Thaurah, Melayu ke Lagu Paling Leman, M Nasir Bara Yang Tak Padam
Bagaimana malam Gendang Pati mengkhabarkan tentang rasa yang tidak mungkin dinafikan.

Oleh Zurina Waji | Foto Khalil Makata

“… Gendang Pati dibuka dalam remang merah phoenix, saya tidak silap menjangkakan audiens akan disaji dengan sebuah persembahan penuh artistik, mengembara dalam lautan syair bersama roh Nusantaranya.”

ANAK al-Durrah, Muhammad, seharusnya sudah memasuki usia 35 tahun. Entah apakah dia akan kekal di Gaza, dan barangkali sudah berkahwin dan punya anak, atau menjadi pejuang pembebasan, sekadar boleh diangankan.

Kerana pada usianya 12 tahun, dunia dikejutkan dengan futej kanak-kanak yang mati di pangkuan bapanya akibat peluru tentera Israel yang menembak bertubi-tubi walaupun cuba merayu dalam cedera sambil berlindung dalam serangan Intifada Kedua itu.

Dan Masirah tidak pernah gagal membuat insiden 23 tahun lalu itu bermain-main di depan mata.

Cuma Masirah pada malam Gendang Pati Dato M.Nasir Live in Kuala Lumpur, baru ini mengusik emosi, lebih berbanding apa yang pernah dipersembahkan. Masirah yang baitnya dinukilkan S Aman Shahab, diilhami hari Netzarim bermandi darah menyempurnakan M Nasir sebagai seorang seniman.

Fikiran menerawang pada malam penuh dengan perlambangan itu, daripada cerita tentang kebangkitan Phoenixnya ke Langgam Pak Dogo dan rap Kelantannya. Juga Tiara dan Fantasia Bulan Madu yang diselorohkan penyanyi dan komposer prolifik itu sebagai lagunya yang “paling leman.” Hatta persalinan hijaunya, tanda solidariti Palestin, tanpa perlu untuk sosok yang tajam kalamnya ini mengungkapkannya.

“… versi seperti Langgam Pak Dogo, antara nukilan Allahyarham Loloq kegemaran saya yang mengumpan fikir, menghambat ke zaman kecil curi-curi menonton wayang kulit dan dikir barat yang membuat asyik dengan telo pekat Kelantan Tok Dalangnya… “

KEMBARA BUNYI-BUNYIAN

Seawal panggung Gendang Pati dibuka dalam remang merah phoenix, saya tidak silap menjangkakan audiens akan disaji dengan sebuah persembahan penuh artistik, mengembara dalam lautan syair bersama roh Nusantaranya.

Penari dalam kostum burung memulai kembara diiringi bunyi-bunyian mewah perkusi dan gendang untuk Phoenix Bangkit Dari Abu, menyemarakkan mood di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dengan kalam mempesona Inang Pulau Kencana dan Secangkir Kopi Semanis Puan, antaranya.

Berlari antara tugasan, termasuk membuat dokumentasi kempen Palestin sebagai sukarelawan untuk KHOM, sebuah NGO tempatan, saya menyertai gejolak 2,800 audiens yang dibakar perasaan untuk menghayun tubuh dengan judul seperti Bila Rumi Menari dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Ia malam yang menarik saya untuk memberi perhatian ekstra apabila M Nasir meneriakkan, antaranya “Minta bebas bebas, Dari sangkar maya ini” dalam lagu yang disebutnya “buat mereka yang Melawan Arus.”

Kekaguman saya tidak setakat pada keupayaan M Nasir mengekspresi keindahan seni Melayu dalam persembahan yang hampir teatertikal itu dengan mengangkat kekayaan bunyian gendang dan instrumen tradisional melalui konsep yang dihidupkan bersama penganjur, MND Sport & Event Sdn Bhd dan diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd itu.

