Enigma Kuda Kepang Tarikan Cahaya 004 – Kitab Basah
Didatangkan daripada Parit Raja, persembahan tarian tradisional tiupi semangat acara instalasi cahaya dan seni Publika, Kuala Lumpur.
Oleh Rumi | Foto PUSAKA
“… untuk mengekalkan warisan tradisi, sejarah dan budaya tempatan melalui tafsiran sonik dan visual kami sebagai cara menarik perhatian anak muda…” – TAUFIQ KAMAL
“Tonton dengan hati dan minda yang terbuka,” kata Zulamran Hilmi, kurator acara daripada agensi kreatif, 33.3 mengenai persembahan Kuda Kepang yang bakal berlangsung di Black Box Publika, Kuala Lumpur pada 18 Disember ini.
Dianjurkan Senilab dan 33.3 dengan kolaborasi Pusaka dan Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja sempena pertunjukkan CAHAYA 004 – KITAB BASAH, ia bagi meneroka serta mengeksplorasi konsep cahaya untuk memahami hubungkait di antara kesenian moden dan tradisional.
Ia merupakan kesinambungan persembahan bersiri CAHAYA anjuran Senilab yang menurut wakilnya, Taufiq Kamal, dengan misi utama edisi keempatnya itu “untuk mengekalkan warisan tradisi, sejarah dan budaya tempatan melalui tafsiran sonik dan visual kami sebagai cara menarik perhatian anak muda agar lebih prihatin terhadap kepelbagaian budaya yang kaya di Malaysia, terutamanya amalan seni yang semakin dilupakan.”
Dalam konteks persembahan, menurut siaran akhbarnya, CAHAYA 004 – KITAB BASAH ingin menonjolkan tarikan enigma Kuda Kepang yang mewakili kekuatan, ketangkasan dan keanggunan menerusi pergerakan tarian yang ditonjolkan penarinya.
Acara ini yang akan dimeriahkan dengan persembahan tiga DJ berbakat daripada Kuala Lumpur, iaitu Taufiq, Zulamran dan Shfq, disokong oleh MyCreative Ventures, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kewangan melalui inisiatif PENJANA.
Acara ini, jelas Zulamran direka secara spesifik agar dapat dihayati dan diselami penontonnya, “seperti penari Kuda Kepang yang bagaikan disentuh oleh isim atau semangat lain ketika mereka menari, penonton juga perlu membuka hati dan minda mereka kepada perubahan yang mungkin dirasakan selepas menonton persembahan ini.”
“… kerana kehadiran dunia ghaib hanya dapat disahkan jika ianya adapt dilihat melalui mata kita sendiri.” – PAULINE FAN
Pauline Fan daripada Pusaka, menyatakan persembahan Kuda Kepang itu akan meneroka dunia ghaib kerana pengalaman itu seakan-akan pengembaraan singkat ke dunia kayangan yang sering diperkatakan di dalam mitos, imaginasi dan mimpi kita.
Seraya menekankan peranan penting penonton, “kerana kehadiran dunia ghaib hanya dapat disahkan jika ianya adapt dilihat melalui mata kita sendiri,” dia kembali menduga dengan persoalan, “Alam apa yang kita saksikan ketika menonton tarian Kuda Kepang?
“Adakah ianya alam nyata atau tidak nyata atau alam pertengahan yang menghubungkan kedua-duanya sekali? Penceritaan kami ini mengalir seakan air, dan dibentuk mengikut pemahaman subjektif sesiapa yang menontonnya. Itulah sebab kenapa persembahan ini dinamakan KITAB BASAH.”
Info
Apa CAHAYA 004 – KITAB BASAH
Mana G3, West Entrance Black Bridge, Publika, Kuala Lumpur
Bila 19 – 31 Disember 2021
Tiket Masuk adalah percuma
www.projectcahaya.com
Comments are closed.