Kenapa Hati Berbunga di Malam Nostalgik Exists Reunion?
Di tahun ke-28, band ini menerima apa yang sememangnya milik mereka, iaitu penghormatan.

Oleh Zurina Waji    |    Foto Fauzi Hamid

“DIA minta kertas, minta pensil. Kita orang naik buntu memikirkan tapi dia siapkan dalam lima minit saja.” Dan Kapal Terbang Kertas akan sentiasa mengingatkan saya mengenai kehalusan bait ditumpahkan Allahyarham Loloq, diimbau cerita seorang anggota Exists, dulu.

“Sukar untuk dimengerti mengapa hanya selepas 28 tahun mereka diberi peluang beraksi dalam sebuah persembahan berskala besar, namun ia masih sebuah penantian yang berbaloi.”

Dimuatkan di dalam album Mutan pada 1998, Kapal Terbang Kertas merupakan ciptaan Along dan lirik Roshi Lee, satu lagi nama pena digunakan penulis lirik prolifik itu yang dikhabarkan pernah melayari ilmu tasawuf dalam perjalanan hidupnya.

Dan malam Minggu lalu, saya senyum mendengar lagu itu menjadi antara nukilan bermakna yang dialunkan di Stadium Malawati, Shah Alam. Di Konsert Exists Reunion, band ini memberikan lebih daripada apa yang dijangkakan.

Sukar untuk dimengerti mengapa hanya selepas 28 tahun mereka diberi peluang beraksi dalam sebuah persembahan berskala besar, namun ia masih sebuah penantian yang berbaloi. Justeru, saat ditanya beberapa teman usai konsert, saya meluahkan rasa bangga adanya band lokal seperti Exists.  Pantaslah kenapa band terkenal Indonesia, Padi, dalam satu temubual dulu, menamakan Exists sebagai inspirasi.

Sejujurnya, malam itu Exists buat saya terpaku.

BACA : 5 Sebab Kenapa Anda Tidak Boleh Miss Konsert Exists Reunion

BACA : Konklusi 28 Tahun Exists Dalam Seni

1991. Itu, kali pertama saya melihat Exists. Saya cuma seorang wartawan rookie di Meja Berita, Harian Metro dan Exist, sebagaimana mereka dikenali ketika itu, hadir di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar dengan pakaian warna-warni mereka dan topi bling bling yang agak trendy, pada masa itu.

Pandangan, tentunya mengarah ke sosok paling kecil di dalam band asal Johor itu iaitu Mamat dan Along, kedua-duanya baru berusia 13 tahun, dan dengan anggota lainnya juga masih dalam belasan tahun, anak-anak muda ini mengagumkan pemain industri yang melihat mereka sebagai pemuzik genuine.

“Aura, nyata masih bersisa pada penyanyi berusia 41 tahun itu. Tak sempurna, tapi Mamat adalah cebisan akhir puzzle bagi Reunion ini.”

Exist mencipta jurang antara banyak band dewasa yang hebat di kulit album, berbanding keupayaan sebenar.

Dan hakikat ini cukup untuk menyakinkan saya seawal pengesahan rencana Reunion anjuran Shiraz Projects yang bakal mempertemukan semula bekas anggota asal Exists – pemain keyboard, Ajai yang kini merupakan komposer terkenal; gitaris, Shah yang juga pendukung Slam selain vokalis, Ezad Lazim yang kini bergerak solo dengan Along (gitar), Musa (bass) dan Ujang (dram).

Jujur bagaimanapun, saya ragu-ragu kala mengingatkan kontroversi yang memaliti Mamat, apatah lagi dengan penangkapannya di Johor Bahru pada 8 September lalu, kerana masalah penyalahgunaan dadah. Sementara saya meyakini kematangan Exists sebagai pemuzik, hatta Ezad pun sudah meninggalkan tabiat lama, persoalan yang meresahkan apakah Mamat mampu mengekalkan penumpuannya untuk konsert ini?

Sebaik Exists memulai malam Reunion mereka dengan Mamat melalui Anugerah, gema 4,000 audiens mengisi hampir setiap ruang, tidak terganggu dengan kedinginan dek hujan lebat yang membaluti di luar stadium. Penampilan lebih segar, lontaran bertenaga Mamat diberikan lagi pada Sebelum Terlewat, Nota di Lautan Sepi dan Janji Padamu.

Aura, nyata masih bersisa pada penyanyi berusia 41 tahun itu. Tak sempurna, tapi Mamat adalah cebisan akhir puzzle bagi Reunion ini.

LANGKAH SEIRINGAN, NOSTALGIA INDAH

SUARA lunak Ezad kemudian mengalunkan Roller Coaster, menghangatkan malam dengan Oh Benih Adam dan bass Musa yang menggetarkan tali hati. Mood Britpop menguasai dengan Percayakan Siti, antara 24 lagu dalam senarai sing along daripada katalog Exists seawal 1991 untuk persembahan berdurasi lebih dua jam itu.

