Jejak Peradaban Melayu: Gurindam di Penyengat
Penerokaan warisan kerajaan terakhir Riau-Lingga yang mempertemukan keagungan bangsa bahari yang digelar Melayu.
Oleh Zurina Waji
GELAP kulitnya, seolah bayu laut memang tiada bersimpati terhadap penghuni teratak di gigi air dengan pelantar kayu nibong itu.
Sekilas, pandangannya seolah berkerawang dengan pelbagai persoalan melihat kehadiran saya dan beberapa teman. Kreteknya disedut dalam, mendengar tujuan kami ke Pulau Penyengat ini yang satu ketika dulu menjadi pusat tumpuan cendekiawan Melayu.
“Abang orang apa?” tanya saya dan dia sedikit tersentak, tapi bangga menjawab, “Saya orang Melayu.”
Di Kampung Baru, rumah didiamnya itu adalah satu daripada dua rumah air yang kami lewati dalam perjalanan dari Gedung Hakim Mahkamah Syariah Raja Haji Abdullah, sebuah bangunan berbata merah bergaya kolonial, peninggalan Raja Haji Abdullah yang merupakan cucu pujangga Raja Ali Haji (1808-1873) yang terkenal dengan karya Gurindam Dua Belas (1847) dan diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional Indonesia.
Gedung Mahkamah Syariah Raja Haji Abdullah
Arif dalam bidang hukum dan keagamaan, Raja Haji Abdullah yang dilantik menjadi hakim dan kadi, adalah pendukung Tarekat Naqsyabandiyyah. Juga seorang pelukis dan pengarang dengan nama pena, Abu Muhammad Adnan Haji Abdullah al-Naqsyabandi al-Khalidi, beliau mengarang naskah seperti Syair Ghayat al-Muna pada awal abad ke20 dan dikaitkan dengan ciri-ciri esentrik serta mahir dalam ilmu ghaib.
Penasaran, kami menjengah salah sebuah rumah air tadi dan menebalkan muka, mohon untuk melihat-lihat.
“Eh, masuklah! Tapi rumah kami ni buruk. Hati-hati kalau memijak lantai, ada yang dah reput tu,” balas seorang ibu tua, berkulit cerah dengan sepasang mata agak sepet, tampak gembira menerima kunjungan tamu tidak dikenali ini ke rumah anaknya.
Keikhlasan penghuninya menambat hati kami. Berkali-kali, isteri tuan rumah yang memperkenalkan dirinya sebagai Sabrina, meminta maaf kerana keadaan rumahnya itu. “Rumah kami ni buruk saja. Tak ada apa pun nak dihidangkan, sirap boleh?” katanya, seraya menghulurkan sepinggan donut kepada kami di ambin, menghadap laut luas dan langit biru Penyengat. “Air bujang saja, kebetulan ada lebihan kuih pagi tadi. Jemputlah. Pijak lantai tu hati-hati, nanti terperosok kakinya.”
“…dek perjanjian Inggeris-Belanda, terpisahlah kita biarpun dekat dengan Johor. Padahal, kita semua Melayu. Tak kiralah sama ada awak Bugis, Jawa… Nusantara ini kepunyaan Melayu dan darah kita ini darah Melayu walau apa pun keturunan kita.” – Raja Khidir
Kami semua berbual seolah sudah lama kenal. Keramahan orang Melayu, ketulusan hati dan membesarkan tetamu yang sudah langka, apatah lagi di kota besar, saya temui semula di sini, di rumah dengan ambin senget dan pelantar yang mulai mereput itu.
Sambil menikmati bunyi hempasan ombak kecil, dibuai angin sepoi bahasa yang mula menggamit mata, saya mencemburui kehidupan sederhana dan keperibadian penghuni ini yang mengingatkan saya pada keelokan sifat-sifat orang Melayu dulu yang dibicarakan dalam banyak kitab lama.
Ada perahu diikat di salah satu pancang kayu dan Sabrina menjelaskan, “Itu pompong (perahu), ayah guna untuk menangkap ikan. Biasa, sebelum Subuh ayah dah keluar ke laut. Kalau ada rezeki, banyaklah dapat. Rumah ini, ayahlah yang dirikan. Ayah memang pandai bertukang.”
Raja Khidir yang saya teriak abang tadi, memberitahu: “Saya Bugis, ada keturunan sebelah Daeng Marewa tapi tepatnya kita ni Melayulah. Bahasa awak dan saya pun tak ada beza.
