“Beli susu anak atau sekeluarga kelaparan?” – Dilema ibu saat PKP
Oleh Jamil Mohamad
“Sukar untuk saya bayangkan perasaan seorang ibu yang hanya mampu mengalirkan air mata apabila anaknya terputus bekalan susu… ”
KASIH ibu membawa ke syurga.
Kerana itu, apabila keadaan menuntutnya untuk mungkin mengorbankan keperluan seorang anak kecil demi kelangsungan keluargannya, keputusan memeritkan itu nyata merenggut jiwanya. Namun, pilihan apa yang dia ada?
Di Kuantan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka mata masyarakat kepada realiti kehidupan. Seorang usahawan, anak jati Pahang, berkongsi pengalamannya selama turun padang membantu golongan memerlukan.
Ibu tunggal, anak yatim dan miskin bandar, juga gelandangan, antara yang didekati beliau lantaran tidak betah untuk hanya berpeluk tubuh melihat bagaimana tempoh “pengurungan” yang kini memasuki Fasa ke-3 memberi kesan terhadap golongan tertentu.
Sambil memohon supaya namanya dirahsiakan, cukup dirujuk sebagai “Hamba Allah”, beliau mengakui hatinya hiba mendengar perkongsian mereka yang ditemuinya, sebahagiannya nyata tidak bersedia daripada segi kewangan untuk menghadapi PKP yang bertujuan memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang setakat ini, mengakibatkan jangkitan hampir 2 juta penduduk dunia.
Antara golongan berkenaan, akuinya pilihan perit yang terpaksa diambil seorang ibu membuatnya cukup tersentuh.
“Sukar untuk saya bayangkan perasaan seorang ibu yang hanya mampu mengalirkan air mata apabila anaknya terputus bekalan susu kerana wang simpanan habis dibelanjakan untuk membeli bahan makanan asas bagi keperluan seluruh keluarga,” katanya.
“Ada si buta yang tinggal sendirian. Ada ibu bisu yang termangu kerana selama ini, bergantung hidup dengan menjual barangan lusuh.”
Kepayahan yang harus dilalui golongan ini, bagaimanapun menurutnya tidak lain hanya menambah keinsafan di dalam dirinya.
“Ada suri rumah yang menangis hiba kerana memang terputus bekalan makanan untuk beberapa hari berikutan namanya tidak tersenarai sebagai penerima bantuan di kampung tersebut.
“Ada si buta yang tinggal sendirian. Ada ibu bisu yang termangu kerana selama ini, bergantung hidup dengan menjual barangan lusuh. Ada rumah, anak yatim piatu berusia enam dan sembilan menumpang teduh,” katanya, seraya menambah antara dikunjunginya termasuk sebuah rumah didiami tiga keluarga namun semua terputus sumber kewangan.
PKP, menurutnya memberi ruang untuknya menyelami golongan yang paling terkesan berikutan keadaan yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara, dan memberinya kesempatan untuk menyampaikan sumbangan.
“Sumbangan bahan mentah seperti telur, ayam, ikan, sayur serta keperluan asas seperti beras, minyak, gula dan tepung serta buah-buahan, seperti tembikai diserahkan kepada setiap keluarga memerlukan yang tersenarai,” katanya.
“Cukuplah secebis senyuman dan riak wajah mereka yang gembira. Itu cukup untuk buat kami bahagia.”
Baru ini, beliau turut “berbagi rezeki” dengan golongan gelandangan dan miskin bandar, antaranya yang menetap di bilik-bilik sewa di sekitar bandar Kuantan menerusi sumbangan berupa pek makanan seperti Nasi Beriani.
Usahanya bersama beberapa rakan itu yang didorong oleh rasa perikemanusiaan terhadap mereka yang benar-benar terkesan ekoran penularan wabak maut yang turut melumpuhkan ekonomi banyak negara, bagaimanapun baginya hanyalah kecil.
“Ini semata-mata atas dasar perikemanusiaan. Semoga dengan sedikit sumbangan ini dapat meringankan keperitan dalam kehidupan golongan yang betul-betul terkesan dengan PKP ini kerana mereka tidak dapat keluar bekerja,” tambahnya.
Ditanya apa yang diharapkan beliau dan rakan-rakannya, jawapnya: “Cukuplah secebis senyuman dan riak wajah mereka yang gembira. Itu cukup untuk buat kami bahagia.”