“Mohon doanya, please…“ – Ella Di Lubnan, Ziarah Pelarian Palestin dan Syria
Jadi Ikon Kemanusiaan, Ratu Rock ini mahu menebar kasih melangkaui dunia muziknya.
Oleh Zurina Waji
“Berdebar,” jawap Ella, sepatah. Juga, penuh hati-hati sebetulnya. Sebab, debaran yang dirasainya kali ini nyata cukup berbeda.
Saat rombongannya harus meninggalkan tanahair semalam, dia masih tidak dapat membayangkan apakah yang menantinya di bumi Lubnan, kelak.
“Sejujurnya Ella tak pandai untuk menjangkakan pengalaman apa yang bakal dilalui nanti,” katanya, menerusi pesanan WhatsApp, mengakui sempat memikirkan apakah dia mampu mengawal emosinya dalam ziarahnya ke kem pelarian, hari ini.
Sedang menonton rakaman mengenai nasib pelarian, jelasnya sudah cukup membuatnya menitiskan air mata.
“Ella masih terbayang-bayang wajah anak kecil itu, menguis tanah, mencari makanan,” katanya dalam temubual awal kami, mengimbau kali pertama dia menonton rakaman mengenai apa yang menimpa mangsa Perang Syria, lebih enam tahun lalu.
“Hiba rasanya melihat wanita mengendong anak, mencari tempat berlindung di bumi sendiri. Anak-anak kecil dirakam berkeliaran, jelas kelaparan. Menitis air mata dan Ella mula membayangkan, kalau ada anak dan anak kita menerima nasib sebegitu…
“Itu (mangsa perang), saudara kita juga tu.”
Pemergian Ella bersama suami, Kapten Azhar Ghazali bersesuaian perlantikan mereka sebagai Ikon Kemanusiaan oleh Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB) sempena kempen #1follower1ringgit yang bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada pelarian Palestin dan Syria di Lubnan.
Siaran media KKB, sebelum ini menyebut, pasangan selebriti itu akan dibawa ke beberapa kem di Lembah Bekaa untuk menyelami sendiri keadaan hidup pelarian. Sebanyak RM500,000 diperlukan bagi menampung keperluan pendidikan, kesihatan, makanan dan kewangan pelarian.
“Cukuplah kalau Ella dapat buat mereka (pelarian) tersenyum. Itu pun sudah Alhamdulillah.”
Gusar timbul riak, Ella mengakui baik dia mahu pun Azhar, tidak begitu selesa untuk bercerita ini bukan kali pertama mereka memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mangsa perang dan pelarian.
“Tapi kerana ini adalah perkara baik,” kata Ella yang menerima perlantikan sebagai Ikon Kemanusiaan itu di tengah kesibukannya membuat persiapan bagi konsert Ella Unplugged in Kuala Lumpur yang berlangsung selama dua malam di Istana Budaya, akhir Mac lalu.
“Ikutkan niat sudah lama ada, fikir macam mana hendak bantu (pelarian) dengan lebih efektif. Apa yang boleh Ella lakukan?”
Dengan nada merendah diri, pelantun ini yang meledak menerusi debut Dua Insan Bercinta seawal 80an, berkata: “Cukuplah kalau Ella dapat buat mereka (pelarian) tersenyum. Itu pun sudah Alhamdulillah.”
“Moga lawatan ini bakal membuka lebar pintunya ihsan dan rasa kasih dan sayang terhadap sesama insan.”
Semalam, apabila ditanya lagi apakah yang diharapkannya daripada kunjungan berkenaan, seperti kesannya daripada sudut peribadi mahu pun kerjayanya, jawapnya: “Moga lawatan ini bakal membuka lebar pintunya ihsan dan rasa kasih dan sayang terhadap sesama insan.”
Azhar, sebelum ini memberitahu dia dan Ella pernah ke Baitulmaqdis dan menyaksikan sendiri layanan kasar pihak berkuasa Israel terhadap warga Palestin yang selama ini terpaksa hidup dengan hak dinafikan di tempat sendiri.
“Dia (Azhar) meyakinkan Ella apa yang Ella boleh buat. Dulu Ella suka tapi tidak ada keberanian, tidak ada keyakinan.”
“Saya beritahu Ella, dia harus bersedia daripada segi emosi. Kem pelarian ini kebanyakannya daif, mungkin kita akan sedih melihat keadaan mereka. Cuma, kami memang tidak sangka berpeluang melawat dan melihat sendiri keadaan pelarian di kem kerana sudah beberapa ajakan sebelum ini, seperti ke Palu, Sulawesi dan Cox Bazzar yang menempatkan pelarian Rohingya terpaksa kami lepaskan kerana pertembungan jadual,” katanya.
Ella yang ketika itu, tampil bergaya dengan jubah hitam Cinta Abaya, senyum mendengar pengakuan Azhar yang melahirkan rasa bangga di atas keputusan bintang rock ini untuk membabitkan diri dengan usaha sebegini.
Sambil mencuri pandang suaminya, senyum tidak lekang daripada bibirnya, dia memberitahu: “Dia (Azhar) meyakinkan Ella apa yang Ella boleh buat. Dulu Ella suka tapi tidak ada keberanian, tidak ada keyakinan. Tapi dia beri sokongan, bagi semangat.
“Oh, Ella ingat! Sekali itu, masa menonton rakaman di YouTube yang menunjukkan mangsa perang ini dengan luka parah… Ella menangis kerana rakaman itu cukup menyentuh hati ini, dalam sekali. Masa itu, Ella berdoa kalaulah Allah bagi Ella kekuatan, nak sangat Ella ringankan beban mereka ini.
“Tak mungkin kita dapat menghentikan peperangan tapi setidak-tidaknya, bantu dan menyebarkan mesej mengenai realiti kehidupan mangsa perang dan kita menolak peperangan. Kita mungkin rasa kita tak boleh nak ubah, tapi tetaplah menyumbang, bersedekah kerana Allah pasti bagi jalan.”
Perlantikan sebagai Ikon Kemanusiaan itu, menurut Ella, sebenarnya lebih sebagai satu cabaran buat dirinya.
Biar pun tidak pasti bagaimana pengalaman itu bakal memberi kesan kepadanya, dia berharap akan menjadi manusia yang lebih baik.
“Ella ikhlas dalam pembabitan ini,” katanya, menjawab bagaimana misi kemanusiaan itu akan mencorakkan perjalanan seninya di masa depan. “Ella cuma berharap kerjaya seni dan diri kami mampu menjadi teladan yang baik.”
Dan seolah terbayang nada lembut suaranya saat dia menitipkan pesan: “Mohon doanya… please.”