Setengah Mati Merindu Judika
Bagaimana malam Rockmantic lalu melunaskan perasaan yang lama terpendam.

Oleh Zurina Waji | Foto DAD Management

“… mendengarkan suara antusias daripada peminat, saya jadi tidak sabar pula mahu naik ke pentas. Saya ingin menyanyi, ingin berhabis-habisan.”

“SEMPAT gementar,” akui Judika, penyanyi terkenal Indonesia usai Rockmantic Night – Judika & The Gang, konsert berskala besar pertamanya, di Axiata Arena yang mengundang kehadiran 12,000 peminatnya.

“Tapi sebaik masuk ke ruangan (belakang pentas) dan mendengarkan suara antusias daripada peminat, saya jadi tidak sabar pula mahu naik ke pentas. Saya ingin menyanyi, ingin berhabis-habisan.”

Padanlah apabila malam yang dibawakan oleh Dua Anak Deo (DAD) Management itu memberikan banyak momen indah, baik buat Judika mahu pun para peminatnya selepas kali terakhir muncul bersama Orkestra Filharmonik Malaysia pada 2019.

Melihat penyanyi berusia 45 tahun ini di panggung Rockmantic yang berlatar pemuzik orkestra di pelantar tinggi, di samping band yang mengiringinya di bahagian depan, sebetulnya memang asyik dengan tempias auranya itu.

Seawal dia menampakkan dirinya dalam jaket kulit hitam, menaiki motosikal berkuasa besar ke tengah pentas dan membuka malam dengan Bukan Rayuan Gombal, sorakan tanpa henti audiens seolah memberitahu tentang kerinduan yang terpendam.

Sering lantunan nada tinggi suara serak basahnya membuat ramai, termasuk saya, sukar untuk tidak merasai kekaguman terhadap anugerah seindah ini yang diberikan kepada sosok bertubuh kecil itu.

Ramah dalam caranya yang sederhana itu, lazim bersulam usikan, membuat rasa dekat biarpun bagi audiens yang harus menikmati daripada tempat duduk paling atas, tidak berasa jauh daripada bintang yang diidolakan itu yang memperdengarkan, antaranya Sampai Kau Jadi Milikku, Putus Atau Terus, Mama Papa Larang dan Jikalau Kau Cinta.

Ikut berkongsi pentas, Shila Amzah sebagai artis undangan, antaranya menerusi duet Kisah Yang Ku Inginkan sebelum Marsha Milan pula bergandingan dengan Judika untuk memberikan sepenuhnya buat Bukan Dia Tapi Aku.

Juga ditampilkan, bakat baru Indonesia, Dnanda, Daniel Pattinama dan Dr Axin yang bernaung di bawah DAD Management.

Pentas Rockmantic juga digunakannya yang mengenali Mengintai Dari Tirai Kamar sebagai Buih Jadi Permaidani dan dinyanyikan secara duet bersama Haqiem Rusli, untuk diperdengarkan sebagai antara tiga judul Malaysia pilihannya yang kali pertama dipersembahkan.

“… membuat satu stadium berpatisipasi, berdangdut dengan Ikan Dalam Kolam, judul Aku Yang Tesakiti barangkali antara yang memberikan momen peribadi buat ramai audiensnya.”

KERINDUAN MEMBAWA JUDIKA KEMBALI

Tak hanya hit Exists itu yang sedang hangat di Indonesia, Judika juga memancing audiens dengan Sejati, hit Wings dan Cindai yang dipopularkan Dato Siti Nurhaliza yang  diakuinya “memang disukai sejak dulu” seraya mengakui lagu joget itu paling mencabar, terutama pada liriknya yang “berganti bait, berganti lirik semuanya.”

“Saya tidak mahu sekadar (menyanyikan) lagu-lagu yang sudah sering saya nyanyikan,” merujuk Isabella yang pernah dipersembahkan Judika secara duet bersama Amy Search, atau Gerimis Mengundang (Slam) dan Suci Dalam Debu (Iklim).

“Kerana saya ingin belajar lagu yang saya suka dan itu alasannya kenapa saya pilih lagu itu (Sejati, Cindai dan Buih Jadi Permaidani) sebab saya suka sangat lagu-lagu itu.”

Sepertimana naib juara Indonesia Idol 2005 ini, menyerlah dalam kilauan sut gelapnya, membuat satu stadium berpatisipasi, berdangdut dengan Ikan Dalam Kolam, judul Aku Yang Tesakiti barangkali antara yang memberikan momen peribadi buat ramai audiensnya.

“Kerinduan ini,” kata Judika, kemudiannya, merujuk permintaan peminat untuknya kembali dengan konsert, “membuatkan saya berasa harus datang ke Malaysia lagi. Peminat yang menunggu Judika untuk datang membuat saya ingin memberikan yang terbaik yang saya ada.”

Energi Judika? Sekali lagi, kerinduan juga yang membakar semangat penyanyi asal Berastagi ini.

“Saya benar-benar memberikan yang terbaik, semuanya yang mampu daripada saya, daripada tenaga dan fikiran. Saya banyak ngobrol dengan audiens dan respons mereka membuat saya cepat kembali segar.

“Cinta yang kembali kepada saya lewat ngobrol, chit chat, suara mereka itu yang membuat seperti energi saya datang sendiri biar pun sebenarnya (energi) sudah mahu habis, tapi ia kembali lagi,” katanya.

Rasa sebak menyelinap apabila kerinduan itu juga disempurnakan, kali pertama, oleh ibu bapa dan mertuanya, selain isteri, Duma Riris Silalahi serta dua anak mereka, Cleo Deora Boru Sihotang dan Judeo Volante Sihotang.

“Lengkap sekali, (keluarga) masih bisa melihat konsert Judika yang pertama di Malaysia dengan peminat yang penuh, ini kebahagiaan yang tidak bisa dibnayar dengan apa pun,” katanya. “Saya benar-benar bahagia. Ini special. Saya gembira mereka datang dan melihat anaknya bisa menyanyi di depan peminat Malaysia.”

Itu kenapa malam Rockmantic bersama Judika benar membahagiakan.