Exposure+ Photo Kembali, Tampilkan 20 Artis dan Pelbagai Acara Seni Foto
Dengan tema A Different Light, festival fotografi ini bakal menyinari ibu kota, bermula 21 September ini.
Oleh RUMI
“… kami menerima lebih 160 permohonan dari seluruh pelusuk dunia walaupun festival in boleh dianggap baru dalam kalangan komuniti kreatif global.” – Steven Lee
BIAR baru memasuki tahun kedua penganjurannya, Exposure+ Photo yang mula meraih perhatian penggemar seni fotografi kembali berlangsung selama dua minggu, menuju akhir September, dengan penyertaan 20 artis dari seluruh dunia.
Pemilihan yang dibuat daripada 160 permohonan yang diterima, menurut pengasasnya, Steven Lee, adalah bersandarkan projek yang memberikan impak terbesar dengan hasil karya akan dipamerkan sepanjang festival berlangsung sehingga 1 Oktober ini.
Ia dibuat menerusi konsep panggilan terbuka, tahun ini dikenali sebagai The Open Call 2023 dengan tema A Different Light, iaitu ciri unik festival ini yang mendedahkan jurugambar tempatan kepada penyertaan yang dibuka kepada semua jurugambar dari seluruh dunia.
“Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa kami menerima lebih 160 permohonan dari seluruh pelusuk dunia walaupun festival in boleh dianggap baru dalam kalangan komuniti kreatif global,” memetik kenyataan media Lee, dengan pemilihan 20 terbaik dibuat panel juri, termasuk Pengarah T3 Photo Festival Tokyo, Ihiro Hayami dan Editor Foto majalah LFI (Leica Fotografie International).
Selain pameran karya 20 artis itu yang dirancang di 10 lokasi di Kuala Lumpur, antaranya di REXKL, Kloe Hotel dan LOKL Coffee, pelbagai acara berkaitan seni fotografi juga akan diadakan seperti bengkel, reviu portfolio dan bual bicara.
“Pengalaman peribadi dan penceritaan disatukan secara visual dalam bentuk ekspresi fotografi. Tema A Different Light cukup luas untuk diinterpretasikan… “ – Nadirah Zakariya
Exposure+ Photo yang diasaskan Lee bersama rakan jurugambar, Nadirah Zakariya, merupakan satu inisiatif bebas dengan konsep akar umbi dan beroperasi sebagai sebuah non-profit, bermatlamat utuk menggalakan fotografi sebagai satu cabang seni dan ekspresi di Malaysia.
Dengan slogan Photography For All, festival yang menyediakan platform bagi penggiat seni fotografi mempamerkan hasil kerja mereka ini membolehkan pengunjung menyaksikan kehebatan, kepentingan serta kuasa yang ada sesuatu imej sebagai satu cara berkomunikasi.
Jelas Nadirah pula, fokus festival ini adalah mengenengahkan projek fotografi, termasuk video yang dekat dengan hati dan jiwa audiens.
“Pengalaman peribadi dan penceritaan disatukan secara visual dalam bentuk ekspresi fotografi. Tema A Different Light cukup luas untuk diinterpretasikan dalam genre fotografi yang berlainan dan boleh dianggap sebagai tema yang boleh dibawa ke pelbagai arah,” katanya.
Akses
- 21 September – 1 Oktober 2023
- Pameran di Kuala Lumpur – GMBB, REXKL, Kloe Hotel, The Zhongshan Building, BookXcess, LOKL Coffee Co, High Street Studios, Triptyk, Kantata dan Zontiga.
- Untuk info, layari laman web www.exposureplusphoto.com
Comments are closed.