Konsert Laksamana Metal 2019: Wings, Melayu dan Teori Midnight Blues
Malam gusar di konsert antara band rock paling berpengaruh di Malaysia.
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
“WINGS,” kata seorang teman pada malam konsert Wings x Bunkface, Sabtu lalu, “adalah salah satu band terbaik sepanjang zaman di negara ini tapi hanya boleh meraih audiens sebesar ini?
“Ini saja? Menyedihkan.”
Saya berharap bahawa teman tadi terlalu awal berprasangka walaupun saya sendiri sebetulnya sukar menepikan rasa tidak enak yang menyelinap melihat Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang sepi.
Sepi, bagi saya, kerana mood yang membangkitkan keghairahan untuk menonton belum juga dirasai. Saya jadi gusar.
Jujur, malam itu saya datang untuk Wings dan kemunculan Bunkface membuka pentas sebagai band gandingan hampir membuat saya menonton kaku tanpa perasaan. Jelas, band berusia 12 tahun itu gagal mengurangi keresahan yang menguasai.
“Satu kesilapan apabila band ini seolah cuba memaksa penggemar muzik rock Wings yang kuat bau Melayunya menerima mereka…”
Saya tidak menafikan daripada segi muziknya band asal Klang ini punya kekuatan. Saya cuba untuk menikmati persembahan tiga anak muda itu yang bermula agak baik walaupun bermain di depan audiens yang sebahagian besarnya jelas penggemar Wings.
Rasa bosan bagaimanapun, mula menyelinap selepas empat, lima lagu daripada album mereka yang disusuli dengan muzik yang berkecamuk yang membuat saya tertanya, band apakah sebenarnya ini? Punk, pop, balada?
Keliru dengan percaturan Bunkface yang selama ini disogok sebagai band new age punk rock, saya sampai membayangkan kebarangkalian Sid Vicious yang mencetuskan pergerakan punk di United Kingdom bersama band The Sex Pistols, bangkit dan kembali untuk mencekik mereka.
Satu kesilapan apabila band ini seolah cuba memaksa penggemar muzik rock Wings yang kuat bau Melayunya menerima mereka sedang sebahagian audiens terkebil-kebil memandang pentas kecuali beberapa hits yang boleh dibilang dengan jari.
Saat frontman Sam mengasak telinga dengan hit Wings, Bernafas Dalam Lumpur, rasanya cukup memedihkan.
WINGS DAN SEMANGAT MELAYU
Di dalam remang cahaya lampu, seorang pesilat dilihat mengatur langkah, memberi indikasi laluan bakal dibuka untuk kemunculan band yang dinanti, Wings.
Silat jadi pengenalan penuh bermakna untuk semangat Melayu yang mahu disuntik, sesuai dengan gelar Konsert Laksamana Metal sebagai pemanas jelajah sempena 35 tahun Wings dalam dunia muzik, menjelang 2020.
Kala merasai bagaimana semua mata bertumpu pada pesilat yang lengkap dalam persalinan Melayu itu memperlihatkan bunganya, membuat bulu roma merinding.
“Itu tidak seharusnya jadi alasan untuk menjauhi Wings kerana gaya, aura bintang rock yang dibawa Awie tidak berkurangan walau sedikit pun hanya kerana dia tampil berbusana tradisi.”
Berada di antara penggemar yang menggelar diri mereka Sayap-Sayap Wings, sebahagiannya sporting hadir berbusana Melayu atau setidak-tidaknya bertanjak, berselisih bahu dengan geng bikers antaranya daripada Wings Motor Gang Society yang ikut berasak di depan pentas sederhana yang berinsipirasi gelanggang silat itu, kehangatan malam pun mulai terasa.
Inspirasi Taming Sari daripada debut 1987, Belenggu Irama, jadi pembuka persembahan Wings yang ikut berbusana tradisi Melayu. Lagak seorang laksamana Melayu, frontman Datuk Azhar Othman, atau lebih dikenali sebagai Awie, yang mempersembahkan konsert ini di bawah syarikatnya, Awie Entertainment, jelas menguasai malam.
Idea mengenakan persalinan Melayu di sebuah konsert rock tidak lagi ternampak canggung kalau anda mahu memahami falsafah yang cuba diterapkan. Itu tidak seharusnya jadi alasan untuk menjauhi Wings kerana gaya, aura bintang rock yang dibawa Awie tidak berkurangan walau sedikit pun hanya kerana dia tampil berbusana tradisi.
Muzik sebagai platform untuk menyemai benih kecintaan pada semangat Melayu, sepertimana latar pengkisahan Inspirasi Taming Sari yang diangkat Bob Lokman lewat lirik yang berinspirasi Laksamana Hang Tuah, niat Awie agar ia terus membara dalam jiwa anak bangsanya adalah suatu yang tidak harus diperkecilkan.