Rumah air di Kampung Baru, Pulau Penyengat
Foto : Dr Ahmad Yusri Bani Hashim
Pompong, punca rezeki
“Kami di Penyengat ni dulu dalam kerajaan Riau-Lingga, tetapi dek perjanjian Inggeris-Belanda, terpisahlah kita biarpun dekat dengan Johor. Padahal, kita semua Melayu. Tak kiralah sama ada awak Bugis, Jawa… Nusantara ini kepunyaan Melayu dan darah kita ini darah Melayu walau apa pun keturunan kita.”
Saat itu, empat anak kecil bermain kejar-kejaran sampai ke pelantar. Dia, dengan mata merenyit menahan asap daripada rokok yang dikepit di bibirnya, menegur, “Ish! Budak-budak ini, pergi main di belakang sana. Jatuh nanti.”
Ditanya pernahkah ada yang terjatuh ke laut, dia mengangguk. “Ada juga,” katanya. “Jatuh laut tak mengapa, boleh belajar berenang. Pandailah tu nanti, asalkan dia orang tahu kuakkan kaki dan capai pancang-pancang kayu. Orang kampung, macam itulah belajar.“
PUSAT CENDEKIAWAN MELAYU
TIGA jam menempuh ombak dari Stulang Laut, Johor Bahru ke Tanjung Pinang, sehari sebelumnya membuatkan bayu yang menyapu bersama percikan air laut sepanjang 20 minit perjalanan menaiki pompong dari Dermaga Penyengat ke Pulau Penyengat, terasa cukup menyenangkan.
Dibangun sebagai pusat pertahanan pada 1803, kepentingan Penyengat secara strategik disebut di dalam kitab Tuhfat-Al-Nafis karya Raja Ali Haji pada 1860an, antaranya sebagai pos kawalan semasa peperangan Melayu-Bugis dengan Raja Kechik.
Penyengat juga berkembang menjadi pusat pemerintahan, ajaran Islam, adat istiadat dan kebudayaan Melayu. Penyebaran Tarekat Naqsyabandiyyah di rantau Melayu dikaitkan dengan pengaruh pulau yang digelar Inderasakti itu, terutama di bawah pemerintahan Raja Ali, Yang Dipertuan Muda Riau VIII (1844-1857) yang dikenali dengan kewarakannya.
Penempatan etnik Cina di tengah kota Tanjung Pinang
Pompong di Dermaga Penyengat
Ke Pulau Penyengat
Kuning, berlatar langit biru, Masjid Raya Sultan Riau di Jalan Ahmadi yang menyambut tamu ke Penyengat benar menambat hati. Perletakan batu pertama masjid dicatat pada 1761 dan selesai pada 1812, sebelum diperbesarkan pada 1832 dan kekal sebagaimana sekarang.
Puluhan nisan berbalut kain kuning memenuhi tanah lapang di depan masjid dengan 13 kubah dan empat menara itu yang menampilkan pengaruh senibina Melayu, Arab, India dan Turki. Chandeliar, khabarnya milik istana, menghiasi tengah masjid yang turut menyimpan kitab lama tulisan tangan.
Sebuah bedok sebesar pemeluk di rumah sotoh di sebelah kiri berdekatan pintu masuk masjid, menangkap mata. Diintai, seorang lelaki tua yang asyik dengan rokoknya memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Rahman, 70, yang juga merupakan pengerusi masjid di situ.
“Saya orang Melayu,” kata datuk kepada 12 cucu ini, memperjelaskan lenggok bahasanya. Dia menyeringai melihat saya menjengketkan kaki cuba menyentuh bedok yang dikatakan sudah berusia 187 tahun itu. “Kulit lembu tu,” katanya, memberitahu ia masih digunakan untuk memaklumkan masuknya waktu solat.
“Masjid ini dibangun pada 1832, zaman (Yang Dipertuan Muda) Raja Abdurrahman (1831-1844),” katanya. “Masjid ini dibangun dari putih telur, kapur, pasir dan tanah liat, termasuk batu bata dan tak menggunakan besi. Masih digunakan sampai sekarang, malah jemaah sampai ke luar, sampai ke pelataran masjid.”
Masjid Raya Sultan Riau
Bedok berusia 187 tahun di Masjid Raya Sultan Riau, Pulau Penyengat
“…foto lama tinggalan kesulatanan Riau-Lingga ini, foto Sultan sudah menggunakan atribut, sama pakaiannya macam Turki. Kita juga menggunakan lambang bulan bintang, bendera kita pun sama macam Turki, bulan bintang dan merah warnanya.” – Tengku Fahmi
Dari masjid, berjalan menuju ke makam Raja Ali Haji, saya tertanya sendiri bagaimana di pulau sekecil itu boleh tersimpan begitu banyak sejarah. Berjalan mengelilingi pulau, termasuk ke Istana Kantor peninggalan Raja Ali, kubu di Bukit Kursi selain puluhan makam Yang DiPertuan Mudanya, para cendekiawan, pahlawan dan tokoh bernasab ke Rasululullah SAW, saya cuba menyelami Penyengat semasa di bawah pentadbiran Kerajaan Riau-Lingga yang sempat membina reputasinya sebagai pusat persuratan dan kesusasteraan Melayu.
