Gabungan Melodi Terindah di Konsert 4G’s: Black, Hazama, Tomok & Akim
Bukan solo, tapi sebagai quartet, empat penyanyi ini berharap mencetuskan fenomena.

Foto Belbis Sdn Bhd

LAGU popular. Vokal dan identiti muzik tersendiri. Oh, juga gabungan jutaan pengikut yang ramai di media sosial!

Kata wakil penganjur, Belbis Sdn Bhd menerusi kenyataan akhbarnya, buat kali pertamanya, empat penyanyi solo terkenal, Black, Hazama, Tomok dan Akim bukan sahaja digabungkan dalam sebuah persembahan berskala besar.

Tapi lebih lagi, iaitu ditampilkan sebagai sebuah kombinasi yang akan berpadu suara dalam setiap lagu. Ini SEBAB untuk anda pertimbangkan Konsert 4G’s:

SOLO KE QUARTET

Konsert 4G’s tepatnya adalah kelahiran empat penyanyi popular ini sebagai sebuah kumpulan.

“Idea menggabungkan empat atau tiga vokalis dalam sesebuah konsert memang tidak asing tetapi repertoire masih fokus terhadap persembahan solo setiap artis, cuma ada segmen duet beramai-ramai, itu pun tidak banyak,” menurut wakil penganjur itu. “Untuk 4G’s, konsepnya lebih terhadap penyatuan keempat-empat penyanyi dalam setiap lagu, semacam quartet dengan keunikan karekter pada setiap penyanyi. Persembahan solo tetap ada, tetapi dalam segmen awal sahaja.”

6 JUTA PENGIKUT!

Belbis, berpengalaman menganjurkan konsert seperti Romansa Kris Dayanti dan M Nasir Sang Pecinta, nyata yakin dengan keupayaan Black, Hazama, Tomok dan Akim untuk persembahan yang bakal berlangsung selama dua malam itu.

Selain mempertaruhkan himpunan lagu-lagu popular mereka, antaranya Mana Mungkin oleh Black ke Malaikat (Hazama), Bagaikan Bidadari (Tomok) hingga Mewangi (Akim), dengan kelebihan daripada segi vokal serta identiti muzik tersendiri, jelas wakil penganjur itu, “Secara puratanya, empat penyanyi itu ada enam juta pengikut di laman sosial. “Daripada angka itu, nampaknya mereka ada sokongan korporat dan peminat muzik tanah air.”

SINGLE TEASER KONSERT

Sempena berlangsungnya konsert, empat penyanyi ini akan berpadu suara menerusi sebuah single yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi, selain menjadi hiburan bonus audiens pada malam persembahan itu kelak, sekaligus menghangatkan kalendar Tahun Melawat Malaysia 2020.

Info lanjut, hubungi +6018 2488184