Masih Aku Terasa di Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof
Perihal lagu malar segar dan survival orang lama dalam menongkah dunia seni.
Oleh Zurina Waji | Foto Jon Ramlan
SAAT lagu malar segar dijadikan kebergantungan untuk terus menghidupi penyanyinya, ada rasa gusar menyelinap di hati.
Gusar kerana ada banyak persoalan berbangkit yang memungkinkan jawaban yang menyakitkan untuk didengar.
Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof, malam itu buat saya tersentak. Seandainya kehadiran audiens dijadikan kayu pengukur, ia tampak sebagai perancangan yang gagal. Perasaan bercampur baur melihat Dewan Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Kuala Lumpur itu yang seharusnya memuatkan 400 orang, mungkin separuh dipenuhi.
Tadi, suasana dingin di luar menyapu malam bersama hujan renyai yang mengiringi langkah saya, melewati mercu ikonik KLCC sambil berharap janganlah sampai terlepas pembukaan konsert yang seharusnya bermula kurang 10 minit lagi.
Pentas sederhana, memperlihatkan perentang bercorak Bohemian di dalam samar lampu sorot menyambut audiens. Dibawakan oleh Lollipop Living, saya maklum bahawa Man Bai harus mengadakan konsertnya tanpa penaja yang menjadikan saya lebih ingin tahu bagaimana malam itu bakal diluncurkannya.
Tanpa album mahu pun single baru, baik Man Bai mahu pun Rahim jelas bergantung pada lagu malar segar mereka untuk meraih kehadiran audiens.
Ini kali pertama saya melihat gandingan Man Bai-Rahim Maarof dalam pesembahan berskala konsert. Rahim, seorang penyanyi versatil seawal era Lizawati yang kini berusia 63 tahun dan pernah menjadi frontman band rock, Whitesteel sebelum kembali solo. Sedang Man Bai sendiri yang juga mantan vokalis Gersang sudah mencecah 51 tahun.
Sejujurnya, saya memang tidak dapat menepikan rasa yang membuak: Apakah dua lelaki ini masih rocker sebagaimana mereka pernah dikenali?
Tanpa album mahu pun single baru, baik Man Bai mahu pun Rahim jelas bergantung pada lagu malar segar mereka untuk meraih kehadiran audiens. Jarang menampakkan muka dalam industri, ada kebimbangan apabila memikirkan sejauh mana kekuatan fan base mereka berdua.
Sukar sebetulnya untuk tidak mengaitkan Man Bai dengan Kau Ilhamku yang sudah 24 tahun berlagu itu, atau lebih lama lagi lewat Suratan Takdir dan Masih Aku Terasa, misalnya yang mengimbau era kegemilangan rock 80an bersama Gersang.
Konsert yang dibimbangi bakal menjadi malam dua orang lama melempiaskan kekecewaan, sebaliknya berubah sebagai senggang jamming yang mengasyikkan.
Dan apabila Rahim muncul di pentas, memulai konsert akhirnya, saya dan teman jurnalis saling berbisik kerana terpukul dengan kenyataan yang hampir dilupakan bahawa portfolio penyanyi ini dipenuhi hits demi hits seperti Syakilla, Jangan Kau Rayu, Cinta Kristal malah Usang ke Istana Menanti.
Rahim, menurut saya, tidaklah sempurna dalam penyampaian namun dia masih seorang penyanyi berpengalaman yang berupaya memanaskan malam sebelum Man Bai membuat kemunculan, santai berbaju putih dan bercelana harem hitam, membawakan antaranya Sendiri, Positif, Bayangan Mimpi dan Tolol.
Man Bai mungkin tidak setanding Rahim apabila ada beberapa pilihan daripada album solonya sempat membuat audiens termangu seketika namun saya suka apabila di pentas yang tidak mewah itu memberikan bonus lewat kehadiran pemuzik handalan seperti Datuk Acis yang pernah bersama Gersang, selain Along Exists (gitar), Eddie Slam (keyboard), Mohar (seruling), Sotong (dram), Rozhan (bass) dan Tam Cobain (gitar kedua).
Man Bai-Rahim tampil bersahaja, barangkali lahir daripada kemelut yang sudah lama terbuku di dada, jelas membibitkan luahan yang menyimpulkan sebuah malam yang cukup intimasi. Konsert yang dibimbangi bakal menjadi malam dua orang lama melempiaskan kekecewaan, sebaliknya berubah sebagai senggang jamming yang mengasyikkan.
Siapa sangka, apabila Datuk M Nasir yang menonton di kalangan audiens, mengalah juga pada ajakan Man Bai untuk bersamanya dan Rahim, menyampaikan Falsafah Cinta? Pedulilah walau komposer dengan sentuhan Midas itu tersasul melagukan bait ciptaannya sendiri, itu tidak menafikan bahawa ia memahat momen indah.
Ada teman cuba menimbang kemungkinan sekiranya persembahan ini tidak bertembung dengan malam gala Konsert Soul Sisters 2019 – Noryn Aziz, Misha Omar dan Siti Sarah Raisuddin – di Istana Budaya yang hanya sepelaung.
Atau, katanya mungkin kalau harga tiket RM205 dijadikan pada kadar lebih mampu beli terutamanya untuk menarik audiens berusia separuh baya, selain lebih masa diperuntukkan untuk promosi, Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof akan membuka lebih banyak ruang untuk ditonton.
Dan malam itu, audiens yang sebahagiannya membesar bersama lagu-lagu Gersang-Man Bai-Rahim serentak melonjak saat Kau Ilhamku dilagukan. Sekali lagi, siapa sangka apabila Jump daripada Van Halen jadi hadiah selamat malam oleh duo ini, terutamanya Man Bai dengan energi yang entah diperolehi dari mana.
Saya teringat temubual Man Bai yang menyifatkan “industri (seni) sekarang secara zahirnya macam happening tapi bagi orang macam kami, itu semua tiada kepentingan. Saya tidak salahkan orang baru, fans mereka pun ramai budak-budak dan ini adalah masa untuk generasi ini, dengan gaya begini.”
Ada kepahitan kala mendengar Man Bai kemudiannya mengungkapkan, “Jadi, orang macam kami kena move on.“
Ia adalah malam jamming yang mengesankan, namun realiti showbiz adalah suatu yang sering menyakitkan.