Suara Palestin Di Malam Tombo Ati
Konsert kerohanian gandingan eksklusif pertama Opick dan Sakti, Sabtu ini.

Oleh Zurina Waji

“… bukan saja nyanyian tapi ada ruang bicara, berselawat, saling menasihati. Satu ruang yang luar biasa kerana memang satu kesempatan apabila muzik religi mendapat tempat di hati masyarakat.” – OPICK

TOMBO Ati melangkaui judul syair tradisional Jawa yang dipopularkan Opick, malah menyimpulkan  pengharapan untuk menjadi pengubat hati, terutamanya saat dunia sedang diuji dengan kegetiran manusiawi.

Sabtu ini, pada malam yang digelar Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live in Kuala Lumpur, jelas besar ertinya buat penyanyi religi Indonesia itu yang kembali, pertama kali bersama Sakti yang juga mantan gitaris band terkenal, Sheila On 7.

Ia, menurutnya, dilihat sebagai satu kesempatan indah untuk mencipta ruang yang luar biasa, termasuk memperdengarkan lagu yang belum pernah diperdengarkannya di depan penggemar Malaysianya.

“Kita cuba persiapkan yang terbaik, bukan saja nyanyian tapi ada ruang bicara, berselawat, saling menasihati. Satu ruang yang luar biasa kerana memang satu kesempatan apabila muzik religi mendapat tempat di hati masyarakat.

“Ada komposisi yang jarang saya bawa, antaranya tentang kondisi Palestin sekarang,” katanya yang diketahui pernah menghasilkan Palestine Is Calling You, atau dikenali juga sebagai Palestina Memanggilmu, selain Air Mata Palestina pada 2019.

Diberitakan pernah berziarah ke Palestin, termasuk Gaza, dan melihat sendiri apa yang terjadi pada negara itu yang kini berdepan pembantaian kejam Zionis, Opick juga menyifatkannya bakal melengkapi malam yang dibawa oleh Al Kauthar Eduqids itu.

“Ia sebagai satu bentuk pendidikan kepada masyarakat tentang misi-misi agama, misi-misi keTuhanan, misi-misi kerohanian dan misi-misi kemanusiaan, iaitu ajakan untuk membangun empati, membangun cinta, kasih sayang. Saya cuba,” katanya dalam temubual dari Jakarta itu.

Sakti yang juga dikenali dengan nama Salman Al Jugjawyy melihat kolaborasi bersama Opick yang lebih dulu beralih arah selepas mencipta nama sebagai penyanyi rock lebih daripada hanya ruangnya kembali mengulit gitar selepas 17 tahun meninggalkan Sheila On 7.

Seperti Opick yang senang dipayungi Tombo Ati untuk persembahan di Zepp Kuala Lumpur nanti, pemuzik dan pencipta itu juga melihatnya sebagai doa yang mengiringi sosok yang dihormatinya itu dalam usaha dakwahnya, terutama dalam misi membabitkan Palestin.

“Semoga yang mendengar nada yang indah, ademnya tidak cuma sampai di kuping, tetapi juga di hati. Semoga yang hadir banyak mendapat manfaat, keberkatan daripada Allah,” katanya yang bercakap dari Yogyakarta.

“… berbicara Rahmatan lil ‘alamin. Insya-Allah apa yang akan dibawa pasti berkaitan saudara-saudara kita yang diuji di Gaza. Semoga semua nanti akan ada perasaan yang sama, punya empati yang sama, hati yang sama.” – SAKTI

MALAM PENGUBAT HATI

Sebagai “malam pengubat hati”, sesuai judul Tombo Ati yang digunakan, Sakti yang menjangkakan akan menyampaikan sehingga lima lagu tidak mahu ia sekadar konsert, tapi dakwah dan berharap ada panduan Allah di situ.

“Persiapan materi moga (tidak sekadar) membuat sejuk di kuping secara jasad,namun juga di hati kita sejuk,” katanya.

Secara otomatik, akui Sakti, konsert itu akan dipengaruhi suasana semasa, terutamanya dengan apa yang sedang berlaku di Palestin.

“Pasti yang namanya Islam berbicara Rahmatan lil ‘alamin. Insya-Allah apa yang akan dibawa pasti berkaitan saudara-saudara kita yang diuji di Gaza. Semoga semua nanti akan ada perasaan yang sama, punya empati yang sama, hati yang sama.

“Hati yang lembut, hati yang mahu berbagi, hati yang saling mendoakan. Secara langsung atau tidak langsung, sengaja atau tidak sengaja, tema lagu yang dibawa akan berkaitan saudara Muslim kita di Gaza,” katanya.

Konsep persembahan anjuran bersama Icon Entertainment itu juga bakal disertai Nur Fazura, Zizi Kirana, UNIC, Amir Masdi, Adi Priyo dan Yabang Khalifah bagi menzahirkan tali persaudaraan antara dua negara serumpun, Malaysia-Indonesia.

Pemakaian putih buat audiens turut dianjurkan wakil Icon Entertainment, Iman Tang, selari “fasa sedih dengan situasi di Palestin yang sedang bertarung nyawa.” Juga diumumkan mengenai sebahagian hasil penjualan tiket yang akan disumbangkan buat tabung Palestin.

Pentas seni, menurut Opick, adalah antara medan dakwah yang berkesan, termasuk di Malaysia yang berdasarkan pengalamannya memperlihatkan apresiasi luar biasa dalam kalangan masyarakatnya.

Sakti yang hanya baru ini kembali ke panggung juga menganggap setiap orang mempunyai pandangan berbeza, namun apabila ada keinginan menghargai perbezaan itu dan melihat Islam secara keseluruhan akan bertemu di titik sama, akhirnya.

Bagi menanggapi pandangan muzik melalaikan, dia berkias, “Muzik ini seperti pisau, kalau dipakai untuk menghiris daging, cari nafkah yang halal untuk keluarga jadi satu hal yang baik. Sebaliknya pisau jika dipakai untuk merompak, mencuri itu jadi satu yang buruk.

“Begitu juga muzik, kalau ia mendekatkan kita, membuat kita kenal sama Allah, membuat hati kita lembut, lebih berempati kepada sesama, saya fikir di mana yang membuat kita itu lalai? Jadi kenderaan, bagaimana kita pakai (cara) membuat hati kita lembut.”

Tiket konsert serendah RM228 boleh didapatkan di www.ticket2u.com.my/opickdansakti