itu, saya pulang dengan rasa yang dalam terhadap Noe dan Letto.
Comments are closed.