M16, 5 Kelopak Peluru dan Sejarah Yang Menyakitkan
Menjelang Hari Kemerdekaan, menyingkap erti pengorbanan pejuang yang seolah tidak lagi dipedulikan.
Oleh Zurina Waji | Foto M Akmal Zaki
“Saya tak fikir apa, fikir perang (kalau) tak aku mati, kau (musuh) mati. Itu saja (dirasai) jiwa saya.”
“KOMUNIS, kalau boleh nak selamatkan kawan dia supaya tak bocor rahsia,” kata Staf Sarjan (B) Mohd Ali Ahmad, 72, yang tidur di sebelah mayat musuh yang bersepai otak selepas ditembaknya dalam Ops Gonzales di di Hutan Simpan Bukit Kinta, Sungai Siput, Perak pada 1974.
“Selepas bunuh komunis, seminggu saya tak makan. Bau hanyir dia, Allah! Seminggu (saya) tak makan. Bila nak masuk (suap) je teringat.”
Jelas bekas komando ini, mayat berseragam PD Green itu yang ditembak pada petang pertempuran perlu dikawal sementara menanti helikopter Nuri tentera datang pada keesokan paginya untuk dibawa pulang.
Entah berjenaka atau bercakap benar, tambahnya, “Itu belum lagi cerita mayat bergerak-gerak jam 3 pagi.”
Dia, ketika itu, bersama Trup Nombor 9, Skuadron Z, Rejimen Gerak Khas (RGK) dan baru dua tahun bersama pasukan elit tentera itu selepas menyertai tentera pada Jun 1970, bermula dengan unit Artileri.
Diketuai Leftenan M Zainal Abidin Hussein, pasukan seramai 32 anggota itu berpecah dua. Dibantu satu pasukan kombat daripada Pusat Latihan Tempur Tentera (PULADA), termasuk anjing pengesan bernama Ben yang dikendalikan Sarjan Chandan Gaing dari Cawangan Anjing Perang, objektif operasi adalah untuk menghapuskan ancaman komunis, lebih tepat 5th Assault Unit atau Pasukan Penggempur ke-5 yang menguasai kawasan Ulu Kinta dan Sungai Siput sejak 1960.
Ops Gonzales yang menganugerahinya dengan Pingat Gagah Berani (PGB), kata anak jati Serkam Anak Air, Melaka ini dilancarkan ketika “musim askar kena potong kaki (akibat terpijak), banyak jerangkap samar.”
Kekejaman komunis terhadap mereka yang ditangkap, termasuk dicincang badan dan dipotong kemaluan tidak membuatnya gentar. Akuinya, “Saya tak fikir apa, fikir perang (kalau) tak aku mati, kau (musuh) mati. Itu saja (dirasai) jiwa saya.”
Mohd Ali, bekas komando termuda menerima pingat PGB
Pada kunjungan bersama sukarelawan KHOM ke kediamannya di Melaka yang diatur Kelab Veteran Komando Melaka itu, biarpun dalam kondisi tidak sebaik dulu akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya kini, bicaranya cukup untuk membayangkan semangat kecintaannya pada negara.
Pengkhianatan, terutamanya oleh para simpatis cukup menyakitkan dan merupakan sejarah yang tidak mungkin dipadam.
“Saya tembak seorang (komunis), lagi dua tidak pasti peluru siapa sebab ada beberapa menembak, termasuk saya,” kataya, merujuk pertempuran yang menyaksikan tiga komunis dibunuh oleh pasukannya.
Pendedahan oleh Mohd Ali kemudiannya membuat bulu roma merinding apabila dia berkata, “Seorang tu komunis perempuan, (yang juga) jururawat.” Ia sekali gus mendedahkan jururawat sebuah hospital kerajaan itu yang sedang bercuti sebulan sebenarnya ejen komunis dan telah mencuri bekalan perubatan sedikit demi sedikit untuk diberikan kepada pengganas.
“… besar kebarangkalian untuk mati dalam serangan hendap itu, namun demi mempertahankan kedaulatan tanahairnya, dia tekad menyusup masuk sehingga bertembung dengan seorang anggota komunis.”
