Solidariti Tombo Ati
Disapa angin Gaza, di sebuah konsert kerohanian yang mengharukan jiwa.

Oleh Zurina Waji

“Serangkap Bila Waktu Tlah Berakhir dilantunkan tanpa muzik, sebelum itu, mengetuk hati audiens yang sebahagian besar menyatakan solidariti mereka dengan berpakaian putih.”

“SUNGGUH yang terjajah bukan Palestina, tapi kita yang terjajah pada kehidupan hari-hari kita,” kata Opick, mengaitkan situasi semasa di Gaza, terutamanya yang sedang berdepan pembantaian oleh Zionis yang bakal memasuki bulan keduanya.

“Sebab kita yang begitu takut kepada kemiskinan, begitu takut dengan sakit, begitu takut dengan kematian.”

Kerana, kata penyanyi religi dan komposer terkenal Indonesia itu lagi, kematian adalah suatu kepastian.

Fikirannya diluah tanpa teragak-agak. Serba hitam, tampil berkain dan bersandal, lengkap berserban yang menjadi identitinya, dia menguasai malam Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live in Kuala Lumpur dengan suara dan auranya.

Serangkap Bila Waktu Tlah Berakhir dilantunkan tanpa muzik, sebelum itu, mengetuk hati audiens yang sebahagian besar menyatakan solidariti mereka dengan berpakaian putih. Jelas menjadikan muzik sebagai medan dakwahnya, dia mengungkapkan:

“Ya Allah! Ya Rabb! Kerana kematian adalah sebuah kepastian, maka alangkah beruntungnya siapa pun daripada kita yang dipermudahkan zikrullah, dia berzikir. Kerana kematian adalah sebuah kepastian, alangkah beruntungnya dipermudahkan berselawat.

“Kerana kematian adalah suatu kepastian, alangkah beruntungnya orang yang selalu membesarkan Al Quran. Kerana kematian adalah sebuah kepastian, maka beruntung orang yang terpakai oleh Allah dalam hari-harinya untuk dia menyelamatkan saudaranya seperti saudara-saudara kita di Palestina.

“Ya Rabb! Moga Allah memenangkan mereka semuanya. Moga Allah tolong mereka semuanya.”

Mana mungkin untuk tidak dipanah aura penyanyi berdarah Jawa asal Jember itu yang memulai perjalanan seninya di pentas rock pada akhir 90an sebelum beralih kepada pop religi, seawal debut Istighfar pada 2005 yang turut memuatkan syair tradisional Jawa, Tombo Ati.

Keunikan Opick, atau nama sebenarnya, Aunur Rofiq Lil Firdaus yang menyuntik elemen Jawa dengan pengaruh muzik Arab dalam karyanya menghiasi konsert di Zepp Kuala Lumpur itu yang dibawa oleh Al Kauthar Eduqids dan dianjurkan Icon Entertainment.

Ditemani bandnya, dia meniupkan nafas segar, membuka dengan irama rancak Assalammualaikum – Rumput Bertasbih sebelum audiens menyertainya untuk berselawat, seterusnya dibuai dengan lapan lagi judul popularnya seperti Rapuh, Dealova dan Tombo Ati.

Sederhana namun penuh karismatik, masih dirasakan dia tetap merendah diri sambil menyampaikan pesan dengan makna mendalam menerusi untaiannya, sekali gus menjadikan penantian yang berbaloi untuk gilirannya di jam terakhir malam.

“… sebuah gitar milik teman band lamanya, Eross yang siap ditandatangani, termasuk olehnya dan Opick yang meraih bidaan akhir RM11,000 menerusi acara lelongan bagi mengisi Tabung Palestin.”

BACA: Suara Palestin Di Malam Tombo Ati

PALESTINE IS CALLING YOU

Pentas lebih dulu dibuka oleh trio UNIC yang mengalunkan vokal harmoni mereka, termasuk secara impromptu untuk Qunut Nazilah yang kembali hangat susulan berbangkitnya isu Palestin, malahan di Parlimen, baru ini.

Biar, dalam pertemuan pada petang sebelum persembahan, mereka menolak untuk diangkat sebagai kumpulan nasyid tempatan paling unggul, sekarang ini, pengaruh mereka jelas kala lagu dengan melodi khusus itu yang dirakam 10 tahun lalu, ikut meniti di bibir audiens.

UNIC juga memberikan, antaranya Ainul Mardiah sebelum disertai Zizi Kirana bagi melagukan Purnama. Nur Fazura dan Adi Priyo, antara yang mengisi malam, selain Yabang dengan vokal powernya untuk Suara Khalifah dan Satu Kalimah usai Amir Masdi yang seharusnya memberikan lebih rasa untuk cover Tell Me Why.

Ada momen indah diukir saat Sakti, bekas pemuzik Sheila On 7, yang kini menggunakan nama Salman Al Jugjawwy, muncul di pentas di tengah persembahan anak-anak Eduqids, selepas 17 tahun menggantung gitarnya.

Seraya memanfaatkan malam Tombo Ati bagi berdakwah, dia memberikan kenyamanan rasa lewat judul popular band Indonesia itu seperti Buat Aku Tersenyum, selain Dunia yang mengguna pakai nota Sephia dengan lirik kerohanian, memahami kerinduan penggemarnya.

Sesuai janjinya untuk mendukung perjuangan Palestin, Sakti menyerahkan sebuah gitar milik teman band lamanya, Eross yang siap ditandatangani, termasuk olehnya dan Opick yang meraih bidaan akhir RM11,000 menerusi acara lelongan bagi mengisi Tabung Palestin.

Tapi serahkan kepada Opick untuk merenggut perasaan, terutama dalam membawa audiens ke nurani Palestin, termasuk lewat Palestine Is Calling You yang dinyanyikan, kali pertama, di hadapan penggemar Malaysianya.

Saya sebetulnya mengharapkan Opick ikut memberikan versi bahasa Indonesia, Palestina Memanggilmu atau mungkin sebuah lagi karya tentang Palestin, iaitu Air Mata Palestina yang dirakamnya pada 2019.

Solidariti yang bukan dalam perancangan awal itu, bagaimanapun bagi saya lebih mengesankan dengan luahan Opick yang berkata: “Lihat! Lihat! Dengar! Setiap malam dengan keadaan begitu mengerikan, bahkan di rumah sakit, bahkan ke mana semua mahu lari? Tak ada hanya kepada Allah.

“Sesungguhnya betapa beruntungnya saudara-saudara kita di Palestina, tak ada tempat kembali selain daripada Allah. Lihat kita, kalau kita punya persoalan lari ke mana? Kalau kita punya masalah lari ke mana?”

Opick, malam itu membuatkan saya pulang dengan rasa haru di dada yang tidak hilang.