Mantra Cinta Rizky Febian
Suara lunak dan charmingnya yang memberikan Kuala Lumpur momen yang tidak terlupakan.

Oleh Zurina Waji | Foto Der Ahmad Sharu

“DIA satu-satunya, selain K-Pop, yang mampu buat fans beratur seawal pagi,” bisik seorang teman, mengingati malam berlangsungnya satu konsert artis asal Indonesia, baru ini. “Semua sudah bertiket tapi sebab mahukan ruang paling depan pada konsert nanti.”

Jujur, Rizky Febian bikin ramai penasaran.

Bukan rahsia bahawa penyanyi berdarah Sunda ini merupakan putera sulung Sule, pelawak -pelakon terkenal Indonesia yang meraih nama, antaranya lewat komedi TV berkonsep wayang orang, Opera Van Java.
Tapi nyata, anak muda berusia 24 tahun ini bukan lagi remaja yang diperkenalkan menerusi single Sule, Papa Telepon pada 2012. Debut kemudiannya menerusi single, Kesempurnaan Cinta pada 2015, dia sepertimana yang diingininya, mengesahkan keberadaannya dalam dunia seni bukan semata kerana pertalian yang dimilikinya.

“Tidak pernah ada di fikiran saya bisa ada di titik ini,” ujarnya, sebak di balik senyuman yang dipamer buat 2,500 audiens yang memenuhi segenap ruang Zepp Kuala Lumpur pada malam Rizky Febian Live in Kuala Lumpur itu.

Rizky mengakui kaget mendengar bagaimana tiket konsertnya itu habis disambar fans dalam masa hanya sejam penjualan dibuka, akhir Ogos lalu. Seperti juga Shafik Jay, pengurus The Jay Events & Media yang menganjurkannya. “Tak, kami tak pernah menduganya,” katanya, dalam perbualan kami. “Gila, kan.”

“… memungkinkan Rizky Febian Live in Kuala Lumpur melakar konsert paling happening, tahun ini. Jelas dipengaruhi kegilaan fans, mahu tidak mahu, membuat anda untuk terus menggali.”

Getar suara Rizky pada pagi pertemuan dengan media pada paginya, mengesahkan debar yang menyelinap.

“Saya tidak mahu ketika perform saya (hanya) asyik sendiri,” katanya yang kadang membahasakan dirinya sebagai Iky, malah sempat gusar memikirkan, “Kalau saya bawain ini (lagu) orang tahu nggak.”

“Saya ingin melihat antusias orang Malaysia seperti apa, bukan hanya ingin berkonsert tapi ingin agar ketika orang Malaysia menonton saya bisa mendapatkan kesan, juga ketika pulang daripada konsert.

“Nanti malam saya ingin bahagia bersama, saya ingin melepas semuanya. Saya tidak mahu jaga imej, tidak mahu jadi orang yang diam terus. Ingin bisa lebih dekat dengan orang Malaysia,” tambahnya.

BEGINI RASANYA

ADA banyak cinta bertebaran, malam tu. Sebaik kemunculan Rizky, membuka tirai lewat Penantian Berharga, dia adalah vibrasi yang menyenangkan. Pesona, segak dalam persalinan klasik hitam putihnya dan dalamnya lesung pipit yang mengiringi senyuman, sukar untuk ditepis audiens.

Biar tidak banyak yang saya ketahui mengenainya sehinggalah selepas konsert, harus diakui saya amat menikmati momen di celahan fansnya, menyaksikan keghairahan mereka – menari dan melagukan keseluruhan bait 16 judul yang diberikan susunan baharu, tanpa lelah.

“Iky! Kahwin sama aku aja!” jerit seorang fans perempuan, berusia hampir lewat 20an, beberapa kali yang mengundang tawa teman-teman dan audiens berdekatan kala Mantra Cinta menghampiri sepertiga persembahannya yang memberikan pelbagai rasa – lucu, roman dan ghairah, berlarutan lewat judul seperti Hingga Tua Bersama, Makna Cinta dan Terlukis Indah, antaranya.

Responsifnya fans, saya kira adalah juga penyebab yang menghidupkan malam itu, sekali gus memungkinkan Rizky Febian Live in Kuala Lumpur melakar konsert paling happening, tahun ini. Jelas dipengaruhi kegilaan fans, mahu tidak mahu, membuat anda untuk terus menggali.

“… saya nggak tahu apa-apa. Saya nggak tahu cara bermuzik, saya nggak tahu menyanyi benar seperti apa. Saya tidak bersekolah muzik, saya bingung ketika Kesempurnaan Cinta naik. Saya tidak tahu mahu ngapain, bingung di dunia muzik itu seperti apa.”