Ada kedamaian di pulau kecil ini, seolah ada yang memelihara, tidak seperti hingar Kota Tanjung Pinang dengan pedagang makanan Akau Potong Lembu, berdekatan Masjid Al-Muhajirin di Jalan Potong Lembu yang terletak berdekatan penginapan kami dan merupakan daerah etnik Cina yang asalnya dibawa mengerjakan kebun gambir semasa pemerintahan Daeng Chelak, Yang Dipertuan Muda Riau II (1728-1745).
Saya hanya dapat membayangkan Penyengat satu ketika dulu selepas kami diperkenalkan oleh Raja Khidir dengan Tengku Fahmi Tengku Mohamad Yusuf yang masih punya pertalian dengan Almarhum Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah II, Sultan Riau-Lingga terakhir sebelum dibubarkan Belanda pada 1911. Disua koleksi peribadi foto-foto yang berada dalam simpanan keluarganya, saya hanya menganga.
Foto dan potret Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah II, koleksi peribadi Tengku Fahmi
“Kalau kita tengok perjalanannya, berpindah-pindahnya kerajaan (Melayu) ini, Penyengat adalah titik akhir daripada Empayar Melaka yang dinamakan Kerajaan Riau-Lingga,” kata Tengku Fahmi, sambil menyifatkan pulau ini “tempat berkumpulnya cendekiawan Melayu yang mempelajari agama.”
Biarpun tidak besar, jelasnya Penyengat lengkap sebagai sebuah insititusi kerajaan dengan “percetakan negara, perpustakaan negara, hospital yang digelar peti ubat, mahkamah syariah, istana Kantor atau pejabat, Kedaton. Konsep Pulau Penyengat ni konsep kekhalifahan yang dipimpin oleh khilafah.
“Kerajaan Riau-Lingga terakhir di bawah (Kerajaan) Uthmaniyyah. Apabila kita lihat foto lama tinggalan kesulatanan Riau-Lingga ini, foto Sultan sudah menggunakan atribut, sama pakaiannya macam Turki. Kita juga menggunakan lambang bulan bintang, bendera kita pun sama macam Turki, bulan bintang dan merah warnanya.”
Perjalanan sejarah ini, kata Tengku Fahmi lagi, banyak berkait dengan permulaan kemasukan puak Bugis. “Secara umumnya, pulau ini banyak sekali meninggalkan sisa peninggalan sejarah… walaupun kesultanan itu sendiri sudah tidak ada.”
HIJAB GURINDAM
DI Komplek Makam yang menempatkan, antaranya makam Engku Puteri Raja Hamidah, Permaisuri Sultan Mahmud Shah III Riau-Lingga (1760-1812), saya bertemu Ades, anak muda yang sudah tujuh tahun mengambil alih tugas sebagai juru kunci makam yang 30 tahun sebelumnya digalas ayahnya.
Ades memberitahu Pulau Penyengat ini adalah mahar kahwin Sultan Mahmud untuk Raja Hamidah.
“Orang tua beliau (Raja Hamidah) ialah pahlawan Riau, Raja Haji Fisabilillah. Beliau masih daripada keturunan Bugis, cucu Daeng Chelak yang ada anak, Raja Haji dan Raja Lumus (memakai gelar) Sultan Salahudin iaitu Sultan Selangor yang pertama,” katanya, lancar.
“Johor, Pahang, Selangor, Singapura itu kan termasuk di bawah pemerintahan Kerajaan Riau-Lingga. Kita ini berpecah kerana Perjanjian London 1824 yang mana Johor, Pahang, Selangor harus ke Brisith. Kami di sini, (di bawah pemerintah) Belanda. Singapura, bandar Temasek itu awalnya (milik) Belanda, ditukar dengan Bengkulu oleh (Sir) Stamford Raffles, nama lamanya Benkulen.”
Makam Raja Ali Haji, sasterawan terkenal Melayu
Daeng Chelak, menurut Ades lagi, yang makamnya ditemukan di Tanjung Minang, Sungai Charang di Bintan, bersama Daeng Marewah, sebagaimana diketahui merupakan sebahagian Daeng lima bersaudara sedangkan makam Daeng Parani, putera paling tua pasangan Daeng Rilaka dan Upu Tenribong dijumpai di Kedah.