KEBERANIAN DAN GERAK HATI
Mohd Ali baru mahu melangkah sebuah anak air apabila pasukannya dihujani tembakan dari atas bukit. Prebet Md Amin daripada Angkatan Tentera Orang Asli yang berjalan di depan untuk trekking cedera di kaki.
Leftenan Zainal juga, katanya cedera ekoran lutut terhentak batu dan lebih menyayat hati, lolongan Ben yang terkena dua das tembakan tapi anjing baka Labrador itu sempat merangkak sebelum mati di pangkuan Sarjan Chandan.
Itu bagaimanapun bukan serangan pertama komunis terhadap pasukan beret hijau ini yang diserang seawal helikopter sedang menurunkan kumpulan pertama sebaik tiba di satu kawasan di hutan berkenaan.
“Masa turun (dari helikopter) dah kena tembak,” katanya, menceritakan bagaimana mereka terpaksa terjun begitu saja dari helikopter yang terbang rendah. “Selepas empat, lima orang turun, komunis tembak kami. Bunyi macam batang buluh meletup, pecah, (didengari) walaupun bunyi helikopter kuat.
“Kalau helikopter hoover rendah pun, paling rendah 12 kaki. Bila terjun, lalang lebih tinggi daripada kita. Kena clearkan (daripada) mana bunyi (tapi) sudah turun, mereka tidak lagi menembak dan biasanya mereka tidak akan tunggu.”
Cubaan mengejar komunis, kata Mohd Ali lagi, mulanya terhalang selepas mereka mengesan wayar jerangkap samar ditanam di laluan yang rupanya hanyalah penyamaran bagi melengah-lengahkan tentera.
Keberanian tentera negara melawan komunis, termasuk Mohd Ali di akhbar
Serangan hendap yang mencederakan teman sepasukan dan kematian Ben membuatnya bertambah geram dan dia yang baru berusia 23 tahun, ketika itu, memanjat tebing curam untuk menaiki bukit bagi melihat musuh dengan lebih jelas.
“Kita lalu nak cari dia (komunis), dia dah hentam kita,” katanya, sesekali mengusap mukanya. Ada masanya dia termenung, seakan dibawa ke petang tragis itu. “Dia (komunis) di atas bukit, kita di lereng bukit.”
Dia menyedari besar kebarangkalian untuk mati dalam serangan hendap itu, namun demi mempertahankan kedaulatan tanahairnya, dia tekad menyusup masuk sehingga bertembung dengan seorang anggota komunis.
“Dia nak baling bom tangan, saya tendang. Dia tak perasan saya dah di depan. Ben dah kena tembak, (memang) komunis akan tembak anjing dulu. Mayat (komunis yang ditembak) kepalanya pecah, otak bersepai.
“Apabila diserang hendap, (bermakna) dia tunggu kita,” katanya yang juga anggota komando termuda menerima pingat setinggi PGB dalam sejarah tanahair. “Komando, kalau kena serang hendap, jangan tunggu. Naik saja. Tak boleh jalan, kalau jalan jadi sasaranlah jawapnya.”
Berbekalkan selaras M16 seberat 6kg dengan lima kelopak peluru dan dua atau tiga bom tangan, ketika itu, dia berlari mengikut gerak hati mencari tempat persembunyian komunis yang tidak diketahui berapa jumlahnya.
“Saya dapat PGB sebab kita dapat dia (komunis), dia tak dapat kita. Sambil lari, sambil tembak. Sambil naik, mata meliar. Gerak saja pokok, tembak. Kalau pokok dah tak goyang, (musuh) kenalah (tembakan) tu. Saya untungnya selalu menembak, jadi kita pun tak ada takut, berani,” katanya.
“Tapi jangan naik membabi buta (nanti) kita kena. Kena tengok arah peluruh, berapa peluru ditembak. Kalau terus naik jadi umpanlah kita. Tak fikir akan cedera atau apa, cuma fikir ‘aku tak tembak kau (musuh), kau tembak aku.’ Itu saja.”
