Makyung “Raja Besar Maha Gading” Penuh Tersirat
Dari Raja ke rakyat jelata, nilai estetika seni Makyung bakal menjengah Istana Budaya.
Diterajui Pakyung terkenal, Rosnan Rahman, persembahan teater ini turut menampilkan selebriti seperti Nad Zainal dan Izzue Islam, selain Naque Ariffin, Cekem dan Romli Abdullah.
Ini 5 FAKTA yang anda perlu tahu mengenai persembahan teater tradisional, bermula Jumaat depan:
SEMANGAT PADI
Makyung berasal daripada dua perkataan iaitu “Mak” dan “Hiang” yang membawa maksud semangat padi. Persembahan Teater Tradisional Melayu Kelantan ini menggabungkan elemen tari, seni suara, lakon, lawak dan muzik.
MANA RAJA BONGSU
Cerita mengisahkan Raja Besar Maha Gading meminta Wak Nujum menilik nasib siapa di antara tujuh anak-anaknya yang boleh menggantikan tempatnya sebagai pemerintah. Setelah diberitahu hanya Raja Bongsu boleh menggantikan tempatnya, anak-anak lain berdendam dan merancang untuk membunuhnya.
Hasil tipu helah, Raja Bongsu dibawa ke padang luas dan dicampak ke dalam telaga, tetapi nasibnya baik kerana diselamatkan oleh Tok Peraih Sireh yang mempelawanya tinggal bersama di pondoknya. Kehilangan Raja Bongsu menyebabkan Raja Besar dan isteri sedih.
Kehilangan Raja Bongsu menjadi persoalan dalam penceritaan teater ini yang penuh tersirat dengan unsur-unsur unik.
KESENIAN ISTANA
Peter Flores, seorang pedagang Eropah mencatat pernah menyaksikan kesenian ini di Istana Raja Perempuan Pattani pada 1613.
Di Kelantan, kesenian ini ditemui di istana semasa pemerintahan Sultan Mahmud IV (1900 – 1920), diikuti Sultan Ismail. Ia dihidupkan kembali oleh Tengku Zainal Ghaffar II yang dikenali sebagai Tengku Temenggong. Pada 1969, beberapa tokoh budaya dan pembesar negeri berusaha meneruskan warisan ini, hingga kini.
DIIKTIRAF UNESCO
Teater Tradisional Makyung beroleh pengiktirafan UNESCO sebagai Seni Warisan Dunia pada 25 November 2005, hasil usaha pemuliharaan kerajaan.
PAKYUNG, TULANG BELAKANG
Pakyung adalah raja atau pemerintah yang menjadi tulang belakang cerita Makyung.
Makyung “Raja Besar Maha Gading” akan menampilkan Rosnan Rahman, satu-satunya Pakyung lelaki dalam Teater Tradisional Makyung sekarang.
Dia juga mengetuai Kumpulan Makyung Seri Nilai Istana Budaya yang akan beraksi pada malam persembahan yang turut diiringi Artistari Istana Budaya dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).
Comments are closed.