Hetty Koes Endang, Berdiri Mak Bulu Romaku!
Bikin dag dig dug menanti malam Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang di Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Oleh Zurina Waji | Foto Din
“Siapakah yang menjadikan sosok Hetty Koes Madewi menjadi Hetty Koes Endang? Almarhumah ibu, Raden Siti Koerniwulan, ibunda tercinta Bunda.”
SOEHARTO, seorang Jeneral tentera, belum lama dilantik Presiden ke-2 Indonesia semasa seorang gadis bermata bundar yang baru berusia 14 tahun perlahan menongkah laluan seni dengan suaranya.
Masa berlalu, republik dengan rakyat hampir mencecah 274 juta itu kini ditadbir Joko Widodo yang diteriak Jokowi sebagai Presiden ketujuhnya. Dan si mata bundar, pada keraian ke-52 tahunnya sebagai anak seni yang dikenali sebagai Hetty Koes Endang itu masih satu sosok yang menakjubkan.
Bersua di Kuala Lumpur menjelang konsertnya, saya menikmati momen bersama pelantun keroncong Kasih yang dikagumi ini. Sukar untuk tidak mengagumi bintang ini dengan perjalanan seninya yang melebihi umur saya sendiri.
Santai dalam perbualan yang sering mengundang tawa, usia 65 tahunnya nyata tidak sedikit pun mengurangi pesonanya.
“Bunda bersyukur kepada Yang Maha Kuasa. Yang Maha Besar, Yang Maha Pemberi segala-galanya. Kita ini sebagai umat, sebagai hambaNya,” kata penyanyi dengan nama sebenar Hetty Koes Madewi ini mengenai kerjayanya yang melewati setengah abad itu.
Selesa kini membahasakan dirinya Bunda, katanya, “Hetty Koes Endang ini manusia biasa tapi mungkin diberikan Allah sesuatu anugerah, iaitu lewat suara dengan bisa menyanyi dan tentunya harus ada yang mengasah, mengarah dan menjadikan.
“Siapakah yang menjadikan sosok Hetty Koes Madewi menjadi Hetty Koes Endang? Almarhumah ibu, Raden Siti Koerniwulan, ibunda tercinta Bunda. Beliaulah yang menjadikan Bunda seorang penyanyi, dari dulu sampai Almarhumah tiada.”
Perkahwinannya dengan Yusuf Emir Faishal pada 1991 menyaksikan penyanyi yang juga pelakon itu berhijrah ke Malaysia. Lima tahun itu, di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, dia melihat dirinya, “Bukan lagi penyanyi tapi surirumahtangga yang masih bisa menyanyi.”
Nafasnya dihela seketika lalu menyambung, “Kenapa masih boleh menyanyi dan exists? Kerana biarpun tinggal di Malaysia, Bunda masih boleh mengembangkan karier dengan izin suami. Justeru tinggal di Malaysialah, Bunda ke antarabangsa.”
“Jangan kita terpaku dengan ‘saya di dunia nyanyian sudah 10 tahun”, misalnya atau “saya sudah (hebat) sebagai artis.’ Oh! Tidak. Kalau lima, 10 tahun itu mengikut ukuran Bunda masih belum apa-apa.”
Selain Malaysia, beliau turut mengembangkan namanya ke Shanghai, China; Tokyo, Jepun dan Vietnam. Biar pun dengan kehadiran anak sulung, Ameer Mahmed pada 1993, perjalanan seninya tidak berhenti.
“Bunda sudah di bidang nyanyian, tentu kita harus serius, harus komit walau dengan apa pun dan mencintainya. Jangan kita ini sebagai penyanyi, malah profesi apa pun, jangan asal-asal, jangan selewat. Jangan!
“Kalau kita cintai betul-betul profesi itu, cintai dengan sepenuh jiwa dan raga. Bunda selalu bilang yang susah adalah mempertahankan, itu yang susah. Jadi artis, kita harus melihat alur generasi ini ke mana.
