“Atok… macam mana kita nak masuk syurga?” – Aidil & Atok
Filem pendek terbaharu arahan Fauziah Datuk Ahmad Daud yang menyentuh rasa.
Oleh Zurina Waji
“Ia gambaran betapa indahnya Islam yang sepatutnya menjadi amalan hidup kita semua secara sederhana.”
Aidil & Atok bikin sebak, petang itu. Sang sutradara nyata senang kerana ia, antara lain mengesahkan kekuatan gandingan seniman, Zaidi Omar, 64, dengan pelakon kanak-kanak, Aiman Badrul yang berusia sembilan tahun menerusi filem pendek yang berdurasi 15 minit itu.
“Saya yang mahukan Zaidi Omar untuk watak Atok,” kata Fauziah, pelakon terkenal yang makin selesa duduk di kerusi pengarah. “Dia salah seorang pelakon yang saya kagumi kerana penjiwaannya bila berlakon.”
Digarap daripada cerita tulisan Slen Fadzil, filem mengenai wakaf pembangunan masjid yang dihasilkan untuk Yayasan Amirul Ummah itu diambil daripada sudut pandangan anak kecil bernama Aidil, lakonan Aiman sebagai cucu kepada Atok yang dibawa Zaidi.
Ia mengisahkan Aidil yang mengumpul duit belanja sekolah pemberian datuknya untuk diwakafkan ke masjid, sebagai saham buat ibu bapanya yang sudah meninggal dunia. Cerita diselit elemen kasih sayang dan kekeluargaan, serta pembentukan akhlak murni seawal usia kecil.
“Ia gambaran betapa indahnya Islam yang sepatutnya menjadi amalan hidup kita semua secara sederhana,” katanya pada pratonton Aidil & Atok di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Ulu Klang, baru ini bersempena pelancaran siri terbaharu program kebajikan Yayasan Ammirul Ummah untuk pembangunan serta kemakmuran Islamiah di Malaysia serta negara serantau.
“… kena bagi mereka faham apa sebenarnya adegan itu, kenapa dialog itu ditulis begitu. Sebaik dapat memberi kefahaman itu, ia memberi rasa yang jujur. Berlakon dengan budak bukan mudah.”
Majlis dihadiri, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim; Pengarah Yayasan Ammirul Ummah, Mohd Kamal Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif, Fatijja TV, Ibrahim Ridhwan Ismail, dan ulama serta tokoh ilmuwan, Senator Datuk Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Datuk Dr Fadzillah Kamsah.
Kini cenderung menghasilkan karya berbentuk Islamik, ini adalah filem pendek kedua Fauziah bersama Yayasan Ammirul Ummah selepas Iqra sebagai terjemahannya terhadap maksud berwakaf Al-Quran.
Seni menjadi medium bagi menyalurkan mesej dan dakwah, sesuai perlantikannya sebagai Premier Volunteer untuk yayasan itu.
Senang bekerja dengan pelakon berpengalaman seperti Zaidi, akuinya, Aidil & Atok masih memberikan cabaran kerana bintangnya adalah kanak-kanak, di samping penghasilan filem pendek itu sendiri yang lebih sukar berbanding filem cereka.
“Seperti pelakon kanak-kanak dalam Aidil & Atok, kita kena bagi mereka faham,” katanya, merujuk Aiman, selain seorang lagi pelakon kanak-kanaknya, Alexander Zulkarnain. “Ia cabaran untuk kami juga, sebab kena bagi mereka faham apa sebenarnya adegan itu, kenapa dialog itu ditulis begitu.
“Sebaik dapat memberi kefahaman itu, ia memberi rasa yang jujur. Berlakon dengan budak bukan mudah.”
Pelawaan ke lokasi penggambaran di Kuang, sebelum ini memberi peluang untuk melihat Fauziah berkarya di belakang kamera. Biar dengan reputasi digeruni pendatang baharu, sebagai sutradara setnya boleh diibaratkan antara sekolah terbaik.
Sebagaimana dia tidak menyembunyikan kekagumannya terhadap pelakon sehebat Zaidi, hatta pelakon sekecil Aiman pun dihormati, malah tidak kedekut ilmu dalam memberi pemahaman demi mendapatkan lakonan yang jujur.
Kerana pernah berlakon sama, menerusi drama Adik Kakak di TV3, Aiman yang harus bersabar dalam memuaskan sutradaranya, mengakui tidak kekok untuk diarah Fauziah yang disapanya Aunty Ogy.
Dan biar pun ini kali pertamanya digandingkan dengan Zaidi, dia biasa melihat pelakon itu di TV.
“Aunty Ogy mengarah memang best, tapi penat sikitlah,” katanya, tanpa selindung.
Ditanya apa yang paling susah buatnya, dia mengundang tawa apabila dengan sedikit pelat, katanya, “Part yang paling susah di masjid sebab masa tu panas. Pagi pula tu, mata Aiman cepetlah. Lepas tu kena buat muka (raut) lagi. Panas tu. Aduh! Panas.”
Kali pertama dipertontonkan Aidil & Atok yang sudah mula bersiaran di YouTube Fatijja TV, Aiman nyata bangga dapat bergandingan dengan pelakon seperti Zaidi yang disebutnya sebagai “orang paling hebat.”
Biar pun mungkin tidak begitu memahami bagaimana menterjemah perasaan pada usia semuda ini, dia mengakui kesedihan yang menyapa kala menonton kembali babak Aidil membawa Atok ke masjid untuk membawa tabung.
Jujur melontarkan bait, “Kalau rumah mak dengan ayah kat syurga dah siap, nanti atok tinggal sekali dengan kita semua tau” padanlah mengapa Aidil & Atok membuat audiensnya menyeka air mata.
Comments are closed.