Kala Ezad melantunkan Kapal Terbang Kertas, terlihat seakan terjemahan pengaruh Allahyarham Loloq dalam perjalanan Exists yang dihadiahi kebijaksanaan dalam kegilaan pemikirannya, antaranya diberikan  Mama Tolong Percaya dengan bait:

“Duyung, pari-pari, kuda unicorn/

tunduk selalu kepala ditonjol/

Asyik dongak takut terlupa diri.”

Saya menikmati Hani Lempengnya Hangus yang nakal diberikan Ezad, juga Julia dengan mood romannya yang memperlihatkan gandingan Along yang menggunakan nama pena, G-Nola/ Loloq, dimuatkan sebahagiannya dalam album Jangan Gentar.

Musa, usai konsert, memberitahu saya “bagaimana saya telah jatuh cinta dengan lirik-liriknya (Loloq) ketika dia menulis untuk Mega” dan memutuskan untuk menghubunginya di Luncai Emas, kadang dengan Allahyarhamah Nana iaitu isteri M Nasir, menjadi perantara.

Pernah menolak Tari Unicorn, kali pertama menerima lirik Loloq, dia akhirnya memilih Bukanlah Cintan Ku bagi album ketiga Exists yang bagaimanapun, tidak dapat dirilis kerana masalah injuksi pada 1994/1995 yang kemudian diubati dengan album Jangan Gentar yang disifatkannya sebagai “kerjasama paling besar, dari satu ke satu lirik saya dapatkan daripadanya.”

Jelas Musa, “Lirik pertama yang menyentuh jiwa saya, Oh Benih Adam, Cari Beli Pinjam Api diikuti Larilah Larilah, Madah di Pusara dan Jangan Gentar. Dia memakai nama Kristo Bimbo pada waktu itu. Dari sini, banyak ilmu yang saya kutip daripadanya. Secara tak langsung Loloq adalah guru kedua saya dalam penulisan lirik selepas LY yang juga guru sekolah dan cikgu lirik saya.”

Begitu pun, kata Musa lagi, dia hanya meletakkan “lagu hit dan lagu yang orang pasti tahu” dalam senarai bagi Reunion selain “selingan lain-lain lagu yang ada music groove.” Single Tak Berakhir, ciptaan Ajai dan Along, manakala lirik oleh Musa lewat paduan suara Mamat dan Ezad ikut diperdengarkan, memberi makna bagi penyatuan ini.

“Saya hanya boleh berharap Mamat, juga Ezad, mengasah skil komunikasi bagi menutupi rasa canggung yang kadang menerpa. Sebab, 28 tahun cukup untuk se buah band berevolusi dan bukan hanya dalam berkarya.”

Mamat barangkali menghanyutkan audiens dalam nostalgia Untukmu Ibu, namun ciptaan Harun Ahmad lewat Langkah Seiringan yang menyebakkan rasa, membawa pengertian mendalam kala diperdengarkan secara duet oleh Mamat dan Ezad dengan bait:

“… hulurkan tanganmu/

bersama kita bergandingan/

berdua menuju arah bahagia/

melalui liku-liku kehidupan/

pahit manis kita hadapi bersama… ”

Saya juga mengira besarnya penghormatan yang diberikan buat LY apabila mendengar Rahsia Pohon Cemara, juga daripada album debut Exist, dipersembahkan menghampiri pengakhiran malam yang disempurnakan dengan Alasanmu. “LY ni mcam penembak hendap,“ kata Musa, apabila ditanya kemudiannya. “Dia tulis lirik lagu ada hook yang menikam kalbu, bikin jiwa parah, bikin jiwa berdarah. Seakan santau.”

Sungguh, namun keupayaan Exists sendiri sebagai pengkarya yang terkadang dilupakan itulah yang menghidupkan malam dengan hampir keseluruhan lagu dihidangkan lewat susunan baru yang segar, bertenaga. Paparan lirik pada skrin LED di depan dan atas pentas sederhana, berlatar skrin gergasi yang berselang paparan video pendek anggota di antara masa rehat, menyempurnakan trik agar audiens berpartisipasi, sekaligus menikmati dan menjadi sebahagian daripada persembahan.

Saya hanya boleh berharap Mamat, juga Ezad, mengasah skil komunikasi bagi menutupi rasa canggung yang kadang menerpa. Sebab, 28 tahun cukup untuk se buah band berevolusi dan bukan hanya dalam berkarya. Skandal, atau kontroversi boleh diubah dengan mengundang empati audiens untuk terus memberi sokongan moral, paling tidak angkatlah lagu yang dibawa, berbicara tentang maksud atau menghargai penciptanya.

Ujang, dalam temubual sebelum ini, mengakui dalam keterujaan, apa yang diberati dalam konsert Exists Reunion ini adalah mencari semula chemistry di antara mereka dan malam itu, di sebalik ketidaksempurnaan, Exists masih memberikan apa yang didambakan iaitu nostalgia indah yang menggugah rasa.