“Jangan kita terpaku dengan ‘saya di dunia nyanyian sudah 10 tahun”, misalnya atau “saya sudah (hebat) sebagai artis.’ Oh! Tidak. Kalau lima, 10 tahun itu mengikut ukuran Bunda masih belum apa-apa. Kerana perjalanan masih panjang,” katanya.
Jun lalu, beliau dianugerahi Artis Penyanyi Wanita Dengan Jumlah Rakaman Lagu Komersial Terbanyak oleh Museum Rekor Indonesia (MURI) dengan rekod merakam 150 album, antaranya Pop Melayu, Pop Sunda dan Dangdut membabitkan 1,690 lagu seperti Sorga dan Neraka, Demi Cinta Ni… Ye, dan Dingin, selain Merinding Bulu Romaku yang malar segar.
Ibunya mungkin berperanan membina namanya dalam dunia seni, namun akui Hetty, bakat nyanyiannya diwarisi daripada ayahnya, Raden Endang Umar, seorang tentera.
“Dan kerana ayah tentera dengan Angkatan Udara, kita ini sering berpindah randah. Jadi, waktu kecil ke mana saja, ke Padang, ke Acheh, ke Sulawesi kerana mengikut ayah bertugas di mana,” katanya.
Ditanya mengenai ibunya, matanya bercahaya menceritakan, “Ibu saya penari, dia suka menari. Ya, turunnya (bakat) Bunda daripada ayah, tapi kita ini berjiwa seni. Kita keluarga seni.”
Saya mencelah mengenai Sunda yang sememangnya terkenal dengan suara dan tariannya, dan Hetty mengangguk. “Iya, sinden. Ciri khas Sunda. Bunda juga sinden, masih bisa,” katanya lagi, merujuk penyanyi wanita pada seni gamelan atau dalam pertunjukkan wayang golek dan kulit.
Hetty pertama kali bersaing di peringkat antarabangsa, iaitu Festival Lagu Popular Dunia di Nippon Budokan Hall, Tokyo pada 1977 dan membuat Indonesia bangga apabila lagu duetnya dan Ajie Bandy, Damai Tapi Gersang mencatat kejuaraan sulung buat negaranya.
Ikut kompetisi kemudiannya di Chile pada 1983, senyumnya makin lebar bercerita, “Bunda menyanyikan lagu Sayang ciptaan Titiek Hamzah dan dinobat Penyanyi Terbaik. Dan di Chile itu, Bunda mengalahkan Earth, Wind and Fire.”
“Jadilah karekter yang sederhana. Jangan bersandiwara kerana panggung itu adalah panggung sandiwara. Betul? Kita haha, kita hehe, kita hoho.”
JUBLI EMAS, ANTARA IMPIAN DAN MUNGKIN TERAKHIR
PERBUALAN kami sebetulnya beberapa kali terhenti apabila beberapa peminat menghampiri, minta untuk berfoto sama. “Ayuh! Cepat-cepat,” katanya, enggan menghampakan. “Bunda ada interviu ini. Sambil-sambil ya.”
Tanpa rungutan, beliau melayani setiap yang menghampiri malah sempat mempromosi konsertnya. “Datang ya, tanggal 27 Agustus nanti. Sudah fotonya, pergi beli tiketnya,” katanya, mengundang tawa ramai.
Ditanya apa yang menyebabkan kehancuran seseorang artis, jawabnya, “Bunda ini, dari dulu selalu dinasihati agar menjadi manusia yang merendah diri. Hargailah fans kamu kerana tiada ertinya kita sebagai artis kalau kita sombong kepada fans.
“Bunda, orangnya gak macam-macam. Bunda apa adanya, tidak terlalu dibuat-buat, harus ada PA (pembantu peribadi) tujuh orang. No! No! Nggak, Bunda gak bisa! Bunda capek kerana itu sudah bukan masanya.”