“Saat melihat pejuang seperti Mohd Ali yang terpaksa menahan ketar hanya untuk melangkah beberapa depa, dan perlu dipapah, hati ini bagai disiat-siat.”
RINTIHAN YANG TERPENDAM
Pertempuran itu juga mendedahkan penempatan komunis di hutan, termasuk penemuan 28 beg galas yang ditinggalkan musuh yang berisi, antaranya beras yang sudah dicampur aji no moto dan garam.
Diaju pertanyaan tentang perasaannya selepas menembak mati komunis itu, Md Ali tunduk merenung lantai. Nadanya tenang, berkata, “Saya tak rasa apa. Itulah komando. Kita buat latihan pun (guna) peluru hidup, (jadi) bila peluru ditembak pada kita kurang menakutkan.
“Pembohonglah kalau kata tak takut, bukan manusia namanya. Cuma kurang menakutkan, itu punca buat semangat sikit. Kena pastikan dia (musuh) mati, kalau tak dia, kitalah.”
Dia mengekek apabila ditanya apa yang dimaksudkannya mengenai mayat yang disebutnya “bergerak-gerak jam 3 pagi” dalam kejadian itu sebelum menjelaskan, “Mayat kering, bila embun turun bergeraklah dia. Kalau tak betul-betul (berani), lari kita. Kena jaga mayat tu, takut hilang (dilarikan musuh).”
Selepas 20 tahun berkhidmat, terakhir di unit MP, dia pencen pada 1991 dan membuka bengkel sebelum diambil alih oleh anaknya susulan kemalangan yang menyebabkannya hilang sebelah mata. Pingat PGB yang seharusnya menjadi lambang pengorbanannya hanya menambah luka.
“Susah selepas pencen,” katanya yang juga antara enam komando yang pernah dianugerahi PGB, hanya menikmati pencen RM425 sebulan yang tidak mencukupi untuk menampung keluarga, apatah lagi anak-anaknya masih bersekolah. “Pada 1983, barulah (penerima PGB) diberi elaun RM300 sebulan dan selepas bertahun-tahun, naik jadi RM1,500.”
Saat melihat pejuang seperti Mohd Ali yang terpaksa menahan ketar hanya untuk melangkah beberapa depa, dan perlu dipapah, hati ini bagai disiat-siat. “Tak apa. Boleh, saya boleh jalan,” katanya, cuba melangkah sendiri sebelum akhirnya mengalah dan duduk di buaian di depan anjung rumahnya. “Kalau tiada elaun PGB, memang tak cukup (belanja).”
Veteran tentera yang berusia lebih 60 tahun, menurutnya seolah semakin dipinggirkan. Rintihan kepayahan hidup yang dilalui, apatah lagi bagi anggota yang berpencen pangkat rendah terpaksa ditelan sendiri.
“Paling terasa orang tak menghargai kita. Kalau bercakap macam (sentuh) politik, tapi itulah hakikatnya,” katanya yang mengakui sambutan kemerdekaan yang bakal menjelang hanya menambah luka buat veteran sepertinya. “Hari Pahlawan pun tiada siapa yang mengingati kami.”
Masih, cinta terhadap nusa ini tidak pernah padam. Jelas saat dia membetulkan beret hijau miliknya yang dimamah usia namun masih disimpan dan dikenakan penuh bangga saat dirakam fotonya, ketara saat dia mengangkat tangan memberikan tabik hormat.
Soalnya, berapa saja yang benar peduli dengan pengorbanan pejuang sepertinya?
Kempen Pejuang Merdeka dilancarkan KHOM sebagai mengenang jasa serta pengorbanan para perwira negara dalam kalangan pesara tentera, bersesuaian dengan semangat Hari Kemerdekaan ini. Sumbangan, antaranya bagi menyediakan keperluan perubatan ini boleh dibuat ke no akaun 553010627607 (Maybank) atau 8603493305 (CIMB), atau layari laman khom.org,my untuk info.
Comments are closed.