Sebagai penyanyi, juga pencipta, kelembutan suaranya nyata mendamaikan. Dan dia berusaha keras, seperti malam itu, untuk berdiri sebagai Rizky Febian, bukan sebagai anak Sule. Seperti katanya, seawal album Jejak, dia “berusaha bikin muzik Rizky Febian. Saya konsisten di Cuek, Mantra, Makna Cinta, berusaha buat trademark untuk diri saya sendiri. Inilah muzik saya, muzik Iky dan berusaha bagaimana caranya untuk orang sedar muzik Rizky Febian seperti ini.”

Bukan mudah tentunya perjalanan yang ditempuhinya dan bukan kecil juga ertinya kejayaan diraih dalam tempoh singkat ini, antaranya sebagai Artis Terbaik Asia Indonesia pada Anugerah Muzik Mnet Asia (MAMA) 2020.

Pandemik sebaliknya memberi hikmah, antaranya pertemuan dengan beberapa pemuzik indie dan kolaborasi silang genre yang memantapkan kedudukan Rizky. Dan melihatnya live malam itu, saya teringat bagaimana dia menggambarkan album barunya yang bakal dihasilkan, “tidak bisa lepas daripada nada-nada Sunda tapi masih ala-ala Rizky Febian, tetap tentang cinta dan bagaimana melihat bahawa cinta itu universal.”

“Saya berusaha lepas daripada bayang-bayang orang tua. Saya lepas daripada nama ayah namun apabila ada yang bertanyakan ayah, saya juga senang kerana saya bisa seperti ini berkat daripada orang tua juga.”

KESEMPURNAAN CINTA

JAUH daripada kesempurnaan, tentunya, perjalanan Rizky masih panjang namun itu tidak menafikan ia akan jadi indah pada waktunya. Sepertimana pertemuan pada paginya dan merasai kenaifan sama yang masih bersisa pada malamnya dilihat sebagai ketulusan yang didambakan penggemar.

Jadi teringat lagi katanya, “Kali pertama di dunia muzik, saya nggak tahu apa-apa. Saya nggak tahu cara bermuzik, saya nggak tahu menyanyi benar seperti apa. Saya tidak bersekolah muzik, saya bingung ketika Kesempurnaan Cinta naik. Saya tidak tahu mahu ngapain, bingung di dunia muzik itu seperti apa.

“Salah satu musisi yang mendukung, Almarhum Glen (Fredly), juga Sandhy Sandhoro, Tompi. Mereka mendukung saat Iky nggak tahu, hilang arah saat mahu ke dunia muzik tapi mereka menanggapi Iky, berkonsisten, bagaimana caranya bermuzik, menyampaikan sebuah lagu, malah ada beberapa pemuzik senior yang sampai detik ini tetap menyokong seperti Marcell.

“Bagaimana caranya tetap bertahan di dunia muzik dan yang diambil pelajaran daripada mereka itu bukan hanya bermuziknya atau bagaimana caranya bernyanyi, main pentas, tapi bagaimana beratttitude dalam bermuzik, berattitude sama pemuzik kerana sama saja, kita bekerja menghiburkan orang.”

Para penggemarnya, saya kira, juga suka melihat bagaimana Rizky tidak menyembunyikan sisi sensitifnya.

“Orangnya sedih, cepat terharu,” katanya, ketawa pada pertemuan, sebelumnya. “Nanti kita lihat di sana (malam konsert) seperti apa.” Itu dirasai saat dia mengungkap kerinduan pada sang bonda, Allahyarhamah Lina Jubaedah yang meninggal, dua tahun lalu dan tidak berkesempatan menontonya dalam konsert seumpama ini.

Masih, bukan hanya keterbukaan fans yang tentunya menjadikan ia malam yang indah kerana Rizky Febian Live in Kuala Lumpur juga membawa sang ayah dan adik-adiknya menyaksikan konsertnya, buat pertama kali. Sempat mengumumkan keberadaan keluarganya, malam itu, diburu rasa terharu, dia menyeka air mata dalam pernyataan cintanya terhadap bapanya.

“Saya berusaha lepas daripada bayang-bayang orang tua,” katanya, memetik pertemuan awal kami. “Saya lepas daripada nama ayah namun apabila ada yang bertanyakan ayah, saya juga senang kerana saya bisa seperti ini berkat daripada orang tua juga.”

Pasca konsert, dia mengungkapkan bagaimana ia “merupakan perjalanannya yang tidak akan dilupakannya.” Dan wajar pun Kuala Lumpur akan selamanya ada tempat yang istimewa di hati Rizky Febian.