“Jadilah karekter yang sederhana. Jangan bersandiwara kerana panggung itu adalah panggung sandiwara. Betul?” katanya, ketawa sebelum menyambung, “Kita haha, kita hehe, kita hoho. Semua senilah, seni nyanyi, filem malah politik, semua panggung itu adalah sandiwara dan cuma sesaat. Jadi, kalau mahu bertahan kita harus layan semua tapi harus ada ruangnya.”
Kunci keupayaannya bertahan 52 tahun dan kekal relevan dalam dunia seni, akuinya adalah berpegang pada nasihat ibu yang juga merupakan pengurusnya, dulu sebelum ketaatannya diberikan kepada suami.
“Imam kita, isteri adalah suami. Kita ikut apa yang boleh, apa yang tidak dibolehkan. InsyaAllah, 31 tahun (perkahwinan) bertahan biarpun ada gejolaknya. Ameer sudah 29 tahun, dan kini pengurus Bunda. Afifah, anak bongsu adalah stylist dan jurusolek peribadi Bunda, famili semuanya,” katanya.
Itu, akuinya menjadi kekuatan buatnya. “Bunda, orangnya gak macam-macam. Bunda apa adanya, tidak terlalu dibuat-buat, harus ada PA (pembantu peribadi) tujuh orang. No! No! Nggak, Bunda gak bisa! Bunda capek kerana itu sudah bukan masanya.
“Masa itu sudah Bunda lewati. Mungkin yang muda-muda (artis) perlu tapi akhirnya kamu akan sendiri, berdua bersama famili. Jadi bagusnya kamu bersama famili kerana banyak rahsia-rahsia hanya famili yang bisa simpan rahsia kita,” katanya, separa berbisik sambil tertawa.
Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang anjuranMahajaya Empire Sdn Bhd memang diimpikannya.
“Ini impian Bunda ingin buat konsert, bukan 35 tahun, bukan 15 tahun tapi selepas Jubli Perak yang ke-25 tahun, langsung Jubli Emas tercapai. Mungkin Allah sudah berikan jalan, Bunda ingin bikin konsert dan kemudian ketemu orang yang mahu membuatnya.”
Berdurasi selama 120 minit, Hetty bakal membawakan 15 hitsnya pada konsert berkonsep makan malam di Berjaya Times Square Hotel itu, selain tribute buat komposer, Datuk Ahmad Nawab dan penyanyi legenda, mendiang Broery Marantika.
Sempat dia berseloroh, “Tentu tidak bisa dibawa semua 150 album, tiga hari tiga malam gak kan selesai.”
Ditanya mengapa dua sosok itu, beliau berkata, “Broery sudah dicintai Malaysia, tambahan kami sebaya. Bunda juga suka Broery, lagu-lagunya. Datuk Ahmad pula salah satu sosok sangat ternama di Malaysia dan lagu-lagunya ada juga Bunda nyanyikan, antaranya Cintaku Sehebat Rinduku.
Nada Hetty sedikit berubah, memberitahu konsert Jubli Emas ini mungkin menjadi konsert awam terakhirnya.
“Habis 50 tahun apa sih? Seratus?” katanya, ketawa jelas lucu sendiri. “Alhamdulillah, moga-moga sihat. Ini mungkin (konsert) terakhir kerana mahu fokus pada cucu-cucu. Bunda ingin betul-betul bermesra, mengurus mereka. Jika ada pun lebih pada kebajikan, pada rakan-rakan seniman yang mungkin kurang beruntung berbanding Bunda, seperti daripada segi kesihatannya. Dan tentunya sebagai seniman, ingin berbagilah.”
Ditanya apakah ada kemungkinan beliau menyertai politik, selepas ini, cepat dia menggelengkan kepala. “Tidak, Bunda tidak main (politik) kerana yang berpolitik kan Bapak (suami).
“Buat Bunda sudah lewat masanya walaupun banyak permintaan tapi nggaklah. Menyanyi saja, InsyaAllah sampai meninggal,” katanya, senyum. “Sampai masyarakat bosan, saya tidak akan berhenti sampailah orang bosan.”
Comments are closed.