“… bukan cinta tipu-tipu.” – Andmesh Kamaleng mentafsir cinta buat KL, esok
Julung kalinya, malam Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur yang bakal membuai rasa.

Oleh Zurina Waji | Foto Kharisma Music

“Saya tidak mahu hanya datang, nyanyi dan terus pulang kerana konsert itu harus memberi kesan. Kerana setiap perjalanan saya, bagi saya, bererti sekali.”

BUKAN masalah buat Andmesh sekiranya dia tidak begitu dikenali kerana baginya, apa yang paling diingininya adalah untuk karya-karyanya mendapat tempat dan mampu menyentuh banyak perasaan.

Sebab itu, kata penyanyi asal Indonesia ini, dia tidak mahu bertemu fans Malaysianya dengan hanya menyanyi dan pergi.

“Saya datang setelah saya sudah punya karya yang banyak, bukan cuma punya satu, dua lagu baru. Saya harus mempersiapkan konsert secara matang, saya punya konsert harus dengan penuh cerita, jadi betul-betul berkonsep.

“Saya tidak mahu hanya datang, nyanyi dan terus pulang kerana konsert itu harus memberi kesan. Kerana setiap perjalanan saya, bagi saya, bererti sekali. Saya ingin berkongsi (sebab) semua lagu yang saya tulis pasti ada ceritanya, semoga menginspirasi.” katanya pada pertemuan dengan media, sebelum ini.

Dianjurkan Kharisma Music, menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasasnya, Ahmad Jeffny, pihaknya berbesar hati membawakan Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur, iaitu yang pertama buat penyanyi berusia 25 tahun itu yang meledak lewat album Cinta Luar Biasa pada 2019.

Ia, jelasnya adalah satu kolaborasi yang cukup bermakna, antaranya dengan penampilan tiga penyanyi muda, iaitu Aisha Retno, Daniesh Suffian dan Arddley Nicholas sebagai pembuka malam konsert.

Cinta Luar Biasa, juga judul hitnya, dinobat lagu paling banyak distrim di Google Indonesia pada 2019. Ia turut mencatat lebih 300 juta tontonan bagi muzik video di laman rasminya, selain banyak dinyanyikan semula, termasuk oleh ahli grup popular KPop, NCT selain Datuk Siti Nurhaliza.

“… cinta yang ingin saya tampilkan nanti bukan cinta tipu-tipu. Bukan cinta yang sekadar kata, bukan cinta yang sekadar kita sampaikan untuk orang supaya… “

“Saya selalu merasa (audiens) Malaysia itu mendengarkan karya betul-betul dari ceritanya,” katanya, mengakui tidak menduga akan meraih perhatian daripada penggemar muzik tanahair, terutama selepas kelahiran hit Cinta Luar Biasa.

“Saya merasa (awalnya), ngakk mungkinlah. Jujur, saya tidak menyangka punya ramai pendengar di sini, tapi itulah harapan saya, agar karya-karya saya sampai walaupun tidak ramai yang kenal Andmesh itu siapa tapi setidak-tidaknya, karyanya,” kata Andmesh lagi.

Sudah memasang impian untuk menjejakkan kaki ke negara ini sejak kecil, penyanyi kelahiran Pulau Alor, Nusa Tenggara Timur itu mengakui persembahannya pada malam esok bukan sekadar konsert.

Ditanya apa yang ingin disampaikannya, jawapnya: “Cinta.”

Ditanya lagi, dia tidak lengah menjelaskan, “Cinta, bagi saya, tidak boleh dibuat-buat sama ada cinta buat keluarga, buat teman, cinta buat siapa pun. Jadi, cinta yang ingin saya tampilkan nanti bukan cinta tipu-tipu.

“Bukan cinta yang sekadar kata, bukan cinta yang sekadar kita sampaikan untuk orang supaya kita mendapatkan sesuatu dari orang tersebut. Ini benar-benar tidak dibuat-buat, seasli mungkin, cinta yang Andmesh kasi boleh sampai kepada semua orang.”

Diiringi band Kapala Batu, Andmesh bakal memperdengarkan sekitar 15 lagu, termasuk lagu-lagu ciptaannya untuk beberapa penyanyi terkenal Indonesia, buat pertama kalinya, sebagai kejutan buat fans Malaysianya, selain “memberi warna baru” dalam persembahannya.

Akses

  • 4 Jun 2023
  • Plenary Hall, Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

  • Tiket masih boleh didapatkan pada harga serendah RM288. Tiket kategori VVIP, bagaimanapun sudah habis dijual.
  • Dapatkan di andmesh.ubertickets.asia