Penemuan makam Daeng bersaudara dari Makassar, Sulawesi itu, katanya mendorong kunjungan keturunannya, termasuk kerabat diraja Selangor, selain pemimpin Indonesia seperti mantan Wakil Presiden, Jusuf Kalla dan mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie.
Saat melewati nisan berpahat nama Raja Haji Abdullah, dia menjelaskan: “Beliau ini seorang mursyid. Guru besar ilmu Tarekat Naqsyabandiyyah.”
Ades senyum, bangga memberitahu Kepulauan Riau kini memiliki tiga Pahlawan Nasional. Iaitu, Raja Haji yang digelar sebagai pahlawan bahari selepas “mati syahid” dalam Perang Riau 1782-1784 dan “sempat disembunyikan Belanda sebelum dibawa pulang Raja Jaafar (putera)” selain cucunya, Raja Ali Haji yang dijoloki pahlawan dalam bidang sastera dan bahasa, dan Almarhum Sultan Mahmud di Daik, Lingga.
“Gurindam itu referensinya diambil berdasarkan kitab-kitab suci Al-Quran dan kalau misalnya kita menjalani dan mengamalkan itu, InsyaAllah dunia akhirat akan selamat…” – Ades
Raja Ali Haji, jelasnya yang turut menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa iaitu ensiklopedia monolingual Melayu pertama, menyumbang kepada pemerkasaan Bahasa Melayu yang turut menjadi asas kepada Bahasa Nasional Indonesia, hari ini berdasarkan ketetapan Kongres Pemuda Indonesia pada 28 Oktober 1928.
“Kalau guna bahasa Jawa, orang Jawa saja tahu. Kalau guna bahasa Bugis, orang Bugis saja tahu. Kalau cakap Bahasa Melayu, mana-mana pun orang tahu. Kerana itu, Bahasa Melayu dijadikan asas kepada bahasa kebangsaan (Indonesia),” katanya.
Di dinding marmar yang mengelilingi makam Engku Puteri, terpahat 12 fasal gurindam karya Raja Ali Haji. Situasi masa kini bagai menari-nari di depan mata kala bait-bait yang dikarang 172 tahun lalu itu dilayari dengan perasaan yang bercampur baur.
Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai
Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti
Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tiada buta
Gurindam Dua Belas dipahat di dinding Komplek Makam
Saat diberitahu kepada Ades, gurindam Raja Ali Haji membuat bulu roma merinding, katanya: “Gurindam itu referensinya diambil berdasarkan kitab-kitab suci Al-Quran dan kalau misalnya kita menjalani dan mengamalkan itu, InsyaAllah dunia akhirat akan selamat kerana namanya intisari Al-Quran tidak akan pernah luntur, tidak akan pernah habis sampai kapan pun dan untuk seterusnya.”
Di satu selekoh, tidak jauh daripada Makam Kompleks, di sebuah rumah yang dibina lebih rendah daripada paras jalan raya, dua lelaki sedang menikmati makan tengah hari di anjung.
“Makan apa tu?” saya menegur dan salah seorang yang tampak setengah baya, senyum menjawab, “Asam pedas! Nak ke?” Menikmati asam pedas air tangan tuan rumah menambah keterujaan, apatah lagi apabila mendengar ikan ditangkap mereka sendiri, pagi tadi.
Gubal, juadah tradisional Penyengat, berupa sagu yang digauli kelapa parut, kemudiannya disua kepada kami. “Ini boleh juga dimakan menggantikan nasi. Cuba dengan ikan masin ni. Enak?” tanya Ibu itu lagi, berkongsi rezeki.
Sekilas, masa seolah terhenti di Penyengat. Sungguh pulau itu, seperti kata Raja Khidir, sudah lebih dua bulan tidak hujan, keramahan orang Melayunya menyempurnakan pengalaman yang diberikan pulau kecil yang dirasakan penuh karomah ini, dipayungi langit nan biru dan angin yang mendamaikan.
Berjalan menuju jeti untuk pulang ke Tanjung Pinang, kami melewati Masjid Raya Sultan Riau lagi. Gerai kecil milik Ibu Butet yang menjual Lakse Penyengat yang menggunakan isi ikan tamban sebagai bahan asas dalam kuahnya dan kuih deram-deram yang saya temui pagi tadi, sudah sepi. Saya terbayang wajah naifnya, membicarakan penyerahan hidupnya yang mencari rezeki di tepi jalan, depan masjid itu kepada Sang Khaliq.
Senja mulai berlabuh saat pompong meninggalkan jeti Penyengat yang menjadi permulaan pencarian yang mengesankan.