Tapi juga bagaimana versi seperti Langgam Pak Dogo, antara nukilan Allahyarham Loloq kegemaran saya yang mengumpan fikir, menghambat ke zaman kecil curi-curi menonton wayang kulit dan dikir barat yang membuat asyik dengan telo pekat Kelantan Tok Dalangnya di celahan bunyian serunai dan gendang kala diberikan Awe dengan rebabnya, bertingkah dengan Che Long yang juga bermain perkusi.

Versi Kuala Lumpur ini turut menampilkan Nan Alias, gitaris yang juga pengarah muzik, selain Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud dan Eddie Slam (keyboard), dan Ujang Exists (dram). Juga Paang bagi perkusi utama, selain Mat Din (perkusi tradisional) dan Anas (perkusi), manakala Eja, Widy serta Yuaz, dan Awe sebagai penyanyi latar.

Biar dalam jengkel dengan penataan cahaya, ia tidak menjejaskan malam itu untuk mengetuk qalbu, berbicara dalam keadaan dada seolah terhimpit lantaran air mata yang seupaya mungkin dibendung sambil bibir digetap menghayati antara bait “haram kelamin untuk kita bercerai” nukilan Seth yang mencengkam rasa buat Hijab Kekasih.

Dilagukan M Nasir, sekali lagi, dalam irama Melayu yang membikin larut perasaan, ia mengingatkan saya bagaimana dalam satu pertemuan dia menyifatkan ia “lagu yang susah untuk dibawa” apabila diberitahu karyanya itu, bagi saya, paling meruntun jiwa.

“… M Nasir mengirim kecamukan emosi sebelum reda dipujuk sajak Thaurah Palestin, karya Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang yang dideklamasi sepenuh jiwa oleh aktor, Amerul Affendi… “

BAGAIKAN SAKTI

M Nasir berkongsi momennya dengan duo Awe dan Che Long yang ikut memberikan keghairahan menerusi muzik tradisi dan keletah lucu mereka. Juga kejutan lewat keharmonian koir pelajar SMJK Sam Tet dari Ipoh yang digelar Voices of Sam Tet, menjadikan Bagaikan Sakti terasa benar bererti.

Kabut Serangkai Mawar yang didedikasi untuk penyanyi asalnya, Zaiton Sameon memberi rasa terharu, menyelinap dalam segmen yang mengimbau nostalgia dengan lagu-lagu sentuhannya, termasuk Setahun Sudah Berlalu (Alleycats), Tiara (Kris) dan Pawana (Search).

Tenaga seolah tidak terkuras, dia meneruskan dengan karya solonya, antaranya Mentera Semerah Padi yang diteriakkan audiens sebagai antem yang menggetarkan jiwa keMelayuan sebelum disambut dengan untaian cinta Ada dalam joget yang mengusik.

Saat diduga malam mendekati penghujungnya, doa Qunut Nazilah menyusul berlatar nukilan di layar, tanda solidariti bersama Palestin. Sorotan lampu mengarah seketika pada petikan gambus sebelum beralih ke tengah pentas untuk M Nasir meleraikan rasa hiba jiwa, apa lagi kalau bukan lewat Masirahnya.

Rasa itu membuat saya merenung fasa emosi yang sedang menghambat dunia. Isu di tanahair, seawal kemarahan rakyat tentang larangan takbir dan Qunut Nazilah yang jadi pertikaikan. Sedang semenjak konflik Taufan Al-Aqsa, saya harus bertarung perasaan dengan satu demi satu berita kematian sahabat sukarelawan atau ahli keluarga mereka akibat pengeboman di Gaza.

Hiba berbaur kesal dan amarah saat M Nasir mengirim kecamukan emosi sebelum reda dipujuk sajak Thaurah Palestin, karya Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang yang dideklamasi sepenuh jiwa oleh aktor, Amerul Affendi untuk menjadikan Masirah sebagai penutup malam yang sempurna.

Atau, adakah hanya saya berperasaan begitu saat merasakan bagaimana malam itu mendorong suara hati galak membisikkan kebangkitan lewat momen paling berjiwa pernah diberikan seorang Sifu?