Dari Awie, Ella ke Ahmad Band, Faztival Fazura 2022 Bawa Kejutan
Bakal berlangsung pada 11 September ini, konsert dipersembahkan Fazura, khas buat peminat.

Oleh Rumi | Foto Syazwan Nizam Moni

“SUDAH lama saya menyimpan hasrat ini,” kata bintang sensasi, Fazura yang bakal sepanggung dengan nama-nama besar dunia muzik tanahair sempena konsert yang digelar Faztival Fazura 2022 itu.

Dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, konsert yang julung kali diadakan itu bukan sekadar memenuhi hasrat untuknya beraksi di pentas, malah turut menghimpunkan penyanyi serta kumpulan muzik terkemuka kegemarannya.

“Konsert ini bakal ditunjangi dua penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Band yang diketuai Ahmad Dhani bersama isteri, Mulan Jameela,” kata Fazura, berkongsi keterujaan malam konsert yang turut menampilkan Datuk M Nasir, selain Awie dan Ella.

Ikut disenarai membuat persembahan ialah kumpulan Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi pada malam yang dijanjikan akan ditampilkan dengan beberapa “kejutan istimewa” yang memungkinkan Faztival Fazura dijadikan sebagai konsert tahunan.

“Alhamdulillah, Faz bersyukur kerana konsert ini akhirnya dapat juga direalisasikan kerana sudah lama menyimpan hasrat untuk membuat persembahan bersama rakan-rakan seni yang amat saya kagumi di bawah satu acara yang gilang gemilang,” katanya pada sidang media Faztival Fazura 2022 di Kuala Lumpur, baru ini.

Sambil menyifatkan harga tiket konsert yang “mampu milik”, sesuai dengan #miliksemua yang sinonim dengan jenama Fazura, malam yang diuruskan Icon Entertainment itu, menurutnya adalah keraian buat peminat setia yang sentiasa menyokong kerjayanya, kini dengan pengukuhan jenama Fazura seperti melalui hijab Tudung Fazura, penjagaan kulit Fazura Skincare, dan rangkaian fesyen serta aksesori Fazbulous.

Juga sebagai penghargaan kepada para stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang ikut menjulang produk jenama Fazura dan merupakan nadi dalam menggerakkan program Fazura Rewards yang membolehkan pelbagai barangan eksklusif ditebus menggunakan mata ganjaran yang dikumpul.

Akses

  • 11 September 2022
  • Axiata Arena, Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

  • RM147
  • Tiket bakal dijual pada 19 Ogos 2022

Layari www.ticket2u.com.my atau WhatsApp hotline: 019-9919055