Tiada salahnya juga apabila Awie dalam pertemuan lalu kami mengungkapkan hal memperjuangkan hak.
“… membawa semula budaya Melayu itu supaya berbunga kembali rasa cinta pada kesenian, pada adat resam dan perjuangan Melayunya… pada budaya yang menampilkan kita sebagai anak Melayu,“ katanya dalam perbualan kami.
Perjuangan yang tidak mudah, dan untuk itu saya menghormati pendiriannya.
BLUES TENGAH MALAM
Luruh hati sebetulnya, apabila saya harus berada di sebuah persembahan yang separuh penuh terutama yang membabitkan anak seni tempatan.
Wings, sepertimana kata teman tadi, bukan band picisan tetapi melihat sekeliling, saya harus bertanya: Apa sudah jadi?
Busana tradisi dan konsepkah antara punca? Atau, mungkinkah tarikh konsert yang terlalu dekat dengan Ramadan? Itu, antara persoalan dilontarkan teman daripada industri hiburan yang ikut kesal kerana Dewan Merdeka sudah memberikan lokasi terbaik untuk konsert band ternama.
“… tetapi teori seorang teman bagaimana “radio dan TV membunuh live show scene” membawa kepada soal lebih getir iaitu mendidik audiens Malaysia menyokong produk sendiri.”
Saya sebaliknya, jadi teringat akan teguran Awie terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung isu membawa masuk bintang KPop, BTS bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Dan saya memahami mengapa Awie yang membangkitkan hal ini “demi rakyat, bangsa dan budaya kita“, menyelar kesanggupan kerajaan membelanjakan RM4.2 juta untuk BTS. Saya tidak menolak sepenuhnya alasan menteri muda itu bahawa kedatangan BTS mampu menjana pendapatan negara dan menarik pelabur, namun bagaimana soalnya dengan sokongan kerajaan terhadap industri kreatif tempatan?
Bukan saja-saja orang Melayu dulu-dulu menukilan “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.”
Wings bukan yang pertama mengadu terpaksa menganjurkan konsert tanpa penajaan, tetapi teori seorang teman bagaimana “radio dan TV membunuh live show scene” membawa kepada soal lebih getir iaitu mendidik audiens Malaysia menyokong produk sendiri.
Sejujurnya, saya bukan peminat konsert percuma bulanan seperti yang dihidangkan satu stesen TV, mahu pun majlis penganugerahan yang berlandaskan populariti. Sudah jarang juga saya mendengar radio yang satu masa dulu jadi tempat mendengar muzik dan lagu terbaik sebelum pelawak menguasai corong.
“Adakah kita terlalu naif untuk percaya anugerah diberikan kepada bintang tempatan kerana mereka hebat?” kata teman tadi. “Ia tidak pernah dan tidak akan jadi soal mengangkat industri muzik, drama atau filem tapi lebih soal air time, untuk memenuhi kehendak pengiklan.
“Radio, satu ketika dulu memberikan kita lagu-lagu dan celoteh DJ, sama ada kita memerlukannya atau mereka hanya mencecer. Seawal era 60an malah sampai 90an sangat membantu penjualan muzik tapi 20 tahun akhir ini, radio tidak lagi peduli mengenai muzik tapi lebih soal duit.
“Apa yang disukai pengiklan, itulah yang dimainkan dan bukan lagi soal kebagusan karya.”
Lagu berbaur kritikan sosial, kadang dengan lirik nakal yang dibawa pemain seperti Wings meletak band ini pada aras yang sukar digugat. Bunkface bukan gandingan terbaik untuk Wings yang saya kira, lebih baik bermain solo kerana dengan himpunan lagu yang dibina sejak 1987, dua jam konsert pun belum cukup untuk memuaskan hati.
Siapa yang hadir pada konsert baru ini tentu merasai bagaimana Bujang Senang, Opera Hidup atau Sejati misalnya meledak, menghidupi malam yang dahagakan seni indah. Dan saya masih mempunyai senarai panjang untuk lagu-lagu Wings yang ingin saya dengari live.
Usai konsert, sulaman blues dan rock di dalam lagu nakal Midnight Blues karya M Nasir menerjah fikiran biarpun ia tidak dimainkan malam itu. Sejujurnya, lagu itu berlagu bukan saja ketika itu malah pada malam-malam lain terutama apabila saya kadang melewati Chow Kit, lorong-lorong dan pencakar langit di hutan batu.
Dan untuk pendirian, falsafah dan juga aura yang mengiringi, pantaslah mengapa Wings masih bertahan. Menuju 35 tahun Wings, saya juga tidak mengharapkan apa-apa kecuali mahu melihat Awie dan rakan-rakannya melakukan apa yang mereka lakukan selama ini, iaitu menjadi antara band tempatan paling hebat pernah dilahirkan.