Shila Amzah, Naim Daniel dan Asmidar Meriahkan Konsert Reimaginasi SOG
Gabungan unik post-hardcore Nusantara dan orkestra simfoni lewat konsert pada 17 Jun ini.
Oleh RUMI
“… konsert Reimaginasi SOG yang menawarkan, mungkin antara pengalaman pentas paling unik apabila muzik post-hardcore Nusantara bergabung dengan bunyian Orkestra Simfoni.”
RM80 saja. Itu harga tiket yang ditawarkan bagi konsert Reimaginasi SOG yang menawarkan, mungkin antara pengalaman pentas paling unik apabila muzik post-hardcore Nusantara bergabung dengan bunyian Orkestra Simfoni.
Dan mungkin juga, tiada yang boleh melakukannya lebih baik selain SOG, pemuzik yang bergabung di bawah akronim daripada nama Sekumpulan Orang Gila. Cukup gila, setidak-tidaknya, dalam kebolehan muzikal dan persembahan live yang dinamik, terutama bagi genre hardcore.
Reimaginasi yang bermaksud “olahan semula mengikut imaginasi” mendefinisikan konsep konsert SOG, kali ini.
Raja Nazrin Shah, pada posisi gitar dan vokal, menerusi kenyataan medianya, jelas gembira projek Reimaginasi dapat direalisasikan selepas beberapa kali tertangguh ekoran pandemik yang melanda dunia.
Ia, menurutnya didorong penerimaan luar biasa audiens konsert pertama mereka, hampir tujuh tahun lalu di UiTM Shah Alam yang diadakan dengan kerjasama Pengarah Muzik terkenal, Jennifer Thompson.
“Peminat tidak henti-henti bertanyakan tentang perancangan menganjurkan konsert yang lebih besar, maka lahirlah idea konsert Reimaginasi, di tempat yang lebih luas, dilengkapi sistem teknologi terkini dan kapasiti audiens lebih dua kali ganda,” katanya.
Lebih 20 lagu bakal diperdengarkan pada malam itu, semuanya ciptaan SOG, seawal EP pertama sehinggalah ke album Second Voyage dengan hampir semuanya menerima sentuhan Orkestra Simfoni, justeru diberi nafas serta jiwa baru.
SOG akan diiringi 30 pemuzik berpengalaman, daripada pemain alat muzik bertali, woodwind dan brass bagi menghasilkan bunyian epik kepada karya asal berentak post-hardcore, modern rock dan eksperimental dengan pengaruh Nusantara yang menjadi identiti mereka.
Juga dianggotai Riko Agus sebagai vokalis, Raja Nazmin Shah (dram), Amsyar Saiful (gitar), Abdul Qayyum (bass) dan MK Ridzuan (flute), SOG mula meraih perhatian arus perdana selepas merangkul trofi Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-36 menerusi lagu Pelukan Angkasa yang menampilkan Shila Amzah dan akan kembali bergabung di pentas Reimaginasi.
Selain Shila, konsert ini bakal dimeriahkan dengan kehadiran Naim Daniel dan Asmidar.
Diterbitkan oleh SOG dan pengurusan acara dengan kerjasama MK Ridzuan Entertainment, konsert ini dianjurkan menerusi dana MyCreative Ventures di bawah program Muzik Malaysia dan Dana Kandungan Digital Industri Muzik 2023.
“Kami sangat teruja untuk dapat mengadakan konsert ini dan memberikan persembahan terbaik kami buat peminat,” menurut kenyataan sama. “Jangan lepaskan peluang ini kerana ia pasti akan memberikan pengalaman yang akan dikenang oleh semua yang hadir.”
Akses
- 17 Jun 2023
- JioSpace, Petaling Jaya
- 8.30pm
Tiket
- RM80 (berdiri bebas)
- Layari www.esojimy.com atau hubungi +60195866771
- Untuk info terkini FB sekumpulanoranggila/ IG @wearesog/ Twitter @wearesog
Comments are closed.