Malam Faztival Fazura 2022 Bertakhta di Hati
Dan buat fans, Fazura sudah melunaskan janjinya, iaitu membuat mereka rasa dihargai.
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
“… meneruskan kekaguman pada energetiknya Ella yang membawakan Dua Insan Bercinta, medley Sembilu dan Retak, dan Kesal, bergaya dengan top inspirasi swinging 60s dan status Ratu Rock yang tidak tergugat.”
AHMAD Band membawa saya ke sini. Jelas, saya bukan Besties namun sebagai permulaan, penampakan supergroup yang dibangunkan Ahmad Dhani, frontman Dewa 19, yang menghimpunkan antara pemuzik handalan Indonesia ini cukup untuk menambat keterujaan.
Ini ditambah dengan kehangatan yang ditinggalkan Dewa 19, selang dua malam sebelumnya.
Iaitu, sebuah malam nostalgia walaupun mungkin seharusnya bisa lebih magikal, menerusi Anniversary Tour 30 Years of Dewa 19 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang membawa band asal Surabaya ini kembali ke Kuala Lumpur selepas konsert terakhir mereka di Stadium Malawati, Shah Alam, dan tanpa Dhani, tiga tahun lalu.
Ahmad Band bukan semata kerana antem Aku Cinta Kau Dan Dia, tapi juga sosok seperti Thomas Ramdhan, pemain bass Gigi hingga Ikmal Tobing yang bermain dram, dan gitaris, Stephan Santoso, dan Andra Ramadhan daripada Dewa 19, selain Dhani sebagai vokalis.
Juga kerana ia melakar momen yang mungkin tidak berulang buat band projek itu yang diperkenalkan menerusi satu-satunya album, Ideologi Sikap Otak pada 1998, dan hanya baru ini bermain secara live di Kuala Lumpur.
Biar hanya enam lagu, Ahmad Band masih satu persembahan yang memenuhi keinginan, terutama kala disko Distorsi yang kuat bau kritikan politiknya membakar panggung berneon merah sebelum dihambat Bidadari Kesunyian dengan lagu klasik Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Madu Tiga daripada album solo Dhani, Muhammad Dhani & The Swinger menutup Faztival Fazura 2022.
Fazura, justeru harus diberi penghargaan kerana demi melunaskan “hasrat untuk membuat persembahan bersama rakan-rakan seni yang amat saya kagumi di bawah satu acara yang gilang gemilang”, merealisasikan malam yang lama diimpikan itu, akhirnya.
“Kerana ia momen Fazura dan fans. Dan kenyataan bahawa konsert tiga jam itu diatur sebagai memberi balik kepada mereka yang setia… “
Diuruskan Icon Entertainment, aktres dan penyanyi yang sedang rancak membangunkan jenama tudung dan kecantikannya itu mempertemukan nama-nama besar, termasuk Datuk M Nasir dan Datuk Awie; juga Mulan Jameela, selain Ahmad Band dalam senarai artis Indonesianya.
Tirai malam yang dibuka M Nasir lewat Suatu Masa bagi menzahirkan tribute Fazura buat Allahyarham bapanya, Sharifuddin Adnan, meneruskan kekaguman pada energetiknya Ella yang membawakan Dua Insan Bercinta, medley Sembilu dan Retak, dan Kesal, bergaya dengan top inspirasi swinging 60s dan status Ratu Rock yang tidak tergugat.
Sempat terkuap seketika menyaksikan Zizi Kirana selepas melihat Ippo Hafiz tampil sebagai underdog yang mencuit audiens dengan untaian lagu runut bunyi drama popular tanahair selain Amir Masid, sebelumnya terima kasih kepada Ruffedge yang membuat banyak kaki kembali melonjak, terutama lewat Khayalan yang masih mengkhayalkan sejak diperkenalkan 18 tahun lalu.
Mulan, seperti diduga memberikan Makhluk Tuhan Paling Seksi, antaranya dan selepas kali terakhir menyaksikannya semasa dia masih sebagai duo, Ratu dengan rambut merah jambunya, bertahun-tahun dulu, bagai memberi kefahaman tentang penghibur dalam erti kata sebenar.
Fazura, terdahulu turut menghadiahi audiens pada malam yang dianjurkan sebagai penghargaan buat penggemarnya, juga para stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang menjulang jenama Fazura, menerusi beberapa medleynya sebelum Dhani muncul mengiringi dengan gitar buat Jika Cinta Allah.
Ia tanpa mengharapkan kesempurnaan malam yang turut disaji kemunculan seketika aktor dan suami, Fattah Amin yang disorak hampir 8,000 audiens dan pelancaran minuman, Fazura Beauty Water serta pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi dua rekod baharu, The Largest Tudung Fazura Gathering in an Event dan The Largest Tudung Bawal in Malaysia.
Kerana ia momen Fazura dan fans. Dan kenyataan bahawa konsert tiga jam itu diatur sebagai memberi balik kepada mereka yang setia kepada selebriti-usahawan dikagumi ini yang menghampiri hari ulang tahunnya yang ke-39 buat mereka bahagia… mengapa tidak.
Comments are closed.