Nilai Kesopanan dan Kesusilaan Gen Z Rapuh, Nurflix.TV Lahirkan Nurkids & Turath
Demi pembangunan dan perkembangan kanak-kanak dan remaja serta ilmu kitab pengajian

Oleh Rumi

“Bukan hanya sitkom kekeluargaan, program malah meliputi drama super hero, game show sampailah hafazan Al-Quran. ”

BAYT Al Habib. Itu antara program yang diterbitkan di bawah Nurkids yang ditawarkan Nurflix.TV, penyedia penstriman TV dalam talian pertama patuh syariah yang dijadual mula bersiaran menjelang Januari 2021.

Bukan hanya sitkom kekeluargaan, program malah meliputi drama super hero, game show sampailah hafazan Al-Quran.

Sasaran audiens? Di bawah 15 tahun.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix.TV, Syah Mohamed, berkata Nurkids dilahirkan bagi menyediakan kandungan yang antara lain, mampu membentuk sahsiah terpuji dalam kalangan generasi muda.

“… mampu membina jati diri, mempelajari sifat kepimpinan diri, membentuk sahsiah terpuji serta membina ukhwah yang baik dan sejati.” – SYAH MOHAMED

Nurkids sendiri, menurut kenyataan medianya, tercetus berikutan kebimbangan terhadap perkembangan semasa yang memperlihatkan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan yang semakin rapuh dan menipis dalam golongan itu.

“Kami berharap program-program yang ditawarkan di Nurkids akan mampu membina jati diri, mempelajari sifat kepimpinan diri, membentuk sahsiah terpuji serta membina ukhwah yang baik dan sejati,” katanya.

Selain Bayt Al Habib, siaran media yang diedarkan pada majlis pelancaran Nurkids, baru ini menyebut antara program yang disediakan ialah Class + iaitu sebuah sitkom akademik, Pendekar Cilik (drama), My Friend, The Qari (bacaan dan hafazan Al-Quran) dan Bismillah, Go (game show).

Juga diumumkan, pelancaran program Turath yang fokus kepada pengajian kitab tradisional.

Bagaimanapun, Syah menjelaskan program berkenaan menampilkan pendekatan berbeza iaitu menggunakan modul ‘learn and understand by viewing’ dengan meneroka bahan-bahan serta kandungan yang segar.

“Progam Turath adalah suatu platform alternatif untuk generasi muda ini mendapat manfaat, di samping meluangkan masa begitu saja dengan peranti telefon bimbit mereka,” tambahnya.

Pada majlis sama, Nurflix.TV turut menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Iskandar Malaysia Studios (IMS) dan Amazon Web Services (AWS).

Jalinan kerjasama itu adalah sebagai usaha Nurflix.TV untuk membina platform yang dapat membangunkan kandungan digital yang sopan namun pada masa sama, masih menitik beratkan mutu setaraf antarabangsa.

Pengerusi Nurflix.TV, Datuk Sri Syed Zainal Abidin yang menyaksikan majlis menandatangani MoU itu, berharap agensi kerajaan dan swasta  memberi sokongan dan dukungan bagi memastikan inisiatif itu dapat mencapai matlamatnya.

“Nurflix dibangunkan untuk generasi akan datang dengan usaha dan gabungan generasi hari ini. Secara tidak langsung, ia memberi banyak peluang pekerjaan dan penjanaan ekonomi industri media, selain pembelajaran.

“Inisiatif gabungan dengan ekosistem ini adalah yang pertama di dunia seumpamanya,” jelasnya.

Majlis menandatangani  MoU itu disempurnakan Syah yang mewakili Nurflix.TV bersama  UiTM yang diwakili Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen; Ketua Pegawai Eksekutif IMS, Rashid Karim dan Pengurus Kanan Akaun AWS, Suaid Ishak.

UiTM dilihat berupaya menawarkan sudut tenaga dan kepakaran dalam pelbagai bidang penerbitan kandungan, selain IMS melalui penggunaan teknologi dan infrastruktur yang dimiliki serta diperakui bertaraf antarabangsa dan AWS yang bertumpu kepada penyediaan teknologi platform Nurflix.TV supaya mampu berfungsi semaksimumnya.

Info lanjut sila layari www.nurflix.tv